top of page

Liga Juara-juara: Liverpool dimalukan lagi di Anfield

  • kumara885
  • 28 Nov
  • 1 min membaca
ree

NASIB kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) Liverpool terus bertambah parah apabila dimalukan lagi di tempat sendiri Anfield dalam pada awal pagi Khamis apabila mereka dilanyak 1-4 oleh PSV Eindhoven dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL).


Keputusan itu sekali gus merekodkan kekalahan pertama the Kops di Anfield dalam 14 perlawanan peringkat kumpulan kejohanan elit Eropah tersebut.


Couhaib Driouech menjadi pemangkin utama kemenangan PSV dengan dua jaringan, manakala Ivan Perisic melalui sepakan penalti serta Guus Til turut mencatat nama sebagai penjaring.


Kejayaan itu mengangkat PSV ke tangga ke-14 UCL dengan lapan mata, manakala Liverpool yang bergelut dengan sembilan kekalahan dalam 12 aksi terakhir merentasi semua pertandingan jatuh ke kedudukan ke-12 dengan mengumpul sembilan mata sahaja.


The Reds berdepan permulaan buruk apabila tindakan pelik Virgil van Dijk yang tertampan bola dengan tangan (tiru aksi Maradona) membawa padah apabila menghadiahkan penalti kepada PSV seawal minit keenam dan Perisic tenang menewaskan Giorgi Mamardashvili.


Bagaimanapun, Liverpool kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-16 menerusi Dominik Szoboszlai selepas percubaan Cody Gakpo gagal digenggam kemas penjaga gol Matej Kovar, sebelum bola muntah tepat ke ruang yang disambar pemain Hungary itu.


Tetapi, PSV kembali berada di depan pada minit ke-56 apabila Til melakukan larian tepat waktunya untuk menyambut hantaran Mauro Junior, mengatasi kawalan Milos Kerkez sebelum menolak masuk melepasi Mamardashvili.


Driouech kemudian melebarkan jurang pada minit ke-73 selepas rembatan Ricardo Pepi mengenai tiang dan beliau pantas menolak bola lantun itu ke gawang.


Penyerang PSV itu menamatkan malam cemerlang dengan gol keduanya pada masa kecederaan, menyempurnakan hantaran Sergino Dest.


Pada Sabtu lalu, Liverpool dimalukan Nottingham Forest 3-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield. - Agensi

Komen


bottom of page