Tunku Mahkota Ismail tanggung penuh kos FAM ke CAS
- kumara885
- 6 Nov
- 1 min membaca

KUALA LUMPUR: Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim berkenan menanggung sepenuhnya segala kos Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk membawa kes membabitkan tujuh pemain warisan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) yang juga Pemangku Sultan Johor itu melakukannya sebagai tanda sokongan penuh baginda terhadap usaha mendapatkan keadilan bagi pemain yang digantung oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
"Saya tanggung semua, bukan duit rakyat," titah Tunku Mahkota Ismail.
Kenyataan itu sekali lagi memperlihatkan keprihatinan baginda terhadap nasib tujuh pemain terbabit yang sebelum ini dikenakan hukuman oleh FIFA berhubung isu status kelayakan mereka untuk beraksi bersama skuad kebangsaan.
FAM ketika ini sedang mempertimbangkan untuk membawa kes berkenaan ke CAS selepas rayuan yang dikemukakan kepada Jawatankuasa Rayuan FIFA sebelum ini gagal.
Menerusi keputusan dikeluarkan Jawatankuasa Rayuan itu, badan induk dunia berkenaan mengekalkan keputusan awal menggantung tujuh pemain negara selain mendenda FAM.
FIFA mengekalkan hukuman denda sebanyak 350,000 Swiss franc (kira-kira RM1.8 juta) terhadap FAM selain penggantungan 12 bulan serta denda 2,000 Swiss franc (sekitar RM10,800) setiap seorang ke atas tujuh pemain terbabit atas kesalahan melanggar Artikel 22 Kod Disiplin FIFA berkaitan pemalsuan dokumen.
Tujuh pemain terbabit adalah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.




Komen