- kumara885
- 15 Okt
- 2 min membaca

Piala Asia 2027: Harimau Malaya lanyak Laos di Bukit Jalil
KUALA LUMPUR - Pasukan kebangsaan Harimau Malaya menepati ramalan apabila berjaya membelasah lawannya Laos dalam aksi keempat Kumpulan F, pusingan kelayakan Piala Asia 2027 malam tadi.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, skuad kebangsaan yang turun tanpa tujuh tonggak utama pemain warisan dikejutkan dengan gol pasukan pelawat yang menduduki ranking 185 dunia itu pada minit ke-19 separuh masa pertama menerusi rembatan Chanthavixay Khounthoumphone.
Harimau Malaya yang tidak menjangkakan gol awal itu terus menyusun strategi bagi mencari gol penyamaan sebelum perlawanan ditangguh memihak kepada pelawat separuh masa pertama.
Bermula separuh masa kedua, Harimau Malaya terpaksa menunggu hingga minit ke-59 untuk menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma menarik Faisal Halim yang berjaya menewaskan Lokphatip.
Jaringan itu jelas mencetus kebangkitan skuad negara apabila Morales menambah dua gol dalam tempoh lima minit - pada minit ke-65 dan 70.
Malang terus menimpa Laos selepas Khammanh Thapaseut tertanduk bola ke gawang sendiri pada minit ke-80 ketika dia cuba membuat hantaran kepada Lokphatip.
Pemain gantian, Paulo Josue kemudian melengkapkan kebangkitan penuh bergaya skuad negara di hadapan 18,901 penonton apabila meledak gol kelima selepas tidak sampai seminit dia masuk menggantikan Faisal pada minit ke-81.
Kemenangan itu mengukuhkan kedudukan Harimau Malaya di tangga teratas Kumpulan F dengan mengumpul 12 mata selepas memenangi semua empat perlawanan awal dan tiga mata di depan pencabar utama, Vietnam.
Anak buah Cklamovski kemudian akan meneruskan perjuangan dalam kempen kelayakan itu berdepan Nepal, 18 November ini.
Kemenangan itu sekaligus melonjakkan kedudukan pasukan kebangsaan dalam ranking FIFA apabila secara tidak rasmi menduduki tangga ke-117 dunia apabila kemaskini rasmi ranking pasukan bola sepak dilaksanakan oleh FIFA pada 23 Oktober 2025 nanti.





Komen