BAM sasar dua emas di Sukan SEA Thailand
- kumara885
- 19 Okt
- 1 min membaca

PETALING JAYA – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mensasarkan dua pingat emas yang menjadi sandaran skuad badminton negara menjelang temasya Sukan SEA Thailand 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 9 hingga 20 Disember depan.
Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky percaya sasaran itu realistik berdasarkan senarai pemain yang akan dibawa nanti.
Katanya, sektor beregu campuran dan beregu wanita menunjukkan prestasi yang cukup stabil ketika ini, sekali gus mencerahkan peluang meraih dua emas.
“Kita perlu melihat kekuatan lawan seperti Indonesia dan Thailand yang turun dengan pasukan utama. Oleh itu, kalau mahu dua atau tiga emas, kita perlu bekerja keras,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Ahli Majlis Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di sini, hari ini.
Menurut Rexy, peluang Malaysia lebih cerah untuk meraih emas menerusi juara dunia beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei serta beregu wanita utama, Pearly Tan-M. Thinaah.
Bagaimanapun, secara keseluruhan, beliau menyifatkan Malaysia berpeluang untuk merangkul tiga pingat emas tetapi ia bergantung kepada prestasi semasa pemain ketika itu.





Komen