top of page

Wanita Indonesia dieksploitasi sebagai amah haram diselamatkan

  • S.KUMARA
  • 26 Nov
  • 2 min membaca
Wanita Indonesia yang dipaksa bekerja sebagai pembantu rumah secara haram berjaya diselamatkan Jabatan Imigresen Malaysia. Foto Ihsan JIM
Wanita Indonesia yang dipaksa bekerja sebagai pembantu rumah secara haram berjaya diselamatkan Jabatan Imigresen Malaysia. Foto Ihsan JIM

PUTRAJAYA - Penderitaan seorang wanita warga Indonesia yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia dengan dipaksa bekerja sebagai pembantu rumah secara haram berakhir apabila mangsa berjaya diselamatkan oleh pihak berkuasa.


Jabatan Imigresen Malaysia dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, mangsa telah diselamatkan pihaknya menerusi satu serbuan yang dijalankan di sebuah kediaman yang terletak di Batu Caves, Selangor pada 24 November yang lalu.


Ketua Pengarahnya Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi itu dijalankan oleh sepasukan pegawai dari Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, hasil maklumat yang diterima daripada sumber yang tidak boleh didedahkan.


Katanya, semasa pemeriksaan dijalankan, wanita berkenaan ditemui sedang bersembunyi di bawah sebuah kereta pacuan empat roda di premis tersebut.


Foto ihsan: Imigresen Malaysia
Foto ihsan: Imigresen Malaysia

"Siasatan mendapati mangsa bertindak sedemikian atas arahan majikan bagi mengelak dikesan oleh pegawai operasi Jabatan Imigresen.


"Mangsa yang berusia 56 tahun itu dilaporkan telah bekerja sebagai pembantu rumah selama hampir 16 tahun tanpa memiliki sebarang Pas yang sah.


"Berdasarkan pengakuan awal, mangsa mendakwa dia hanya dijanjikan gaji sebanyak RM600 sebulan, namun tidak menerima sebarang bayaran gaji daripada majikan sejak dua tahun lalu.


"Ketika diselamatkan, mangsa berada dalam keadaan trauma akibat sering dimarahi dan pernah dipukul oleh majikannya," katanya dalam kenyataan tersebut tengahari Rabu.


Tambah beliau, lebih menyedihkan lagi pihaknya mendapati pasport milik mangsa tidak berada dalam simpanannya sepanjang tempoh bekerja, malahan berdepan sekatan komunikasi apabila tidak dibenarkan memegang telefon bimbit, dilarang menghubungi dan pulang menemui keluarga.


Foto Ihsan: Jabatan Imigresen Malaysia
Foto Ihsan: Jabatan Imigresen Malaysia

Justeru katanya, mangsa turut dipaksa bekerja tanpa waktu rehat hingga terpaksa mencuri masa untuk tidur.


"Dalam operasi sama, pasukan Imigresen juga berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 51 tahun yang merupakan majikan mangsa.


"Suspek mengaku mendapatkan khidmat mangsa melalui ahli keluarga terdekat.


"Operasi menyelamat ini menggunakan pendekatan mengenalpasti mangsa pemerdagangan orang (buruh paksa) dalam kalangan golongan rentan berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.


"JIM telah memulakan siasatan kes ini di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670) dan memandang serius perkara seumpama ini serta tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan KMJIM_26112025 2 pemerdagangan orang," ujar beliau.


Tegasnya lagi, jika disabitkan kesalahan di bawah ATIPSOM 2007, individu terlibat boleh dikenakan hukuman pemenjaraan seumur hidup atau pemenjaraan tidak kurang daripada lima tahun, serta boleh dikenakan hukuman sebat bagi kesalahan yang lebih berat.


Zakaria turut menasihati orang awam agar terus menyalurkan maklumat berkenaan eksploitasi warga asing supaya tindakan segera dapat diambil dalam usaha membanteras jenayah ini. dengan mengemukakan aduan ke Bahagian Pencegahan ATIPSOM & AMLA di talian 03-8880 1471 atau e-mel: urusetia_p@imi.gov.my. - malaysiatoday.com.my


Komen


bottom of page