

Search Results
545 hasil ditemukan dengan carian kosong
- PRN Sabah: 10,000 anggota polis bertugas kawal keselamatan
Saifudin Nasution Ismail TAWAU - Kira-kira 10,000 anggota polis akan bertugas dalam proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bermula tarikh penamaan calon pada 15 November hingga hari pengundian 29 November ini berjalan lebih lancar. Menteri Dalam Negeri Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, anggota dari Pejabat Polis Kontinjen Sarawak juga akan digerakkan sekiranya terdapat keperluan untuk menambah kekuatan anggota bertugas sepanjang tempoh PRN berlangsung. "Pembekuan semua cuti telah pun kita keluarkan, kecuali cuti yang dibenarkan itu kita semak berdasarkan case-by-case. "Saya telah mendengar taklimat daripada Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun, mengenai kesiapsiagaan polis mendepani plilhan raya negeri itu kali ini. "Hal ini termasuk dari segi latihan, kesemuanya, terutama yang membabitkan mengawasi perjalanan peti undi, kawasan terpencil, kita telah menjalankan latihan dan simulasi, di samping taklimat bersama agensi lain," katanya. Beliau dalam perkembangan sama menagih kerjasama semua parti politik bertanding agar membantu melancarkan perjalanan PRN kali ini. Beliau juga menyatakan keyakinan bahawa parti-parti politik bertanding di PRN negeri Sabah kali ini akan berkempen secara berhemah demi kesuburan demokrasi politik dan proses mengundi oleh rakyat negeri tersebut terjamin.
- Hamzah perlu campur tangan redakan keadaan dalam Bersatu
Hamzah Zainuddin IPOH – Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin didesak agar memainkan peranan lebih aktif bagi meredakan ketegangan yang melanda dalam parti tersebut ketika ini. Ketua Bersatu Bahagian Taiping Kader Maidin Hussain berkata, gesaan itu dibuat susulan kenyataan-kenyataan terbuka beberapa pemimpin yang didakwa boleh menjejaskan imej parti tersebut jika dibiarkan tanpa sebarang langkah penyelesaian segera. Jelasnya, sebagai orang nombor dua dalam parti, Hamzah berperanan penting untuk memastikan perpaduan dan kestabilan dalam kalangan kepimpinan serta ahli Bersatu sentiasa terpelihara. “Beliau (Hamzah) pernah menyebut bahawa beliau adalah penyokong nombor satu presiden (Tan Sri Muhyiddin Yassin), maka sepatutnya beliau menegur dan menghentikan pengikut-pengikutnya daripada terus mengeluarkan kenyataan yang merosakkan imej parti serta menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ahli parti. “Kalau pemimpin-pemimpin parti benar-benar sayangkan parti, mereka mesti menunjukkan kesetiaan kepada kepimpinan dan menjaga perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan malam Ahad. Tambah Kader Maidin lagi, semua pihak perlu memberi kepercayaan penuh kepada kepimpinan parti, Lembaga Disiplin dan Lembaga Rayuan untuk menguruskan sebarang isu dalaman termasuk pelanggaran perlembagaan serta disiplin parti. Dalam perkembangan sama, beliau turut menegur tindakan dua pemimpin parti yang dikenakan tindakan disiplin sebelum ini iaitu Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang didakwa sering menggunakan nama Pas untuk mempertahankan tindakan mereka. “Lebih pelik, mereka bercakap seolah-olah jurucakap Pas. Ini tindakan sangat tidak wajar dan boleh menjejaskan hubungan baik antara Bersatu dan Pas dalam Perikatan Nasional. “Wajar juga ada penjelasan daripada Pas sendiri berhubung dakwaan kedua-dua pemimpin tersebut dengan kadar segera sebelum situasi bertambah buruk. "Semua pemimpin dan ahli perlu menunjukkan kesetiaan kepada kepimpinan parti di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin serta bersama-sama menjaga perpaduan demi maruah dan kekuatan Bersatu," tegas beliau.
