top of page

Sindiket 'Pade Ajak' aktif seludup migran guna khidmat media sosial tersungkur

  • S.KUMARA
  • 2 hari lalu
  • 2 min membaca
ree

KUALA LUMPUR – Sindiket dikenali sebagai geng ‘Pade Ajak’ yang aktif menyeludup migran dengan menawarkan khidmat haram melalui media sosial tersungkur di tangan pihak berkuasa.


Kumpulan itu ditahan dalam satu serbuan mengejut yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen di daerah Kuala Selangor pada Selasa.


Serbuan hasil risikan dan maklumat itu dilaksanakan sepasukan Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) serta Bahagian Pengubahan Wang Haram (AMLA) bersama Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.


Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan pertama dilakukan ke atas sebuah premis yang beroperasi di sebalik kedai runcit dan makan yang dijadikan lokasi transit migran, lengkap dengan kemudahan tempat tinggal, bilik air serta dapur.


Katanya, hasil serbuan berjaya membawa kepada penahanan sembilan warga Indonesia termasuk dua wanita yang berusia antara 20 hingga 45 tahun, selain dua transporter lelaki masing-masing warganegara Nepal dan Indonesia.


"Turut disita sebuah kenderaan jenis Toyota Innova yang digunakan bagi mengangkut migran ke lokasi seterusnya," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Khamis.


Tambah beliau, pasukan JIM kemudian melakukan serbuan kedua di sebuah rumah teres dua tingkat berhampiran lokasi pertama sebelum berjaya menahan enam migran warga Indonesia terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita berusia antara 22 hingga 40 tahun.


Jelasnya lagi, seorang lelaki Indonesia berusia 36 tahun yang disyaki sebagai dalang utama dan transporter untuk sindiket terbabit turut berjaya diberkas dalam serbuan tersebut.


"Siasatan awal JIM mendapati semua migran berkenaan ditempatkan sementara di premis tersebut sebelum mereka diseludup keluar melalui laluan laut tidak sah di sekitar perairan Kuala Selangor.


"Malah, kebanyakan mereka turut mengaku mendapatkan khidmat sindiket melalui akaun media sosial.


"Hasil soal siasat juga mendapati sindiket menggunakan media sosial untuk menawarkan perkhidmatan membawa masuk dan keluar migran melalui laluan tidak diwartakan dengan mengenakan bayaran antara RM1,500 hingga RM2,100 bagi setiap individu," ujarnya lagi.


Zakaria juga memaklumkan bahawa JIM kini sedang giat mengesan pemilik premis warga tempatan untuk tindakan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 [Akta 670] kerana dipercayai bersekongkol dengan sindiket tersebut dengan menyewakan serta membenarkan premisnya dijadikan sebagai pusat pengumpulan migran secara haram.


Beliau turut menegaskan komitmen tegas dan berterusan Imigresen dalam membanteras segala bentuk penyeludupan migran dan pemerdagangan orang tanpa kompromi.


"Tindakan undang-undang tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu, sindiket, majikan atau pemilik premis yang menggaji, melindungi atau bersekongkol dengan pendatang asing tanpa izin (PATI)," ujar beliau lagi. - malaysiatoday


Komen


bottom of page