SPM 2025 bermula 3 November hingga 23 Disember - KPM
- kumara885
- 1 Nov
- 1 min membaca

PUTRAJAYA - Seramai 413,372 calon akan menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2025 yang akan bermula pada Isnin 3 November sehingga 23 Disember depan di 3,350 pusat peperiksaan yang disediakan di seluruh negara.
Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi kenyataan pada Jumaat memaklumkan bahawa Ujian Bertutur Bahasa Melayu akan berlangsung pada 3 hingga 6 November 2025 manakala Ujian Bertutur Bahasa Inggeris pada 10 hingga 13 November 2025.
"Ujian Amali Sains pula akan berlangsung pada 17 hingga 19 November, Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris diadakan pada 20 November.
"Peperiksaan bertulis pula akan berlangsung pada 25 November hingga 23 Disember ini,” kata KPM dalam kenyataan di Putrajaya.
KPM juga memaklumkan bahawa seramai 127,526 petugas peperiksaan telah dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan.
Jelas kenyataan itu lagi, semua calon diingatkan agar merujuk jadual waktu peperiksaan SPM 2025 bagi mengetahui maklumat lengkap tarikh, waktu, kod dan nama kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi sepanjang peperiksaan umum itu berlangsung.
Para calon SPM juga boleh memuat turun jadual waktu peperiksaan terbabit melalui portal rasmi Lembaga Peperiksaan (LP) di pautan lp.moe.gov.my.
KPM turut mengingatkan calon-calon SPM supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Penyata Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan serta mematuhi semua prosedur operasi standard dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan.





Komen