- Bekas pemain Kelantan FA suspek diburu kes tembak di Sungai Golok
bekas pemain Kelantan FA suspek diburu kes tembak di Sungai Golok baru-baru ini KOTA BHARU - Bekas pemain Kelantan FA tahun 2019 telah disahkan sebagai salah seorang suspek yang terlibat dalam kes jenayah tembakan terhadap rakyat Malaysia, Mohd Fuad Fahmie Ghazali, 33, sehingga maut dalam kejadian di Kampung Bering, Sungai Golok, Thailand pada Sabtu lepas. Maklumat itu telah disahkan oleh Ketua Polis Kelantan, Komisioner Datuk Mohd Yusoff Mamat ketika dihubungi di sini. Mohd Yusoff memberitahu, susulan kejadian tersebut polis Kelantan memperketatkan kawalan di sempadan Malaysia-Thailand bagi membantu pihak berkuasa memburu suspek tersebut. “Kita tidak menolak kemungkinan bahawa suspek mungkin sudah melarikan diri ke negara ini,” katanya. Tambah beliau, setakat ini polis Kelantan masih belum menerima sebarang maklumat rasmi daripada pihak berkuasa Thailand berhubung kejadian tersebut. Untuk rekod pada tahun 2019, suspek yang beraksi di posisi penjaga gol pernah bermain bersama pasukan Kelantan FA. Sebelum itu, suspek turut mempunyai pengalaman beraksi di Liga Thailand bersama pasukan Yala United FC dan PT Prachuap FC. Media pada Ahad melaporkan bahawa seorang rakyat Malaysia yang parah ditembak di sebuah rumah di Sungai Golok, Thailand, dilaporkan meninggal dunia pada malam Sabtu. Mangsa yang dikenalpasti identitinya sebagai Mohd Fuad Fahmie yang berasal dari Kampung Kepas Apam, di sini, meninggal dunia pada jam 9 malam ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Golok selepas ditembak sebanyak lapan kali di hadapan isterinya yang sarat mengandung. Ibu Allahyarham, Zaiton Abdul Rahman, 64, berkata, beliau dimaklumkan mengenai kematian anaknya oleh menantunya, Wan Fatihah Mat Hussin, 35.
- Saifuddin Abdullah dipanggil Lembaga Disiplin Bersatu Khamis ini
Saifuddin Abdullah KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dipanggil oleh Lembaga Disiplin Bersatu untuk membantu siasatan dalaman parti berhubung dakwaan terlibat dalam gerakan menjatuhkan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Saifuddin memaklumkan bahawa beliau akan bertemu Lembaga Disiplin pada jam 2 petang Khamis ini, 6 November 2025. Proses siasatan bersama Lembaga Disiplin itu akan diadakan di Ibu Pejabat Bersatu di Petaling Jaya. "Pada kira-kira jam 1.52 petang Ahad, saya telah menerima notis untuk saya menghadiri sesi perjumpaan Bersama Ahli Jawatankuasa (AJK) Lembaga Disiplin pada 6 November jam 4.30 petang di Petaling Jaya. "Oleh kerana pada tarikh itu, di sebelah malamnya saya ada program di luar Kuala Lumpur, saya minta sesi itu diawalkan dan Lembaga Disiplin bersetuju ditukar ke 2 petang," katanya ketika dihubungi Astro Awani pada Ahad. Saifuddin dan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli masing-masing digugurkan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang dan Perlis pada 27 Oktober 2025. Pada Khamis lalu, tiga Ketua Bahagian Bersatu dipanggil Lembaga Disiplin untuk siasatan berhubung dakwaan terlibat dalam gerakan menjatuhkan Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional. Ketua Bersatu Bahagian Ipoh Timur, Mohd Fadhli Ismail yang mengesahkan perkara itu menyatakan mereka terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis; Ketua Bahagian Sepang, Datuk Mohd Suhaimi Ghazali; serta Ketua Bahagian Puchong, Mohd Shukor Mustafa. Pada pertengahan Oktober, Lembaga Disiplin Bersatu memecat Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan menggantung keahlian Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal. Pada masa sama, tiga ketua bahagian Bersatu turut dipecat iaitu Azrudin Md Idris (Hang Tuah Jaya), Mohd Faizal Asmar (Pengerang) serta Mohd Isa Mohd Saidi (Ampang).
