top of page
  • kumara885
  • 4 hari lalu
  • 2 min membaca
Trump
Trump

PETALING JAYA - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald J Trump berlepas dari Malaysia pagi ini bagi meneruskan lawatan enam hari ke tiga negara Asia dengan Jepun sebagai destinasi seterusnya.


Beliau yang tiba ke Malaysia untuk menyertai Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dipengeruskan oleh Malaysia pada Ahad menaiki pesawat Khas Air Force One telah menamatkan lawatan julung kali ke Malaysia itu hari ini.


Trump dijangka tiba di Tokyo sekitar pukul 5 petang waktu tempatan, di mana acara pertama beliau ialah kunjungan hormat ke atas Maharaja Jepun, Naruhito, di Istana Diraja.


Sepanjang lawatan ke Jepun, Trump turut dijadualkan mengadakan rundingan rasmi dengan Perdana Menteri baharu, Sanae Takaichi.


Seperti di Malaysia, pemimpin AS itu dijangka disambut dengan penuh istiadat serta penghormatan rasmi oleh kerajaan Jepun.


Sidang kemuncak di Tokyo dijangka menumpukan kepada isu keupayaan pertahanan Jepun dan rancangan pelaburan besar negara itu di Amerika Syarikat.


Selain pertemuan dengan Maharaja Naruhito, Trump juga dijadualkan melawat pangkalan tentera Yokosuka di selatan Tokyo untuk menyampaikan ucapan di atas kapal pengangkut pesawat, sebelum menghadiri majlis makan malam bersama tokoh korporat Jepun pada malam yang sama.


Terdahulu, Trump tiba di Malaysia pagi Ahad bagi memulakan lawatan rasmi dua hari sempena Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13 dan Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20.


Ketibaan Trump di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur kira-kira pukul 10 pagi disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama beberapa Menteri Kabinet serta pegawai kanan kerajaan.


Trump mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia bermula hari ini hingga esok bersempena Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13 dan Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20.


Lawatan rasmi itu merupakan atas jemputan Anwar selaku Pengerusi ASEAN 2025.


Ini merupakan lawatan pertama Trump ke rantau Asia Tenggara selepas dipilih sebagai Presiden AS ke-47 pada Januari lalu.



Komen


bottom of page