top of page

Tiga suspek bersenjata pistol, pisau samun kedai runcit diburu

  • S.KUMARA
  • 28 Nov
  • 1 min membaca
ree

BACHOK - Polis mempergiatkan usaha memburu tiga suspek lelaki yang bersenjata menyamun sebuah kedai runcit yang terletak di Kampung Tekor Ayer Merah, Kandis di sini pada Rabu.


Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, kejadian berlaku sekitar jam 10.30 malam itu apabila ketiga-tiga suspek masuk ke premis berkenaan dengan memakai penutup muka sebelum mengacukan senjata menyerupai pistol dan sebilah pisau ke arah pekerja di kedai tersebut.


"Suspek kemudian meragut dua utas gelang emas milik mangsa serta mengambil beberapa barangan kedai antaranya rokok, roti dan wang tunai kira-kira RM600.


“Jumlah keseluruhan kerugian dianggarkan sekitar RM3,800,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.


Tambah beliau, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan menggunakan senjata.


"Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok.


"Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu menghubungi Bilik Gerakan IPD Bachok di talian 09-778 8222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan polis," tegasnya lagi.


Komen


bottom of page