Sindiket jual vape berperisa dadah jatuh jerat polis
- S.KUMARA
- 2 Dis
- 1 min membaca

SHAH ALAM - Taktik licik aktiviti pengedaran rokok elektronik (vape) bercampur dadah akhirnya berjaya dibongkar polis kali ini.
Satu serbuan yang diadakan di sebuah stor berjaya membawa kepada penemuan dan rampasan bahan terlarang itu yang nilainya berjumlah RM3.04 juta di Klang pada 27 November lalu, kata Ketua Polis Selangor Komisioner Datuk Shazeli Kahar hari ini.
Katanya, serbuan itu dijalankan kira-kira jam 2 petang oleh sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan.
"Hasil serbuan berjaya membawa kepada tangkapan tiga lelaki tempatan berusia 33 hingga 49 tahun dipercayai berperanan sebagai penjual, penjaga stor dan pembungkus rokok elektronik bercampur dadah itu.
"Polis juga merampas sebanyak 2,068 katrij, 550 pod dan 240 botol berisi cecair vape disyaki campuran dadah jenis ketamin dengan anggaran isi padu 61 liter," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor petang Selasa.
Tambah beliau, siasatan lanjut mendapati, vape berisi dadah itu dipercayai untuk pasaran seluruh negara dan dijual secara terbuka.
Juster katanya, sindiket berkenaan aktif sejak enam bulan lalu dan dipercayai memperolehi bekalan yang siap diproses daripada pembelian secara online yang dihantar menggunakan kurier sebelum membuat penjualan semula kepada pelanggan mereka.
"Berdasarkan analisis penggunaan dadah, keseluruhan cecair vape campuran ketamin yang dirampas itu boleh dibekalkan kepada 12,200 pengguna dalam masa sehari dengan mengambil kira 5 mililiter (ml) setiap seorang.
"Kesemua suspek berkenaan kini direman selama tujuh hari untuk tindakan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," tegasnya lagi.





Komen