top of page

Search Results

548 hasil ditemukan dengan carian kosong

  • Askar tendang tetamu tak diundang curi lauk daging di majlis kahwin

    lelaki curi di kenduri kahwin ditendang tentera JAKARTA – Seorang tetamu tidak diundang mengundang perhatian orang ramai apabila ditangkap mencuri masakan daging dari sebuah majlis perkahwinan di Indonesia, lapor portal berita Lambe Turah. Majlis perkahwinan itu berlangsung di Bandung, wilayah Jawa Barat baru-baru ini. Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @radarbandung menunjukkan tetamu itu dikepung orang ramai dan anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI). Dia kemudian mengeluarkan sebuah bekas berisi makanan daripada beg miliknya. Selain ditengking, anggota tentera itu menendang motosikal dan kakinya secara berulang kali.

  • Wanita warga emas melecur, anak pengaruh dadah bakar rumah

    wanita tua melecur selepas rumah dibakar anaknya di Pengkalan Hulu, Gerik Perak Wanita warga emas melecur, anak pengaruh dadah bakar rumah PENGKALAN HULU – Seorang lelaki yang berada di bawah pengaruh dadah ditahan selepas dipercayai membakar rumah keluarganya di Kampung Seberang Kuak Hulu di sini hari ini. “Pada pukul 1.08 pagi tadi, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu menerima maklumat mengenai kejadian kebakaran rumah di Kampung Seberang Kuak Hulu. Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Hulu dengan dibantu BBP Baling, Kedah pergi ke lokasi dan api berjaya dipadam pada pukul 2.30 pagi. “Seorang wanita berusia 66 tahun yang juga ibu suspek dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar bagi mendapatkan rawatan akibat melecur dan memerlukan pembedahan segera,” katanya. Menurut beliau, siasatan awal mendapati, punca kebakaran dipercayai akibat perbuatan khianat anak pemilik rumah yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah. “Suspek yang tinggal bersama ibu bapanya di rumah tersebut direman empat hari sehingga Sabtu ini untuk siasatan di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan,” katanya. Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu, Superintendan Zulkepli Ibrahim berkata, lelaki berusia 25 tahun itu ditahan pada pukul 3.25 pagi tadi dan ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methaphetamine.

  • Dr Zaliha ketuai pasukan petugas khas Kampung Baru, Kampung Sungai Baru

    zaliha KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa diamanahkan untuk mengetuai pasukan petugas khas bagi menjamin kepentingan komuniti Melayu di Kampung Baru dan Kampung Sungai Baru. Dr Zaliha berkata, pasukan petugas khas itu, akan menyelaras rundingan antara pemaju, agensi kerajaan dan wakil komuniti tempatan. Beliau mendapati masih ramai Ahli Parlimen khususnya bagi pihak pembangkang, tidak dapat membezakan di antara Kampung Baru dan Kampung Sungai Baru walaupun sudah beberapa kali dijelaskan. "Walaupun Kampung Sungai Baru sebahagian daripada Kampung Baru, tetapi statusnya berbeza. Kampung Sungai Baru bukan tanah MAS (Malay Agricultural Settlement) dan tidak pernah juga diwartakan sebagai rizab Melayu,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat dasar bagi Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), di Dewan Rakyat pada Rabu. Dr Zaliha berkata, kerajaan mengambil pendekatan baharu untuk meningkatkan kadar pemilikan bumiputera di Kampung Sungai Baru melalui empat intervensi utama iaitu pertama, penglibatan aktif syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti UDA Holdings Berhad dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dalam pembangunan semula kawasan Melayu strategik. Kedua, penetapan rumah ganti hanya untuk orang Melayu bagi memastikan kesinambungan sosiobudaya di kawasan bersejarah seperti Kampung Baru dan Sungai Baru. Ketiga, diversifikasi komponen pembangunan termasuk unit kondominium, SOHO (pejabat rumah kecil), rumah kedai dan pejabat mampu milik Melayu bagi menambah kapasiti pemilikan warga bandar Melayu. Intervensi keempat ialah pemantauan pematuhan kuota bumiputera atau Melayu di kawasan itu oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), di bawah mekanisme laporan suku tahunan. Sementara itu, mengulas mengenai cadangan pelantikan Ahli Majlis di Kuala Lumpur, Dr Zaliha berkata perkara itu akan diteliti melalui penubuhan pasukan petugas untuk mengkaji keperluan pindaan undang-undang, namun pilihan raya kerajaan tempatan tidak menjadi keutamaan kerajaan buat masa ini. Beliau berkata, Majlis Menteri Wilayah dan mesyuarat konsultasi Datuk Bandar Kuala Lumpur bersama Ahli Parlimen wilayah, akan diadakan setiap tiga bulan sebagai platform rasmi membincang dasar dan isu warga kota.

