top of page
  • kumara885
  • 7 hari lalu
  • 1 min membaca
Vincent Kompany
Vincent Kompany

KEJAYAAN membawa Bayern Munich mengekalkan dominasi domestik menjadi asas kepada keputusan kelab gergasi Jerman itu menambah tempoh kontrak Vincent Kompany selama dua tahun lagi hingga 2029.


Pengendali dari Belgium itu, yang tiba di Allianz Arena tahun lalu dengan kontrak asal sehingga 2027, berjaya menghadiahkan kejuaraan Bundesliga dalam musim pertamanya pencapaian yang segera menambat hati pengurusan dan penyokong kelab.


Musim ini, Bayern terus gah di puncak carta Bundesliga dengan rekod sempurna tujuh kemenangan daripada tujuh perlawanan, termasuk kejayaan menundukkan musuh tradisi Borussia Dortmund 2-1 dalam aksi Der Klassiker hujung minggu lalu.


“Saya rasa seolah-olah sudah lama bersama Bayern kerana hubungan dengan kelab ini sangat mendalam. Ia satu perjalanan indah yang baru bermula kami mahu terus bekerja keras dan mencipta lebih banyak kejayaan,” kata Kompany dalam kenyataan kelab.


Kompany, 39, turut membawa Bayern mencatat 11 kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan, termasuk saingan Liga Juara-Juara menjelang pertemuan menentang Club Brugge, awal pagi Khamis.


Presiden kelab, Herbert Hainer menyifatkan lanjutan kontrak itu sebagai bentuk penghargaan atas sumbangan luar biasa Kompany serta simbol kestabilan di kelab paling berjaya di Jerman itu.


Komen


bottom of page