top of page

UPKO sah 'bercerai' dengan PH serta merta

  • S.KUMARA
  • 11 Nov 2025
  • 2 min membaca
UPKO sah tinggalkan PH serta merta. Foto FB Ewon Benedick Official Media
UPKO sah tinggalkan PH serta merta. Foto FB Ewon Benedick Official Media

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mengumumkan keluar daripada gabungan Pakatan Harapan (PH) berkuat kuasa serta-merta pada hari ini.


Setiausaha Agung parti berkenaan, Datuk Nelson W Angang berkata, keputusan tergempar itu dicapai secara sebulat suara dalam Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UPKO yang telah diadakan hari ini.


Katanya lagi, mesyuarat itu diadakan bertujuan untuk membincangkan agenda 'Sabah First' yang menjadi asas perjuangan dan hala tuju kepimpinan parti UPKO.


"Keputusan (tinggalan PH) itu akan dimaklumkan secara rasmi kepada Pengerusi PH (Anwar Ibrahim) dan parti-parti komponen PH.


"Pada masa sama, kedua-dua Ahli Parlimen UPKO, Datuk Ewon Benedick dan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, akan terus menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong supaya kestabilan Kerajaan Persekutuan harus dikekalkan hingga penggal ini berakhir," katanya dalam satu kenyataan, yang dikeluarkan Isnin.



Tambah Nelson lagi, mesyuarat khas berkenaan turut menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan Ewon yang juga Presiden UPKO, meletak jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.


Jelasnya lagi, Ewon mengambil keputusan itu kerana tidak dapat bersetuju dengan pendirian dan pandangan Jabatan Peguam Negara (AGC) sepanjang prosiding semakan kehakiman tentang hak 40 peratus hasil Sabah yang difailkan oleh Sabah Law Society.


"Sepanjang tempoh empat tahun berada dalam PH, UPKO telah menjadikan agenda 'Sabah First' dalam perundingan berkaitan manifesto pilihan raya PH dan perbincangan dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang diketuai oleh Pengerusi PH.


"Bagaimanapun sepanjang tempoh berkenaan, berlaku jurang interpretasi, pandangan dan pendirian antara UPKO dengan parti-parti komponen PH pada peringkat nasional mengenai tuntutan pelaksanaan hak 40 peratus hasil Sabah, tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak, serta kegagalan melaksanakan autonomi pentadbiran PH Sabah," keluhnya.


Justeru, Nelson juga mendakwa bahawa kepengerusian PH Sabah oleh UPKO melalui Mesyuarat Agung PH Sabah, tidak pernah diselesaikan oleh Majlis Presiden PH susulan bantahan daripada PKR Sabah.


Malah katanya, UPKO turut menerima kecaman terbuka walaupun keputusan dibuat melalui pemilihan yang dikendalikan oleh pentadbir dari ibu pejabat PH.


"Presiden UPKO kemudian hanya dilantik sebagai koordinator, namun keputusan berkaitan persiapan pilihan raya oleh PH diputuskan oleh PKR tanpa autonomi sebenar oleh PH Sabah, bercanggah dengan apa yang sudah diumumkan," dakwanya lagi.


Nelson juga menegaskan bahawa UPKO menilai semula hala tuju perjuangan, dan menyimpulkan hanya parti-parti tempatan Sabah benar-benar memahami denyut nadi, jiwa, wawasan serta impian masa depan Sabah berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hak-hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya hak 40 peratus hasil Sabah.


"UPKO kekal dengan pendirian bahawa hak 40 peratus hasil Sabah itu adalah berasingan daripada tanggungjawab Kerajaan Persekutuan bawah Senarai Persekutuan (Federal List).


"UPKO kini bersedia untuk bekerjasama dengan parti-parti tempatan Sabah yang mahu memperjuangkan agenda 'Sabah First' bersama-sama supaya pelaksanaan sebenar MA63 seperti hak 40 peratus hasil, dapat diperjuangkan dengan lebih berkesan," ujar beliau. - malaysiatoday


Komen


bottom of page