Wanita dalam keranda ditemui masih hidup sebelum upacara pembakaran mayat
- Editorial
- 25 Nov
- 2 min membaca

NONTHABURI – Ajaib tetapi benar!
Kakitangan di sebuah kuil di Thailand panik dan gempar selepas seorang wanita meninggal dunia yang dibawa untuk upacara pembakaran mayat tiba-tiba didapati masih hidup selepas kedengaran bunyi ketukan dari dalam keranda tersebut.
Kejadian mengejutkan itu berlaku di Wat Rat Prakhong Tham, sebuah kuil Buddha yang terletak di wilayah Nonthaburi, berhampiran ibu kota Bangkok.
Pengurus hal ehwal umum dan kewangan kuil, Pairat Soodthoop berkata, wanita warga emas berusia 65 tahun berkenaan dibawa dari wilayah Phitsanulok oleh abang kandungnya untuk menjalankan proses pembakaran mayat.
"Sebelum keranda dibuka, kakitangan kuil secara tiba-tiba terdengar ketukan perlahan dari dalam.
"Saya terkejut dan terus minta mereka buka keranda. Semua orang yang hadir ke upacara pembakaran mayat turut terkesima. Wanita (mayat) buka mata sedikit dan mengetuk bahagian keranda.
"Nampaknya, wanita terbabit sudah lama mengetuk dari dalam keranda itu," katanya ketika ditemubual oleh The Associated Press.
Tambah Pairat, abang kandung kepada wanita itu memaklumkan bahawa adiknya terlantar sakit selama dua tahun dan baru-baru ini menjadi tidak responsif hingga disangkakan dia sudah meninggal dunia dua hari lalu.
Malah katanya, abangnya kemudian meletakkan mayat wanita itu di dalam keranda sebelum memandu sejauh 500 kilometer menuju ke sebuah hospital di Bangkok kerana adiknya pernah menyatakan hasrat untuk mendermakan organ namun ditolak hospital kerana tiada sijil kematian.
Lelaki itu kemudian membawa mayat adik perempuannya ke kuil tersebut yang menawarkan perkhidmatan membakar mayat secara percuma, namun turut dimaklumkan bahawa proses pembakaran itu tidak boleh dijalankan tanpa dokumen kematian.
"Ketika Pairat sedang menerangkan cara mendapatkan sijil kematian, tiba-tiba mereka terdengar ketukan dari dalam keranda itu sebelum mendapati wanita itu masih bernafas.
"Wanita berkenaan kemudian dihantar ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya lagi.
Pairat turut memaklumkan bahawa ketua sami kuil tersebut bersetuju menanggung semua kos perubatan untuk wanita tersebut.-Agensi





Komen