Suspek mati ditembak polis adalah ketua sindiket samun, miliki 19 rekod kes
- S.KUMARA
- 25 Nov
- 2 min membaca

SEPANG - Seorang lelaki yang ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan pasukan polis di Jalan Batu 8, Jalan Banting-Dengkil di sini dipercayai merupakan ketua sindiket samun yang aktif sejak tahun 2022 yang menyasarkan rumah, kilang dan tapak projek.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Komisioner Datuk M. Kumar berkata, kumpulan suspek aktif dan agresif melakukan jenayah samun di neegri Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.
"Kumpulan ketua sindiket ini mempunyai kira-kira 10 ahli dan rakan sejenayah dan usaha sedang dijalankan bagi mengesan saki baki suspek geng ini yang dipercayai masih bebas di luar.
"Siasatan mendapati, kumpulan penjenayah ini menyasarkan rumah kediaman, tapak projek, kilang e-waste dengan bersenjatakan pistol, parang dan batang besi untuk melakukan jenayah samun.
"Malah, sindiket ini juga akan mencabut dan merosakkan dekoder rakaman kamera litar tertutup (CCTV) selain memakai topeng muka, bersarung tangan ketika melakukan jenayah serta tidak teragak-agak untuk mencederakan mangsa jika diancam," katanya dalam sidang khas kes tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini pada Selasa.
Tambah Kumar lagi, terdapat 17 kes di Selangor dan satu kes masing-masing di Negeri Sembilan dan Melaka membabitkan geng samun ini dengan nilai kerugiannya mencecah RM2.53 juta.
Mengulas lanjut tentang identiti suspek, Kumar turut memberitahu bahawa sebelum ini suspek yang berusia 30 tahun itu pernah dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam tanpa kehadirannya pada 19 November lalu bagi kes di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan.
Jelasnya lagi, mahkamah telah mengenakan tindakan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) terhadap suspek sebelum waran tangkap dikeluarkan.
"Suspek berasal dari Sepang, Selangor mempunyai 10 rekod jenayah lampau bersabit kes samun berkumpulan, mendatangkan kecederaan, pecah rumah dan merusuh.
"Suspek juga mempunyai rekod dikehendaki dalam dua kes samun stor penyimpanan barang tapak projek di Sepang tahun lepas.
"Kejayaan menumpaskan penjenayah tersebut adalah hasil operasi mengesan dan mencegah kejadian samun di sekitar Banting, Dengkil serta Sepang yang dilaksanakan sejak awal November ini," tegasnya lagi.- malaysiatoday





Komen