SPRM siasat tohmahan rasuah kaitkan bekas Setiausaha Politik Kanan PM
- S.KUMARA
- 26 Nov
- 1 min membaca

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjalankan siasatan segera berhubung tohmahan pemberian rasuah oleh seorang ahli perniagaan dikenali sebagai Albert Tei kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata pihaknya akan memanggil individu yang membuat dakwaan berkenaan iaitu Albert Tei serta individu yang dinamakan dalam dakwaan tersebut dalam masa terdekat untuk merekodkan keterangan daripada kedua-dua individu tersebut.
"SPRM akan memanggil pihak yang membuat tohmahan berkenaan iaitu Albert Tei serta pihak yang ditohmah iaitu Datuk Seri Shamsul Iskandar dalam masa terdekat bagi memberi keterangan.
"Selain itu, SPRM juga akan memanggil semua pihak-pihak yang terbabit bagi tujuan mengumpul bukti-bukti yang diperlukan untuk membantu siasatan kes ini," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Sehubungan itu, Azam meminta orang ramai tidak membuat spekulasi berhubung isu berkenaan dan memberi ruang kepada agensi terbabit menjalankan siasatan bagi mengumpul keterangan serta bukti berkaitan dakwaan itu.
Kenyataan Azam Baki hadir selepas Anwar Ibrahim mengesahkan tentang penerimaan surat perletakan jawatan daripada Shamsul Iskandar semalam dan meminta SPRM menyiasat tentang dakwaan yang dikaitkan dengan bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu. - malaysiatoday.com.my





Komen