- kumara885
- 38false39 GMT+0000 (Coordinated Universal Time)
- 1 min membaca

PSM kini milik akademi sepak takraw terbaik dunia
KUALA LUMPUR – Sukan sepak takraw negara kini beralih ke fasa transformasi untuk memastikan Malaysia terus menjadi peneraju sukan tersebut dengan bermulanya kerja-kerja menaik taraf Kompleks Sukan Jalan Raja Muda bagi pembangunan Akademi Sepak Takraw Malaysia di Kampung Baru.
Projek bernilai RM6 juta yang dijangka siap dalam tempoh tiga bulan itu bukan sahaja bakal menjadi pusat latihan paling lengkap, malah akan muncul sebagai akademi sepak takraw eksklusif pertama di Asia dan mungkin di dunia.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, keputusan untuk menaik taraf fasiliti sedia ada adalah langkah strategik bagi mengoptimumkan perbelanjaan dan mengelak pembaziran bagi membina stadium baharu.
“Kita tidak berminat membina fasiliti baharu kerana lebih baik menaik taraf bangunan sedia ada. Model ini lebih efisien dan menjimatkan,” katanya selepas menyempurnakan gimik memulakan kerja naik taraf di kompleks sukan itu, hari ini.
Projek yang dilaksanakan di atas tanah milik Institut Sukan Negara (ISN) itu akan
dipajakkan kepada Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) bagi tempoh pajakan selama tiga tahun dengan pilihan tawaran lanjutan enam tahun (3+3).
Menurut Hannah, akademi tersebut bakal dilengkapi pelbagai kemudahan serba moden di bawah satu bumbung, termasuk penginapan atlet, gimnasium, bilik pembelajaran serta gelanggang latihan.





Komen