Warga asing kantoi seludup dadah dalam seluar dalam
- S.KUMARA
- 26 Nov
- 2 min membaca

KUALA SELANGOR – Taktik seorang lelaki yang menyembunyikan sejumlah dadah dalam seluar dalam untuk di seludup keluar negara ini gagal.
Suspek yang juga warga asing berjaya diberkas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2, Sepang, dekat sini baru-baru ini.
Penangkapan suspek warga asing berusia 40an itu dilakukan kira-kira pukul 7.40 pagi pada 20 November lalu bersama sejumlah dadah bernilai RM38,000, kata Pengarah Jabatan Siasatah Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan.
Katanya, kenyataan itu hasil maklumat yang diperolehi pihaknya daripada pihak Criminal Investigation Bureau (CIB) Taiwan mengenai kehadiran suspek ke negara ini.
Katanya, pihaknya kemudiannya mengikuti pergerakan suspek sebelum dia ditangkap mahu keluar dari negara ini.
“Hasil pemeriksaan terhadap suspek menemui sejumlah dadah jenis heroin dan methamphetamine yang diletakkan dalam seluar dalamnya. Ini termasuk 22 ketulan mampat dadah, dua botol dan dua bungkusan plastik disyaki bahan terlarang itu seberat 0.407 kilogram (kg),” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor, di sini, hari ini.
Beliau menambah, hasil soal siasat kemudiannya membawa serbuan di sebuah unit apartment di sekitar Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan menahan empat lelaki termasuk seorang warga tempatan berusia 40 hingga 50 tahun.
Tambah beliau, siasatan pihaknya mendapati modus operandi sindiket adalah memasukkan dadah ke dalam kondom sebelum disorokkan di dalam seluar dalam untuk diseludup keluar dari negara.
“Kesemua yang ditahan berperanan sebagai rakan sekutu, kordinator dan transporter dengan sindiket telah aktif sejak hujung Disember tahun lalu. Dadah pula diperoleh daripada pembekal tempatan untuk edaran luar negara,” jelasya lagi.
Tegas beliau, polis turut menyita dua buah kereta, iaitu sebuah kereta Mercedes Benz GLC 250 dan kereta Perodua Bezza bernilai RM196,000.
“Kita sedang memburu pembekal dadah berkenaan dengan semua suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” tegasnya. - malaysiatoday.com.my





Komen