Narkotik Indonesia lontar amaran sindiket dadah sasar pelajar
- kumara885
- 29 Okt 2025
- 1 min membaca

JAKARTA- Agensi Narkotik Kebangsaan (BNN) Indonesia memberi amaran sindiket dadah kini menggunakan pelbagai cara baharu untuk mengedar bahan terlarang termasuk menyasarkan golongan pelajar, lapor agensi berita ANTARA.
Ketua BNN, Pesuruhjaya Tinggi Jeneral Suyudi Ario Seto, berkata edaran bahan terlarang kini tidak lagi dilakukan dalam bentuk konvensional, sebaliknya diperbuat sebagai gula-gula, minuman serta rokok elektronik atau vape.
Bercakap pada Kem Nasional Antidadah di Jakarta pada Sabtu, Seto menyeru pelajar sentiasa berwaspada dan menolak godaan untuk mencuba bahan berbahaya.
"Mencuba dadah, walaupun sekali, boleh menyebabkan ketagihan. Lama-kelamaan, penyalahgunaan dadah boleh merosakkan otak, kesihatan fizikal dan mental, malah dalam banyak kes boleh membawa maut," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.
Seto menegaskan bahawa golongan muda memainkan peranan penting dalam melindungi negara daripada ancaman narkotik, sambil memuji semangat peserta kem yang menunjukkan keprihatinan terhadap masa depan Indonesia.
Kem anjuran Barisan Intelektual Strategi Objektif Nasional (BISON) itu dianggap sebagai usaha positif untuk meningkatkan kesedaran pelajar terhadap bahaya dadah.
Program itu turut berperanan sebagai platform pembinaan sahsiah, mengukuhkan tekad serta menanam semangat saling melindungi dalam kalangan generasi muda daripada ancaman narkotik.
Utusan Khas Presiden bagi Pembangunan Belia dan Pekerja Kreatif, Raffi Ahmad yang turut hadir, mengingatkan peserta menjauhi dadah dan menumpukan usaha ke arah kecemerlangan.
"Jangan fikir menggunakan dadah menjadikan anda kelihatan hebat, yang benar-benar hebat ialah apabila anda berkarya dan mencapai kejayaan, bukan apabila anda mengambil dadah. Jadi, jangan sesekali mencubanya," kata Raffi.




Komen