Terima rasuah RM1.77 juta: Bekas SUSK kementerian dijel 6 tahun, denda RM8.8 juta
- S.KUMARA
- 20 Nov
- 1 min membaca

KUALA LUMPUR - Bekas setiausaha sulit kanan kepada bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya telah dijatuhkan hukuman penjara selama enam tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis.
Selain itu tertuduh juga telah dikenakan denda RM8.8 juta selepas disabitkan bersalah membabitkan lapan pertuduhan menerima rasuah RM1.77 juta bagi tender perkhidmatan pengiklanan pada 2018 yang lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin telah memerintahkan hukuman tersebut selepas mendapati pihak pembelaan yang mewakili Mohd Saifullah Mohd Minggu @ Mohd Hisham, 34, gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir pembelaannya dalam kes tersebut.
Mahkamah turut memerintahkan bahawa tertuduh perlu menjalani hukuman penjara bermula Khamis dan sekiranya lelaki itu gagal membayar jumlah denda, dia boleh dipenjara selama tujuh tahun.
Menurutnya, mahkamah mempertimbangkan mitigasi untuk meringankan hukuman oleh pembelaan dan mendengar hujahan pendakwaan bagi pemberatan hukuman.
“Tertuduh dihukum penjara bermula hari ini, saya harap hukuman berkenaan dapat menginsafkan dan mengelakkan kamu daripada melakukan kesalahan sama pada masa akan datang.
“Kamu masih muda, mahkamah berharap kamu insaf dan berubah menjadi lebih baik,” kata hakim semasa membacakan hukuman tertuduh.
Mohd Saifullah, 34, yang memakai kot biru menangis teresak-esak ketika berada di kandang tertuduh selepas mendengar keputusan kehakiman kes tersebut.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara antara tiga hingga enam tahun dan denda antara RM75,000 hingga RM2.5 juta bagi semua pertuduhan namun hakim memerintahkan tertuduh menjalani semua hukuman pemenjaraan secara serentak.
Bagaimanapun, mahkamah turut membenarkan tertuduh untuk menangguhkan hukuman itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi dibuat kelak.- malaysiatoday





Komen