Tipu guna gelaran 'Datuk' palsu, dua lelaki dicekup
- S.KUMARA
- 27 Nov
- 1 min membaca

KUALA LUMPUR - Tindakan licik dua lelaki yang menipu mangsa menggunakan gelaran 'Datuk' palsu bagi memperdaya individu menunjukkan pelbagai barang istiadat diraja bagaimanapun kantoi kepada pihak berkuasa.
Kedua-dua suspek lelaki itu berjaya diberkas polis di Seremban, Negeri Sembilan dalam serbuan pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, kedua-dua suspek lelaki tempatan berusia lingkungan 34 dan 50 tahun itu ditahan di sebuah restoran di daerah tersebut.
"Siasatan awal mendapati, suspek disyaki menipu mangsa secara bersemuka dengan menujukkan pelbagai barang berkaitan adat istiadat dan kebesaran diraja dengan menggunakan gelaran Datuk secara palsu.
" Tangkapan suspek turut membawa kepada rampasan empat buah telefon bimbit, dua keping kad pengeluaran wang automatik (ATM), dua buah kenderaan, kad istana, cop rasmi istana, sijil pertubuhan, lambang adat dan istiadat serta kelengkapan pakaian istiadat dan kebesaran yang disyaki digunakan bagi tujuan kegiatan penipuan ini," katanya dalam kenyataan di sini.
Tambah beliau, kedua-dua suspek itu kini direman selama empat hari bermula pada Rabu hingga 29 November depan untuk membantu siasatan lanjut polis.
"Polis sedang mengendalikan siasatan kes ini di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu.
"Jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan dan juga denda," tegasnya lagi.- malaysiatoday.com.my





Komen