Jepun julung kali tewaskan Brazil dalam aksi persehabatan
- kumara885
- 15 Okt
- 1 min membaca

TOKYO, 15 Oktober - Jepun bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menundukkan Brazil 3-2 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Ajinomoto dekat sini malam tadi.
Brazil terlebih dahulu melakukan asakan bertali arus ke gawang tuan rumah dan berhasil memecahkan kebuntuan pada minit ke-26 apabila Paulo Henrique menemui lorongan Casemiro sebelum meledakkan rembatan rendah ke jaring Jepun.
Gabriel Martinelli kemudian menggandakan kelebihan itu sebelum menuju ke bilik persalinan dengan rembatan kaki kirinya pada minit ke-32.
Bagaimanapun, arus perlawanan itu berubah 180 darjah dalam separuh masa kedua untuk Jepun menghasilkan tiga gol bermula dengan jaringan Takumi Minamino, yang memanfaatkan kesilapan pertahanan Brazil, pada minit ke-52.
10 minit berselang, Keito Nakamura melepaskan penyudah voli, yang gagal ditampan keluar pertahanan Brazil, untuk Jepun mengikat kedudukan 2-2.
Ayase Ueda kemudian muncul wira Jepun apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-71 dengan tandukannya menewaskan Hugo Souza.
Sebagai rekod, ia merupakan kali pertama Jepun menewaskan Brazil selepas 14 percubaan sebelum ini.





Komen