Tiga pelajar antara empat remaja ditangkap rogol berkumpulan, sebar bahan lucah
- kumara885
- 16 Okt
- 1 min membaca

BALING, 16 Oktober- Apa yang terjadi dengan remaja dan pelajar di sekolah? itulah persoalan yang agak mengejutkan kini timbul apabila belum pun reda kes pelajar perempuan dirogol bergilir di Melaka, kini satu lagi jenayah berkenaan berlaku lagi.
Kali ini, di Baling Kedah, empat remaja termasuk tiga pelajar sebuah sekolah di daerah ini ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam rogol berkumpulan dan menyebarkan bahan lucah yang kemudian tular di media sosial.
Pemangku Ketua Polis Daerah Baling Deputi Superintendan Ahmad Salimi Mat Ali berkata, polis menerima satu laporan daripada seorang pengadu berusia 53 tahun pada Ahad lalu kira-kira jam 11 pagi selepas dia dimaklumkan guru disiplin berkaitan penularan rakaman video anaknya berbogel.
Katanya, susulan daripada itu tiga pelajar sekolah berkenaan dan seorang lagi bekas pelajar sekolah sama berjaya ditahan pada jam 9.30 malam hari sama selepas insiden untuk membantu siasatan polis.
"Hasil siasatan lanjut polis mendapati, empat suspek berkenaan didapati melakukan seks termasuk secara berkumpulan pada Mei hingga Ogos lalu di beberapa lokasi di dalam kelas sekolah tersebut.
"Rentetan daripada itu, kesemua suspek ditahan dan direman lima hari mulai tarikh mereka ditangkap serta merampas enam telefon bimbit untuk membantu siasatan lanjut," katanya.
Tambah Ahmad Salimi, polis membuka siasatan di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana rogol berkumpulan dan menghantar pornografi kanak-kanak.
Jelas beliau, polis memandang serius kejadian tersebut dan meminta orang ramai terutamanya ibu bapa dan penjaga supaya memantau rapi setiap kegiatan dan pergerakan anak-anak mereka terutamanya dalam kalangan remaja.





Komen