top of page

SPRM serbu rumah dan tahan Albert Tei

  • Editorial
  • 28 Nov
  • 1 min membaca
Albert Tei dalam keadaan tangan bergari selepas ditahan SPRM di kediamannya hari ini.
Albert Tei dalam keadaan tangan bergari selepas ditahan SPRM di kediamannya hari ini.

KUALA LUMPUR - Sepasukan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)telah menyerbu kediaman ahli perniagaan Albert Tei secara mengejut pada pagi Jumaat di Puchong, Selangor menggunakan waran, menurut peguamnya, Mahajoth Singh.


Mahajoth menerusi satu kenyataan pagi Jumaat menyifatkan tindakan tersebut sebagai pencerobohan kerana tarikh untuk merekodkan keterangan daripada Albert Tei telahpun dipersetujui dan ditetapkan pada Isnin depan di SPRM.


“Adakah ini cara seorang pemberi maklumat rasuah dilayan? Mengapa masuk ke rumahnya sedangkan dialah yang memberikan maklumat?” soal Mahajoth.


Peguam itu berkata pegawai SPRM juga mahu membawa Tei, yang merupakan individu utama dalam dakwaan rasuah terhadap ahli politik terkenal, ke ibu pejabat mereka di Putrajaya.


“Ini bercanggah dan tidak boleh diterima. Tindakan penguatkuasaan secara tiba-tiba ini menunjukkan dakwaan perdana menteri bahawa kerajaan menegakkan integriti dan proses yang betul kelihatan sebagai bahan jenaka.


“Institusi yang beroperasi dengan integriti tidak akan menyerang pemberi maklumat atau pengadu, bercanggah dengan jadual mereka sendiri, atau bertindak seolah-olah mereka takut terhadap ketelusan.


“Malaysia kini nampaknya menjadi satu-satunya negara di mana individu yang mendedahkan dakwaan rasuah peringkat tinggi yang diserbu, dibawa pergi, dan diugut dengan tindakan undang-undang.


“Penggunaan kuasa negara secara songsang ini bukan sahaja membimbangkan; ia merupakan serangan langsung terhadap pemberi maklumat dan hak orang awam untuk mengetahui,” tambah peguam itu lagi.


Media ketika ini sedang berusaha untuk menghubungi dan mendapatkan pengesahan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berhubung serbuan dan penahanan Albert Tei pagi tadi.




Komen


bottom of page