[TIDAK RASMI] PRN Sabah: Hajiji pertahan kerusi DUN Sulaman
- Editorial
- 29 Nov
- 1 min membaca

KOTA KINABALU - Keputusan tidak rasmi Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 hari ini menyaksikan Presiden Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman yang sekian lama menjadi benteng politik beliau.
Kemenangan di kubu tradisi itu bukan sekadar memperkukuh kedudukan Hajiji, malah menambah lonjakan sokongan terhadap GRS yang kini mengumpul sembilan kerusi dalam keputusan tidak rasmi setakat ini.
Selain Sulaman, gelombang kemenangan GRS turut melanda lapan lagi kawasan iaitu Banggi, Membakut, Pitasan, Kemabong, Apas, Kuamut dan Sungai Manila.
DUN Sulaman menyaksikan saingan lima penjuru, dengan penyandangnya ditentang calon muda dan muka baharu daripada Barisan Nasional (BN), Dr Shahnon Rizal Thaijuddin,Mokhtar Hussin (Warisan), Tiaminah @ Siti Aminah Ele (PN) dan Pajudin Nordin (PIS).
Dalam PRN Ke-16 yang lalu, Hajiji mempertahan kerusi DUN Sulaman sejak 1990 dengan menang majoriti 3,099 undi dalam saingan tiga penjuru.
Semua 882 pusat mengundi di seluruh Sabah dibuka tepat jam 7.30 pagi tadi, melibatkan 3,558 saluran mengundi dan ditutup secara berperingkat antara 12 tengah hari hingga 5.30 petang.- malaysiatoday.com.my





Komen