Tayar pecah, 'stering terkunci' punca treler rempuh kereta, pemandu parah
- S.KUMARA
- 28 Nov
- 1 min membaca

KLUANG – Satu nahas jalan raya yang mengakibatkan seorang pemandu kereta cedera parah dalam insiden yang berlaku di Kilometer 56.9 Lebuhraya Utara-Selatan di sini pada Khamis berpunca daripada tayar treler pecah dan stering terkunci yang menyebabkan kenderaan berat itu merempuh kereta mangsa.
Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 12 tengahari melibatkan sebuah kereta jenis Honda Civic dengan treler jenis Volvo.
"Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila tayar hadapan sebelah kanan treler tersebut pecah secara tiba-tiba hingga menyebabkan steringnya terkunci.
"Ia mengakibatkan treler itu kehilangan kawalan lalu masuk ke lorong kanan dan menghimpit serta melanggar kereta mangsa sebelum melanggar besi penghadang jalan lebuh raya tersebut.
"Rempuhan itu menyebabkan pemandu kereta mengalami kecederaan serius pada bahagian leher dan patah kaki kanan," katanya di sini.
Tambah beliau mangsa parah telah dikejarkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang bagi menerima rawatan segera.
Jelasnya lagi, mangsa kini berada dalam pemantauan pihak hospital sementara pemandu treler, berusia 48 tahun tidak mengalami kecederaan dalam insiden tersebut.
Pemandu treler itu dilibatkan dalam ujian saringan air kencing dan keputusannya didapati negatif.
"Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," tegasnya lagi.





Komen