- kumara885
- 8 jam lalu
- 1 min membaca

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menemukan petunjuk baharu dalam usaha untuk mengesan dan membawa balik ahli perniagaan yang diburu Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, yang juga menantu kepada bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkembangan terbaharu itu diperolehi hasil kerjasama antara PDRM dan Polis Antarabangsa (Interpol).
"Apa yang saya boleh sebut bahawa kerjasama kami dengan pihak Polis Antarabangsa sedang berjalan dan sememangnya kami menemukan beberapa petunjuk baharu.
"Saya tidak mahu jelaskan lebih terperinci sebab itu boleh mengganggu kerja-kerja siasatan tapi kami mengesan beberapa petunjuk baharu yang membantu usaha kami mengesan dan membawa beliau balik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat dasar bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Dewan Rakyat di sini.
Beliau berkata demikian menjawab celahan RSN Rayer (PH-Jelutong) dan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) yang masing-masing bertanyakan status usaha mengesan dan membawa balik ahli perniagaan itu yang kini dalam buruan pihak berkuasa.
Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution menambah bahawa notifikasi mengenai individu yang diburu itu sudah berada dalam pengetahuan Interpol dan perkara berkenaan telah disahkan oleh pihak berkuasa antarabangsa itu.
"Saya sendiri telah temui ketuanya (Interpol). Pihak berkuasa kita khususnya polis dalam kes ini menjalankan seluruh usaha mereka dengan memanfaatkan hubungan P2P (Police to Police) dan jaringan Interpol.
"Itu adalah tertib proses bagi tujuan membawa balik mana-mana individu yang dikehendaki untuk berdepan dengan proses undang-undang,” tegasnya.





Komen