- kumara885
- 5 hari lalu
- 2 min membaca

Tarikh mengundi bertembung: KPT digesa selaras semula jadual peperiksaan, konvokesyen
KOTA KINABALU - Kementerian Pendidikan Tinggi diseru agar menyelaras semula jadual pemeriksaan dan istiadat konvokesyen menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 yang bakal berlangsung pada 29 November ini.
Ketua Wirawati Parti Warisan (Warisan), Isnaraissah Munirah Majilis, menyuarakan kebimbangan itu yang dipercayai bertembung dengan jadual peperiksaan akhir politeknik serta Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang dijadualkan berlangsung pada hari sama, iaitu 29 November depan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Belud memandang serius aduan serta keluhan yang diterima daripada ibu bapa dan pelajar Sabah mengenai pertembungan tarikh berkenaan.
"Pertembungan tarikh ini akan meletakkan ratusan, kalau tidak ribuan pelajar dari Sabah yang menuntut di seluruh negara dalam dilema yang menyedihkan.
"Meletakkan sama ada komitmen akademik yang sangat penting atau melaksanakan tanggungjawab asas sebagai warganegara untuk mengundi adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku," katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, perkara itu bukan sekadar isu logistik semata-mata tetapi ia adalah isu dan hak demokrasi rakyat Malaysia yang harus dihormati dan diberi pertimbangan sewajarnya.
"Kita sepatutnya memudahkan proses bagi anak muda untuk mengambil bahagian dalam demokrasi bukan sebaliknya. Halangan seperti ini sama ada secara sengaja atau tidak akan menghantar mesej yang salah dan berisiko menafikan hak ribuan pengundi muda Sabah.
"Justeru, saya menggesa pihak-pihak yang bertanggungjawab mengambil tindakan termasuk Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan sebagai kementerian yang bertanggungjawab, KPT perlu segera menyelaras semula jadual penting Institut Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara bagi menghormati proses demokrasi di Sabah.
"Saya mohon agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga menambahbaik sesi libat urus kordinasi dengan pihak berkepentingan seperti KPT sebelum menetapkan pilihan raya bagi mengelakkan pertembungan tarikh yang akan menjejaskan hak pengundi," tegasnya lagi.





Komen