top of page

Ten Hag diintai Wolves, bakal kembali ke EPL

  • S.KUMARA
  • 7 Nov
  • 1 min membaca
Ten Hag
Ten Hag

LONDON - Bekas pengendali Manchester United, Erik ten Hag dilaporkan menjadi antara calon utama untuk menggantikan Vitor Pereira selaku pengurus baharu Wolverhampton Wanderers.


Menurut laporan The Athletic, Ten Hag kini disenaraikan bersama bekas pengendali Wolves, Gary O’Neil yang turut disebut-sebut bakal kembali ke Molineux selepas meninggalkan kelab itu pada Disember 2024.


Ten Hag kini tanpa pasukan selepas dipecat oleh kelab Bundesliga, Bayer Leverkusen pada 1 September lalu hanya selepas tiga perlawanan dan 62 hari mengemudi pasukan tersebut.


Bagaimanapun, jurulatih dari Belanda itu berpeluang membuat kemunculan semula dalam saingan Liga Perdana Inggeris bersama pasukan tercorot liga itu.


Wolves bertindak memecat Pereira pada Ahad lalu selepas permulaan musim yang hambar, apabila hanya mengutip dua mata daripada 10 perlawanan pertama liga.


Ten Hag sebelum ini lebih sinonim dengan pasukan berstatus besar dan belum pernah membimbing pasukan yang bergelut di zon penyingkiran. Namun, peluang ini mungkin dilihatnya sebagai ruang untuk menebus reputasi selepas dipecat oleh Manchester United pada Oktober tahun lalu.


Ketika bersama United, Ten Hag berjaya membawa dua trofi domestik ke Old Trafford, namun prestasi buruk dalam saingan liga menyebabkan beliau kehilangan jawatan.


Sementara itu, Wolves yang kini lapan mata di bawah zon selamat, dilihat berdepan cabaran besar untuk mengubah nasib musim ini.-Agensi


Komen


bottom of page