Bayi maut minum sirap batuk
- kumara885
- 1 Nov
- 1 min membaca

MADHYA PRADESH – Seorang bayi perempuan yang hanya berusia lima bulan, Ruhi Minote, meninggal dunia pada pagi Khamis selepas diberikan beberapa jenis ubat termasuk sirap batuk herba yang dibeli dari sebuah kedai perubatan swasta di pekan Bichua.
Daerah itu sebelum ini menjadi tumpuan seluruh negara apabila sekurang-kurangnya 20 kanak-kanak maut akibat kegagalan buah pinggang selepas mengambil sirap batuk yang tercemar dalam insiden pada September lalu.
Menurut laporan, ibu bapa Ruhi yang gagal mendapatkan doktor di pusat kesihatan kerajaan di Bichua, terpaksa mendapatkan rawatan di kedai ubat tempatan, Kurethe Medicals pada Isnin.
Bapa mangsa, Sandip Minote, berkata mereka diberi beberapa paket kecil ubat dan sebotol sirap batuk herba.
"Pada mulanya keadaan anak saya kelihatan bertambah baik, namun semakin teruk keesokan harinya.
"Bila kami bawa ke pusat kesihatan komuniti pada Khamis, doktor mengesahkan dia sudah meninggal dunia," katanya.
Berikutan laporan tersebut, polis Bichua telah membuka siasatan di bawah Seksyen 194 Akta Bharatiya Nagarik Suraksha Sanhita (BNSS).
Menurut Ketua Balai Polis Bichua, Satish Uikey, dua lelaki yang mengendalikan kedai ubat itu kini sedang disoal siasat, manakala pasukan daripada Jabatan Makanan dan Ubat-Ubatan serta Jabatan Kesihatan negeri telah merampas dan menghantar semua ubat untuk diuji.
"Jika terbukti ada unsur kecuaian, tindakan tegas akan diambil," ujarnya.
Kedai ubat berkenaan juga kini ditutup sementara bagi tujuan siasatan sehingga selesai sepenuhnya.
Selepas kematian tragis bayi lima bulan itu, penduduk tempatan menuntut kawal selia yang lebih ketat terhadap farmasi serta pemeriksaan berkala terhadap semua ubat yang dijual tanpa preskripsi doktor.





Komen