SPM 2025: KPM aktifkan pelan kontigensi hadapi banjir
- Editorial
- 25 Nov
- 2 min membaca

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengaktifkan pelan kontigensi secara menyeluruh bagi memastikan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 berjalan lancar meskipun berlangsung ketika musim tengkujuh.
PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengaktifkan pelan kontigensi untuk memastikan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 berjalan lancar sepanjang musim tengkujuh keitka ini.
Ketua Pengarahnya, Dr.Mohd Azam Ahmad berkata semua risiko termasuk kemungkinan banjir, laluan terputus serta gangguan pada pusat peperiksaan telah dikenal pasti melalui pemantauan awal oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
"KPM bersama Lembaga Peperiksaan melaksanakan persediaan rapi sejak September lalu melalui simulasi khas di Kuala Terengganu bagi menilai cabaran sebenar ketika air naik secara mendadak," katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau perjalanan hari pertama SPM di SMK Putrajaya Presint 11(1) di sini pada Selasa.
Tambah beliau dalam perkembangan berkaitan, simulasi itu membolehkan kementerian merangka strategi terperinci termasuk penempatan calon, pengekalan akses kepada kertas soalan serta sokongan logistik di kawasan berisiko tinggi.
Justeru katanya, KPM turut mengadakan mesyuarat koordinasi melalui OPS Payung bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia serta agensi lain bagi menyelaras bantuan kepada calon dan pengawas peperiksaan yang terkesan.
“Kerjasama rentas agensi itu memastikan setiap pusat peperiksaan menerima tindak balas pantas sekiranya berlaku banjir atau gangguan lain sepanjang tempoh peperiksaan,” ujarnya lagi.
Tegas beliau, JPN turut diarah untuk mengenal pasti pelajar yang rumahnya berhadapan risiko laluan terputus akibat sungai melimpah atau jalan dinaiki air sebelum peperiksaan bermula.
“Sebahagian daripada mereka telah dipindahkan lebih awal ke asrama berdekatan bagi mengelakkan risiko tidak dapat hadir pada hari peperiksaan.
"Langkah awal itu berjaya mengurangkan tekanan keluarga serta memudahkan pengurusan keselamatan calon di kawasan yang dijangka mengalami hujan berterusan," kata beliau.





Komen