- kumara885
- 7 hari lalu
- 2 min membaca

UTK, 69 Komando
antara elemen ditugaskan pada Sidang Kemuncak ASEAN - KPN
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengerahkan seramai 10,170 pegawai dan anggota, menjadikan ia antara penugasan keselamatan terbesar bagi memastikan kelancaran serta keselamatan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang bakal berlangsung hujung minggu ini.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, kekuatan itu melibatkan pelbagai jabatan dan unit taktikal termasuk Cawangan Khas, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Unit Tindakhas (UTK), 69 Komando, Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP), Pasukan Gerakan Am (PGA) serta Pasukan Gerakan Udara (PGU).
"Penugasan menyeluruh turut meliputi kawasan strategik seperti Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Putrajaya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan hotel penginapan rasmi para delegasi antarabangsa.
"Semua elemen keselamatan, kawalan trafik dan koordinasi pengurusan lapangan telah dirancang dengan teliti bagi memastikan tahap kesiapsiagaan berada pada tahap optimum,” katanya dalam sidang media selepas meninjau persiapan dan raptai Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen KLCC di sini pada Khamis.
Mohd Khalid berkata, raptai persiapan yang bermula pagi tadi berjalan lancar dan akan diteruskan sehingga 25 Oktober ini bagi memastikan setiap aspek keselamatan diuji sepenuhnya.
“Pelaksanaan 'dry run' ini memperlihatkan keselarasan mantap antara semua agensi yang terlibat, dan saya yakin hasilnya menunjukkan kesiapsiagaan PDRM berada pada tahap amat memuaskan,” katanya.
Mohd Khalid menjelaskan, selain pengawasan fizikal, pasukan khas turut ditugaskan bagi memantau keselamatan siber, kawalan udara dan kawasan berisiko tinggi secara berterusan sepanjang sidang kemuncak berlangsung.
Dalam masa sama, beberapa laluan utama di sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan laluan ke KLIA akan ditutup secara berperingkat antara 17 hingga 28 Oktober, dengan penutupan lebih ketara dijangka antara 26 hingga 28 Oktober ketika majlis rasmi berlangsung.





Komen