top of page

Tun M lapor polis dakwa PM Anwar tandatangan ART Amerika tanpa prosedur sah

  • EDITOR
  • 2 Dis
  • 1 min membaca
ree

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini tampil membuat laporan polis terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan dakwaan kononnya Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dimeterai dengan Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini ditandatangani tanpa mematuhi prosedur sah.


Mahathir turut mendakwa Perdana Menteri kerajaan Perpaduan menandatangani perjanjian dengan AS tanpa mandat penuh daripada pihak yang sepatutnya mewakili Persekutuan Malaysia.


“Saya sudah buat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya hari ini supaya satu siasatan dibuat terhadap Anwar dalam perkara ini.


“Perjanjian itu sebenarnya tidak sah kerana beliau (Anwar) bukan seorang sahaja yang mewakili Persekutuan,” katanya pada sidang media di luar IPD Putrajaya pada Selasa.


Tambah bekas Ahli Parlimen Langkawi itu lagi, perjanjian itu sepatutnya memerlukan persetujuan empat bahagian termasuk Yang di-Pertuan Agong, Dewan Rakyat, Majlis Raja-Raja dan badan eksekutif (kerajaan).


Tetapi katanya, persetujuan empat bahagian itu bagaimanapun tidak dilakukan oleh Anwar sekali gus menjadi suatu kesalahan serius.


Tun turut mendakwa bahawa dokumen perjanjian itu sebenarnya mengandungi 400 muka surat namun, ia tidak pernah didedahkan kepada orang awam.


“Terdapat banyak klausa yang menyebut bahawa kuasa negara kita sudah diserah kepada AS dimana apa juga yang kita lakukan mesti dirujuk kepada AS dan mereka (AS) pula yang menentukan sama ada boleh atau tidak dilakukan,” dakwa bekas pengasas parti Bersatu itu lagi. - malaysiatoday.com.my




Komen


bottom of page