- Kembali ke UMNO: KJ minta tempoh beberapa minggu untuk beri jawapan
Khairy Jamaluddin SHAH ALAM - Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin meminta diberikan tempoh masa selama beberapa minggu sebelum bersedia menjawab mengenai hasratnya untuk menyertai semula parti berkenaan. Beliau berkata, tempoh itu diperlukan selepas menerima banyak pertanyaan bagi mendapatkan penjelasannya berhubung perkara tersebut. “Ramai yang telah menghantar mesej bertanya apa yang sedang berlaku? Beri saya beberapa minggu sebelum saya bersedia untuk menjawab,” katanya menerusi hantaran di akaun Instagram pada Ahad. Dalam hantaran sama, Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan turut menyertakan laporan media yang memetik kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin. Bung Moktar berkata, Khairy seharusnya kekal komited kepada UMNO sekiranya membuat keputusan untuk kembali menyertai parti itu dan tidak meninggalkan parti berkenaan sekali lagi. Khairy turut menegaskan bahawa beliau tidak pernah meninggalkan UMNO, sebaliknya dipecat oleh kepimpinan parti. “Sementara itu, ada beberapa pihak yang memberi komen tentang berita tersebut, biar saya jelaskan, saya tidak pernah meninggalkan UMNO, kalian yang memecat saya. Tolong jangan cuba mengubah sejarah. “Bukti banyak di internet, jangan buta huruf sangat,” katanya lagi.
- Pekebun lelaki ditikam depan rumah angkara dendam
KUANTAN – Gara-gara tidak puas hati dilaporkan kepada polis mengenai pengambilan bahan terlarang, seorang lelaki bertindak menikam seorang pekebun lelaki kenalan sendiri di bahagian perut sebagai membalas dendam dalam kejadian yang berlaku di Kampung Sri Damai, Jalan Gambang di sini, pada Jumaat. Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa berusia 38 tahun yang bekerja sebagai pekebun cedera selepas ditikam menggunakan pisau sepanjang kira-kira lima inci di hadapan rumahnya. Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia 25 tahun datang ke rumah mangsa dan memanggilnya keluar sebelum berlaku pertengkaran. “Suspek dikatakan meminta mangsa mengikutnya dengan alasan ada rakan yang mahu berjumpa, namun mangsa enggan. “Suspek kemudian secara tiba-tiba mengeluarkan pisau dari belakang seluar dan menikam perut mangsa sebelum melarikan diri,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad. Beliau berkata, akibat tikaman tersebut mangsa mengalami luka di bahagian perut dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan dalam keadaan stabil. Tambah Ashari lagi, suspek yang tidak bekerja berjaya ditahan tidak lama selepas kejadian oleh sepasukan anggota Balai Polis Jaya Gading. “Siasatan mendapati kejadian berpunca daripada dendam apabila mangsa didakwa pernah membuat laporan kepada polis berkaitan kegiatan penyalahgunaan bahan terlarang oleh suspek,” katanya. Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan cedera menggunakan senjata tajam.
- Anak Ronaldo miliki kereta mewah pertama
ANAK sulung kepada bintang bola sepak terkenal dunia, Cristiano Ronaldo nampaknya mewarisi minat bapanya terhadap kereta mewah apabila sudah memiliki kenderaan pertama pada usia 15 tahun. Cristiano Ronaldo Jr. mendedahkan perkara itu menerusi akaun Instagram miliknya yang memaparkan sebuah Lamborghini Urus S berwarna putih, sekali gus menarik perhatian ramai peminat di media sosial. Berbeza dengan bapanya yang memiliki Audi S3 sebagai kereta pertama ketika bersama Manchester United dahulu, pilihan Ronaldo Jr. jauh lebih mewah dan berprestij. Difahamkan, model tersebut bukan keluaran baharu kerana versi 2025 tampil dengan beberapa perubahan kosmetik yang tidak terdapat pada kenderaan milik Ronaldo Jr. Malah, ada kemungkinan besar kereta itu merupakan salah satu koleksi milik Ronaldo sendiri yang dihadiahkan kepada anaknya. Untuk rekod, model Lamborghini Urus S dianggarkan berharga sekitar €265,000 (kira-kira RM1.28 juta) ketika dilancarkan tiga tahun lalu. Kenderaan berkuasa tinggi itu dilengkapi enjin V8 turbo 650 kuasa kuda, mampu memecut dari 0 ke 100 kilometer sejam dalam masa hanya 3.5 saat, dan mencapai kelajuan maksimum 305 kilometer sejam. Namun, Cristiano Ronaldo Jr. masih belum boleh memandunya secara rasmi kerana usia minimum untuk memandu di Arab Saudi ialah 18 tahun. Bagaimanapun, dia dijangka boleh mula belajar memandu pada usia 17 tahun melalui lesen percubaan (learner’s license) yang diperuntukkan di negara itu, dengan syarat perlu berada di bawah pengawasan orang dewasa.
