top of page

Takut dimarah ibu pulang lewat, gadis kantoi reka cerita dirogol pemandu e-hailing

  • S.KUMARA
  • 25 Nov
  • 1 min membaca
ree

ISKANDAR PUTERI – Gara-gara takut dimarahi kerana pulang lewat ke rumah, seorang gadis sanggup mereka-reka cerita kononnya dia telah dirogol dan dipaksa melakukan seks luar tabii oleh pemandu e-hailing kepada ibunya.


Tetapi tipu helah perempuan berusia 25 tahun itu tidak dapat membantu menyelamatka dirinya apabila terpaksa mengaku kejadian itu tidak berlaku sebaliknya ia hanya rekaan sebagai helah kerana takut dimarahi ibunya kerana pulang lewat ke rumah.


Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, polis menerima laporan ‘kejadian’ itu pada pukul 10.27 pagi, semalam daripada wanita berkenaan yang mendakwa serangan tersebut berlaku sehari sebelum itu di dalam sebuah kereta di kawasan Jalan Pulai Perdana, Kangkar Pulai.


Katanya, hasil siasatan yang dijalankan oleh polis mendapati pengadu sebenarnya mereka-reka cerita rogol selepas dia dimarahi keluarganya kerana pulang lewat ke rumah.


“Polis mengesahkan insiden yang didakwa tidak pernah berlaku dan pemandu Grab yang disebut tidak terlibat dalam apa-apa perbuatan jenayah seperti yang dituduh.


“Orang ramai dinasihatkan agar tidak sewenang-wenangnya membuat laporan palsu, apatah lagi membabitkan dakwaan serius seperti rogol kerana ia boleh menjejaskan siasatan terhadap mangsa sebenar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Tambah Kumarasan lagi, perbuatan membuat laporan palsu adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan, yang boleh membawa hukuman penjara sehingga enam bulan, denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.


Beliau turut menegaskan bahawa masa dan tenaga penyiasat sepatutnya digerakkan untuk membantu mangsa jenayah sebenar, bukannya terbuang dengan laporan yang dibuat hanya untuk menutup masalah peribadi.- malaysiatoday


Komen


bottom of page