Terbuka Australia: Tang Jie-Ee Wei mara ke final
- BERNAMA
- 23 Nov 2025
- 1 min membaca

BEREGU campuran utama negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei hanya selangkah lagi untuk merangkul gelaran kedua mereka tahun ini selepas menampilkan aksi bertenaga untuk mara ke final Kejohanan Badminton Terbuka Australia 2025 di Sydney pada Sabtu.
Pada aksi separuh akhir kejohanan Super 500 di Quaycentre, Olympic Boulevard itu, juara dunia dan pilihan utama itu mengambil masa 50 minit untuk menumpaskan pasangan Thailand Pakkapon Teeraratsakul-Sapsiree Taerattanachai 21-16, 21-14, untuk menempah slot ke final esok.
Beregu nombor empat dunia itu akan menentang pilihan kedua dari Indonesia, Jafar Hidayatullah-Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu yang menyingkirkan cabaran pilihan ketiga dari Thailand Ruttanapak Oupthong-Jhenicha Sudjaipraparat, 19-21, 21-13, 21-14.
Sementara itu, hasrat beregu lelaki profesional negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani untuk mara ke final ketiga mereka tahun ini tidak kesampaian selepas tewas mengejut kepada pasangan bukan pilihan dari Indonesia Raymond Indra-Nikolaus Joaquin.
Beregu pilihan kedua itu tewas 15-21, 15-21 dalam masa 42 minit pada pertemuan pertama mereka menentang Raymond-Nikolaus.
Pasangan yang kini menghuni ranking keempat dunia itu hanya meraih satu gelaran tahun ini pada Terbuka India 2025, Januari lalu dan muncul naib juara Terbuka Jepun 2025, Julai lalu. - Bernama





Komen