- Keputusan rayuan FAM 7 pemain warisan mungkin Isnin atau Selasa
KUALA LUMPUR - Keputusan rayuan hukuman oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta tujuh pemain warisan yang digantung dijangka mengambil sedikit masa lagi sebelum diumumkan. Perkembangan terbaharu itu didedahkan oleh media pasukan Velez Sarsfield, Sabado Velez iaitu kelab yang diwakili salah seorang pemain warisan negara, Imanol Machuca. Menurut kenyataan yang dikongsikan di laman Instagram Sabado Velez berkenaan, sesi pendengaran rayuan telah berlangsung pada Khamis lalu dan pihak pembelaan bagi Machuca mengemukakan hujah mereka di hadapan FIFA. “Keputusan muktamad dijangka diumumkan antara Isnin dan Selasa minggu hadapan,” menurut kenyataan itu. Pihak yang rapat dengan pemain Velez berkenaan turut dilaporkan optimis terhadap hasil rayuan tersebut. “Semuanya akan berjalan dengan baik,” katanya. Sebelum ini, keputusan rayuan itu dijadualkan diumumkan pada Khamis lalu, namun tiada sebarang kenyataan daripada FIFA mahupun FAM mengenai rayuan tersebut. FAM serta tujuh pemain warisan negara dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
- Calon PRN Sabah, jangan ada sabotaj - Ahmad Maslan
PONTIAN – Berbaki seminggu sebelum Barisan Nasional (BN) mengumumkan senarai calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, ahli-ahli UMNO di negeri itu diseru supaya menerima keputusan pucuk pimpinan parti dengan hati terbuka. Ketua Sekretariat War Room UMNO Pusat, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, proses pemilihan calon kini berada pada peringkat akhir dan keputusan dibuat selepas meneliti pelbagai pandangan serta pertimbangan daripada UMNO Sabah dan UMNO pusat. “Saya berharap siapa pun yang telah diputuskan menjadi calon perlu diterima. Jangan ada sabotaj atau 'cah keting' yang hanya akan rugikan parti pada PRN kali ini. "Keputusan mengenai calon dibuat oleh pimpinan di peringkat negeri dan juga pusat setelah menilai semua sudut," katanya selepas Festival Budaya Bugis di Tampok Darat, Benut pada Sabtu. PRN ditetapkan SPR pada 29 November ini selepas dibubarkan kerajaan Sabah Oktober lalu.
- Muhyiddin Liabiliti untuk PN, dakwa Wan Saiful
SHAH ALAM- Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa menjadi liabiliti kepada Perikatan Nasional (PN) apabila timbul persoalan mengenai niat sebenar beliau selepas dikatakan berhasrat untuk kembali menjadi Perdana Menteri. Bekas pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, timbul tanda tanya sama ada langkah berkenaan dibuat demi perjuangan parti atau memenuhi kepentingan peribadi? "Persoalan ini dari segi politik, mencederakan mesej PN sebagai parti yang bersih dan stabil," katanya dalam program The Zaid Ibrahim Podcast yang disiarkan pada Jumaat. Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu turut menegaskan akuan bersumpah (SD) membabitkan 120 ketua bahagian parti itu bukan bertujuan mendesak Muhyiddin berundur sebagai Presiden Bersatu sebaliknya bagi menggesa supaya usul menamakan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri tidak dibawa dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT). "Lebih kurang dua minggu sebelum perhimpunan agung, timbul ura-ura bahawa ada satu usul hendak dibawa untuk menamakan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri. Kita tahu dari awal lagi Pas tidak bersetuju dan kita tidak mahu hubungan dengan parti itu menjadi renggang. "SD itu sebenarnya bukan mengenai tukar presiden tetapi diambil kesempatan oleh individu tertentu untuk menyatakan bahawa ia adalah usaha untuk menjatuhkan Muhyiddin. Malangnya, beliau pun percaya," dakwanya Jelas Wan Saiful, apabila timbul pelbagai persoalan dibangkitkan berhubung niat Muhyiddin untuk dinamakan sebagai calon perdana menteri, perkara yang seharusnya dilakukan oleh beliau adalah melepaskan jawatan kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin. Bagaimanapun, Wan Saiful berkata Hamzah turut dipanggil oleh lembaga disiplin kerana kegagalan Timbalan Prersiden Bersatu itu mengawal beliau.
