Liverpool dimalukan Forest di Anfield
- Editorial
- 23 Nov
- 2 min membaca

EPL: Liverpool dilanyak dihalaman sendiri oleh Forest
ANFIELD - Skuad Liverpool terus ditimpa malang apabila dilantak teruk 3-0 dihalaman sendiri, Anfield oleh Nottingham Forest dalam aksi Liga Perdana Inggeris malam tadi.
Kapten pasukan itu, Virgil van Dijk yang terkejut dengan kekalahan keenam pasukan itu menggesa rakan sepasukan supaya bangkit segera selepas skuad kendalian Arne Slot itu terus dirundung malang.
Kekalahan keenam dalam tujuh perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL) itu mendedahkan benteng pertahanan juara bertahan EPL itu rapuh terutamanya dalam situasi bola mati.
Jaringan pembukaan Murillo pada separuh masa pertama berpunca daripada kegagalan Van Dijk mengeluarkan bola dengan kemas hasil sepakan penjuru Elliot Anderson. Ia disusuli dua gol babak kedua menerusi Nicolo Savona dan Morgan Gibbs-White yang menyaksikan penyokong The Reds mula meninggalkan stadium lebih awal akibat kekecewaan.
Statistik menunjukkan kelemahan ketara Liverpool musim ini apabila gol Murillo itu merupakan gol kesembilan yang dibolosi mereka menerusi situasi bola mati (tidak termasuk penalti). Jumlah itu menyamai rekod bolos situasi sama sepanjang musim lalu.
Malah, empat daripadanya berpunca daripada sepakan penjuru, melebihi jumlah tiga gol yang dilepaskan dalam situasi serupa pada kempen 2024-25.
Van Dijk yang tidak berselindung mengenai kesilapannya mengakui benteng pertahanan pasukannya terlalu mudah ditembusi.
"Kami melepaskan gol yang terlalu mudah. Jelas sekali mereka menjaringkan gol daripada situasi bola mati lagi.
"Saya akui hantaran itu (untuk gol pertama) mungkin berada di depan Alisson, tetapi ia tetap dikira gol dan kami ketinggalan 1-0.
"Kami tidak cukup bagus dari segi pertarungan fizikal, cabaran dan semangat juang. Semuanya nampak terburu-buru. Ia situasi yang sangat sukar ketika ini," katanya.
Menurut Van Dijk, pasukannya kelihatan gugup sebaik sahaja dibolosi gol sehingga mengakibatkan rentak permainan the Kops menjadi tidak menentu.
"Timbul perasaan gugup selepas kami dibolosi, bukan sebelumnya. Kami cuba melakukan perkara dengan tergesa-gesa dan itu adalah sifat manusia apabila berada dalam keadaan sukar.
"Ini adalah satu masalah. Semua orang dalam pasukan perlu memikul tanggungjawab. Bola sepak adalah permainan berpasukan," tegasnya.-Agensi





Komen