SJKT Ladang Rinching johan Piala YB Onn Abu Bakar Parlimen Batu Pahat
- Editorial
- 27 Nov
- 1 min membaca

KAJANG - Pasukan Bola Sepak Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ladang Rinching mencipta sejarah apabila muncul sebagai juara Kejohanan Bola Sepak bawah 12 tahun Piala YB Onn Abu Bakar Parlimen Batu Pahat Peringkat Kebangsaan 2025 pada kali ini.
Ia merupakan julung kali sekolah berkenaan mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut dan muncul sebagai satu-satunya sekolah Tamil menyertai kejohanan di peringkat kebangsaan yang berlangsung kali ini di Sekolah Kebangsaan Temenggong Ibrahim Penggaram pada 22 November lalu.
Pasukan SJKT Ladang Rinching telah dilatih oleh bekas pemain kebangsaan dan Selangor K.Gurusamy dan P.Nanthakumar untuk turun mengasak bakat murid-murid sekolah dalam kejohanan tersebut.
Walaupun ia merupakan penyertaan julung kali, pasukan SJKT Ladang Rinching telah mempamerkan aksi terbaik atas padang apabila menewaskan pasukan tuan rumah iaitu SK Temenggong Ibrahim Penggaram dengan keputusan 3-0 dalam perlawanan akhir sebelum menjulang Piala sebagai johan pertandingan bola sepak tersebut.
Malahan, pasukan SJKT Ladang Rinching juga berjaya memenangi hadiah sapu bersih hadiah dua kategori yang dipertandingkan dalam kejohanan kali ini iaitu penjaring terbanyak menjadi milik Piravin Udayakumar dan Kavin Thiagu pula muncul sebagai penjaga gol terbaik kejohanan tersebut.





Komen