top of page

Yang Di-Pertuan Agong selamat berangkat tiba untuk lawatan negara Bahrain

  • S.KUMARA
  • 7 Nov
  • 2 min membaca
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar selamat berangkat tiba untuk lawatan negara Bahrain semalam. Foto Kredit: FB rasmi Sultan Ibrahim
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar selamat berangkat tiba untuk lawatan negara Bahrain semalam. Foto Kredit: FB rasmi Sultan Ibrahim

MANAMA - KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selamat berangkat tiba bagi lawatan negara julung kali ke Bahrain, pada 6 November 2025.


Lawatan negara ini adalah atas persilaan Raja Hamad bin Isa Al-Khalifa, Raja Bahrain.


Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda di Lapangan Terbang Antarabangsa Bahrain pada jam 3.30 petang (8.30 malam waktu Malaysia) telah disambut sendiri oleh Raja Hamad,

bersama Putera Salman bin Hamad bin Isa Al-Khalifa, Putera Mahkota dan Perdana Menteri Bahrain, serta Keluarga Diraja Bahrain.


Turut berangkat mengiringi Yang di-Pertuan Agong, YAM Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor; YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor dan YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor.


Turut mengiringi Seri Paduka Baginda, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pertahanan merangkap Menteri Pengiring.


Delegasi Malaysia yang hadir menyambut keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong termasuk Dato’ Sri Amran Mohamed Zin, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri; Tan Sri Dato’ Dr. Azmi Rohani, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara; Dato’ Shazryll Zahiran, Duta Besar Malaysia ke Bahrain.


Pada lawatan negara ini, Yang di-Pertuan Agong bakal mengadakan pertemuan rasmi bersama Raja Hamad, di samping diberi penghormatan menjadi Ketua Negara yang pertama melakukan lawatan ke Tugu Peringatan Syuhada (Martyr’s Memorial Monument) di perkarangan Istana Sakhir, lokasi penting dalam lipatan sejarah Bahrain yang memperingati jasa dan pengorbanan para pejuang negara itu sejak merdeka.


Malaysia dan Bahrain bekerjasama dalam pelbagai sektor dengan jumlah nilai perdagangan pada tahun 2024 sebanyak RM1.19 bilion (USD0.26 bilion), di samping penglibatan bersama secara aktif di pentas antarabangsa menerusi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC-ASEAN).



Komen


bottom of page