top of page
  • kumara885
  • 16 Okt
  • 2 min membaca
Wan Ahmad Fayhsal
Wan Ahmad Fayhsal

Wan Ahmad Fayhsal setia kekal bersama Pas, PN


KUALA LUMPUR, 16 Oktober – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyatakan pendiriannya untuk terus kekal setia bersama Pas dan Perikatan Nasional (PN) walaupun digantung keahliannya selama satu penggal oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Isnin lepas.


Jelas Wan Ahmad Fayhsal, walaupun terdapat tawaran agar menyertai DAP daripada Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, beliau mengambil pendirian menolak tawaran itu kerana komitmen dan kesetiaannya terhadap perjuangan Pas dan PN tidak akan digadaikan sama sekali.


“Ahli Parlimen Jelutong tanya saya, kenapa YB (yang berhormat) Machang ditindas, dizalimi dan digantung.


“YB...saya pun tidak tahu kenapa digantung, tanya Pagoh nanti. Dalam surat pun tidak dijelaskan sebab saya digantung.


“Kalau begitu, dia (Ahli Parlimen Jelutong) ajak saya masuk Pakatan Harapan (PH), DAP. Saya kata terima kasih atas jemputan, tapi saya punya komitmen untuk PN dan Pas. Tidak akan sama sekali saya pijak amanah rakyat Machang. Wallahi, saya akan kekal bersama Pas dan Perikatan Nasional," katanya pada Rabu.


Beliau berkata demikian semasa berucap dalam ceramah sempena Sambutan 70 Tahun Pas Kelantan dan 35 Tahun Membangun Bersama Islam (MBI) Peringkat Pas Kawasan Machang.


Beliau turut memaklumkan pernah menolak tawaran lumayan yang pernah diterima dua tahun lalu bagi meninggalkan perjuangan parti.


Wan Ahmad Fayhsal mendakwa beliau pernah disogok sebanyak RM5 juta bagi ‘membeli’ kerusi Parlimen Machang, namun menolak tawaran tersebut atas prinsip perjuangan dan kejujuran terhadap mandat rakyat.


Pada 13 Oktober lalu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu digantung hak-hak keahlian di bawah Fasal 22.5 bagi tempoh satu penggal pemilihan parti itu berkuat kuasa serta merta manakala seorang lagi pemimpin iaitu Datuk Wan Saiful Wan Jan pula dipecat keahlian parti tersebut namun tidak diperincikan sebab pemecatan itu.


Komen


bottom of page