Tempoh 6 bulan selesai kes Indira atau Kulasegaran kena letak jawatan - Gerakan
- Editorial
- 24 Nov
- 2 min membaca

KUALA LUMPUR - M.Kulasegaran diberi tempoh enam bulan oleh Gerakan untuk menyelesaikan kes M. Indira Fandhi yang menuntut kerajaan mengambalikan anaknya yang dilarikan suaminya 17 tahun lalu.
Kegagalan Kulasegaran berbuat demikian perlu meletakkan jawatan sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi)
Pemimpin Gerakan, Datuk Naran Singh seperti dilaporkan Malaysiakini melontarkan cabaran tersebut ke atas Ahli Parlimen Ipoh Barat itu.
Katanya, Kulasegaran gagal sama ada sebagai anggota pentadbiran kerajaan mahupun sebagai peguam yang mengendalikan usaha menyatukan semula Indira dengan anaknya, Prasana Diksa yang terpisah lebih 16 tahun.
Mengulas tentang janji Kulasegaran untuk mengaturkan pertemuan antara Indira dan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dalam tempoh tiga minggu, Naran Singh menyifatkan ia sebagai janji kosong.
“Anda ialah timbalan menteri undang-undang. Anda sepatutnya mengeluarkan arahan, bukan menganjurkan mesyuarat.
“Kulasegaran perlu mengarahkan KPN untuk menyelesaikan perkara ini dalam tempoh enam bulan. Jika dia gagal, dia harus meletak jawatan sebagai timbalan menteri undang-undang,” katanya.
Naran yang juga seorang peguam berkata Kulasegaran dan DAP lantang membela nasib Indira ketika menjadi pembangkang namun gagal membawa penyelesaian walaupun kini memegang jawatan dalam kerajaan.
Dia mendakwa perjuangan Indira sudah bermula jauh sebelum Kulasegaran menjadi menteri.
“Apa yang saya ingin katakan kepada Kulasegaran ialah: janganlah kita jadi hipokrit. Pada 2009, dia mengambil kes ini sebagai peguam. Sudah 16 tahun berlalu.”
“Sejak itu, dia telah menjadi menteri sumber manusia. Kini dia timbalan menteri undang-undang. Apa yang dia lakukan selama ini? Langkah apa yang dia dah ambil?”
“Jika seorang ibu telah dinafikan hak ke atas anaknya selama 16 tahun, adakah kamu mahu katakan menteri undang-undang dan timbalan menteri langsung tidak mempunyai kuasa?” soalnya.
Naran turut menggesa Kulasegaran menyelesaikan amanahnya sebagai peguam Indira.
“Sebagai peguam, jika anda mengambil kes, anda perlu menyelesaikan misi itu. Tetapi sekarang, saya mencabarnya hanya enam bulan.”
“Saya mencabarnya sebagai pemimpin Gerakan dan juga sebagai seorang peguam.
“Sekali lagi, jika dalam tempoh enam bulan dia tidak dapat menyelesaikan kes itu, maka dia mesti meletak jawatan,” katanya lagi.
Pada Sabtu lalu, Indira dan para penyokongnya berarak dari Sogo ke ibu pejabat polis Bukit Aman bagi menyerahkan anak patung Prasana kepada KPN sebagai tuntutan simbolik memohon anaknya dikembalikan.
Kumpulan itu menunggu hampir empat jam di luar Bukit Aman walaupun KPN tidak hadir. Mereka bersurai selepas Kulasegaran berjanji membantu menjadualkan pertemuan antara Indira dan KPN dalam minggu-minggu terdekat.
Naran turut membidas polis kerana masih gagal mengesan bekas suami Indira, Riduan Abdullah, walaupun pasukan keselamatan memiliki sumber luas.
“Adakah kita benar-benar ingin berkata bahawa polis Malaysia tidak mampu menjejak seorang individu yang bersembunyi dalam negara? Jika begitu, bagaimana pula jika ada pengganas yang perlu dijejaki?”
“Kedua, adakah mereka menggunakan sumber lain seperti jabatan cukai pendapatan, data KWSP, jabatan kebajikan masyarakat atau tentera, sebagai contoh?” soalnya lagi.





Komen