- PRN Sabah: Perbincangan kerusi BN-PH hampir 70 peratus dimuktamadkan - Bung Moktar
PRN Sabah: Perbincangan kerusi BN-PH hampir 70 peratus dimuktamadkan - Bung Moktar SANDAKAN - Perbincangan pembahagian kerusi antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 kini di fasa akhir dengan hampir 70 peratus dimuktamadkan, kata Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin. Beliau berkata masih terdapat beberapa kerusi yang perlu diperhalusi antara kedua-dua pihak bagi mencapai persetujuan bersama sebelum pengumuman rasmi dibuat. "Ada lagi beberapa kerusi yang perlu diperhalusi antara BN dan PH. Insya-ALLAH saya akan berjumpa dengan pimpinan-pimpinan ini pada 3 atau 4 November ini untuk kita selesaikan,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Sentuhan Kasih Desa@Libaran di sini. Menjawab pertanyaan mengenai isu kelewatan dimuktamadkan pembahagian kerusi, Bung Moktar menjelaskan ia berpunca daripada keinginan kedua-dua pihak untuk bertanding di kawasan tertentu dan beliau turut mengesahkan BN akan mengurangkan kerusi ditandingi. Sebelum ini, laporan media menyatakan BN Sabah berhasrat untuk bertanding di 48 kerusi pada PRN kali ini. Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh penamaan calon PRN Sabah pada 15 November ini manakala tarikh pengundian awal dan hari pengundian masing-masing pada 25 dan 29 November.
- BUDI95: Lebih 13 juta rakyat nikmati penjimatan RM800 juta pada bulan pertama - MoF
BUDI95: Lebih 13 juta rakyat nikmati penjimatan RM800 juta pada bulan pertama - MoF KUALA LUMPUR - Sebanyak 13.1 juta rakyat telah melakukan transaksi di bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dengan nilai perbelanjaan sebanyak RM2.66 bilion dalam bulan pertama pelaksanaannya bermula 30 Sept lepas hingga semalam. Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan jumlah itu melibatkan pembelian 1.33 bilion liter petrol RON95 bersubsidi dengan jumlah subsidi kerajaan sekitar RM800 juta bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat. "Ini termasuk lebih 23,000 nelayan dan pengguna bot berdaftar yang tidak memiliki lesen memandu aktif, terutamanya di Sabah dan Sarawak,” menurut kenyataan itu. Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata pelaksanaan BUDI95 memastikan rakyat menerima manfaat subsidi secara langsung tanpa proses yang rumit di samping membolehkan kerajaan menyalur semula penjimatan kepada pembangunan dan kebajikan rakyat. "Jelas sekali program ini memberi manfaat berganda kepada rakyat dan negara,” katanya dalam kenyataan itu. MOF turut menjelaskan sejak pelaksanaan BUDI95, sebanyak 16.55 juta rakyat Malaysia layak menikmati harga subsidi RON95 pada kadar RM1.99 seliter berbanding RM2.60 seliter tanpa subsidi, melebihi unjuran asal sebanyak 15 juta orang. Di bawah program BUDI95, semua pemegang MyKad warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas yang mempunyai lesen memandu aktif layak membeli RON95 bersubsidi hingga 300 liter sebulan. Menurut kementerian itu, sejak 13 Oktober lepas Kerajaan Madani telah menaikkan had siling kelayakan bulanan bagi pemandu e-hailing sepenuh masa kepada 600 liter sebulan yang memanfaatkan hampir 58,000 pemandu e-hailing di seluruh negara. "Secara purata, penerima BUDI95 di bawah kategori persendirian mencatat penggunaan sebanyak 98.2 liter sebulan untuk Oktober 2025, jauh lebih rendah daripada had kelayakan bulanan 300 liter yang ditetapkan. "Setakat 26 Okt 2025, hanya kurang daripada 0.7 peratus jumlah penerima BUDI95 telah menggunakan sepenuhnya kelayakan bulanan mereka sebelum akhir bulan,” menurut kenyataan itu.









