Tajuddin dakwa Saravanan dedah MIC 'putuskan' untuk keluar BN
- kumara885
- 24 Okt
- 1 min membaca

KUALA LUMPUR - Seorang bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno mendakwa MIC akan keluar BN pada bulan depan, ketika parti itu dijangka mengadakan mesyuarat agung tahunannya.
Dalam satu video di TikTok, Tajuddin Abdul Rahman mendakwa Timbalan Presiden MIC M Saravanan membuat pengakuan itu ketika majlis rumah terbuka Deepavalinya semalam.
Antara ahli politik yang hadir di majlis itu, Tajuddin juga mendakwa Saravanan mendedahkan pelbagai rasa tidak puas hati yang membawa kepada keputusan yang bakal dibuat itu.
“Tapi saya tidak payah sebut di sinilah (sebab) sensitif dan sulit,” kata Tajuddin.
“Namun saya nasihatkan dia (Saravanan) supaya pertimbangkan keputusannya. Kita (Umno) sudah lama bersama dengan MIC…dalam BN kita sudah harungi suka duka bersama.
“Dalam politik Malaysia ini banyak sumbangan MIC terhadap kemajuan dan pembangunan negara kita dan semua rakyat pelbagai bangsa. Jadi saya nasihatkan dia kalau dia pertimbangkan semula,” katanya lagi, yang menamatkan hukuman gantung keahlian parti dalam Umno tahun lalu.
“Dia nampaknya bertegas, mungkin dia akan dapat petunjuk dan hidayah. Saya harap begitu agar MIC akan tetap bersama BN,” katanya lagi.





Komen