  • 2.4 hektar hutan terbakar di Jalan Pulau Angsa

    2.4 hektar hutan terbakar di Jalan Pulau Angsa SHAH ALAM – Suasana di sekitar Jalan Pulau Angsa U10/2, Taman Perdana Heights di sini pada Rabu dikejutkan dengan kepulan asap tebal yang dipercayai berpunca daripada kebakaran hutan di kawasan berkenaan. Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang itu, api dilaporkan merebak dengan cepat di kawasan hutan seluas 2.4 hektar sebelum berjaya dikawal oleh pasukan bomba. Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.15 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong bergegas ke lokasi. “Tujuh anggota bersama sebuah jentera FRT dan sebuah tangki air dikerahkan ke lokasi kejadian. “Setibanya di lokasi pada jam 4.27 petang, didapati kebakaran melibatkan kawasan hutan seluas 2.4 hektar,” katanya dalam kenyataan di sini. “Pasukan bomba turut menggunakan sumber air daripada tangki dan paip berdekatan bagi mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan belukar tebal berhampiran. “Siasatan awal mendapati tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

  • Kereta tembung lori tangki minyak, dua beradik maut

    Dua beradik maut langgar lori tangki minyak dalam nahas di Sibu semalam. Kereta tembung lori tangki minyak, dua beradik maut SIBU - Dua beradik maut apabila kereta yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan jalan raya dengan sebuah lori tangki minyak di Kilometer 10 Jalan Majau, berhampiran SK Ulu Majau, Kanowit dekat sini, tengah hari tadi. Ketua Polis Daerah Kanowit, Deputi Superintenden, Junical Ujal berkata, mangsa dikenali sebagai Musa Minggat, 50, (pemandu kereta) dan abangnya Budin Minggat, 67, dan mayat mereka telah dibawa ke Hospital Kanowit untuk bedah siasat. "Pihak polis mengesahkan dua lelaki maut dalam kemalangan jalan raya yang melibatkan kereta Perodua Axia berwarna perak dan sebuah lori tangki membawa muatan minyak di lokasi kejadian Jalan Majau berhampiran SK Ulu Majau, Kanowit. "Hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Axia yang dipandu oleh mangsa telah hilang kawalan, bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu. Junical turut menambah bahawa kes sedang disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

  • Siasatan sudah selesai, menantu Muhyiddin akan diheret ke mahkamah - Azam Baki

    AZAM BAKI SUBANG JAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah selesai melengkapkan siasatan ke atas ahli perniagaan Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan dan sedang menunggu proses pertuduhan di mahkamah. Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya selesai merakam percakapan semua saksi bagi membantu siasatan isu rasuah dan penyelewengan projek di sebuah kementerian melibatkan menantu bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin itu yang kini dikesan berada di salah sebuah negara Timur Tengah dan seorang peguam Mansoor Saat. "Kes ini telah selesai, satu-satunya perkara yang tinggal adalah kami mahu dia kembali (pulang ke Malaysia) kerana semua saksi telah dirakam percakapan, kami mahu mendakwa dia dan juga peguam (terbabit),” katanya secara ringkas pada Rabu. Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Negara Anggota Asia Tenggara Memerangi Rasuah (SEA-PAC) ke-21 di sini. Dalam perkembangan sama, Azam juga menambah bahawa pihaknya juga sedang menjejaki aset milik Muhammad Adlan di luar negara. Bagaimanapun, pada masa sama beliau turut mengakui bahawa proses itu mengambil masa dan bukan sesuatu yang mudah kerana membabitkan kerjasama dengan pihak berkuasa negara lain. "Siasatan terhadap aset yang dikenal pasti hanya akan diteruskan sekiranya ia mempunyai kaitan langsung dengan kes yang sedang disiasat sekarang. "Setakat ini, kami tiada jawapan sama ada dia menggunakan proksi atau tidak, itu di luar pengetahuan kami tetapi kami percaya dia mempunyai aset di luar negara… jika tidak, bagaimana dia mampu untuk tinggal di sana,” ujarnya. Selain itu Azam turut memaklumkan bahawa SPRM sedang bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mengesan lokasi sebenar Muhammad Adlan, selepas pasportnya dibatalkan oleh Jabatan Imigresen. Beliau juga tidak menolak kemungkinan besar menantu bekas PM itu bergerak ke luar negara menggunakan dokumen perjalanan lain. Sebelum ini SPRM dilaporkan sedang memburu Muhammad Adlan dan Mansoor bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.

  • Harga terkini RON95 kekal RM2.60, RON97 naik enam sen

    Harga RON95 kekal, RON97 naik 6 sen jadi RM3.20 seliter\ KUALA LUMPUR - Kerajaan pada hari ini mengumumkan harga bahan api petrol bagi RON95 dan RON 97 untuk tempoh tujuh hari akan datang . Sehubungan itu, berdasarkan penyelarasan peruncitan terkini, harga runcit RON95 tanpa subsidi kekal pada paras RM2.60 seliter, manakala RON97 dinaikan enam sen menjadi RM3.20 seliter bagi tempoh 30 Oktober hingga 5 November ini. Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan bahawa bagi tempoh sama, harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia turut naik sebanyak enam sen kepada RM2.95 seliter. Manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal harga diesel kekal pada paras RM2.15 seliter. "Selain itu, harga runcit petrol bersubsidi RON 95 dibawah Budi Madani RON95 (BUDI95) kekal pada RM1.99 seliter. "Penetapan harga itu berdasarkan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik," ujarnya. MOF juga memaklumkan bahawa kerajaan akan terus memantau trend harga minyak mentah dunia dan mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

  • Narkotik Indonesia lontar amaran sindiket dadah sasar pelajar

    gambar hiasan dadah JAKARTA- Agensi Narkotik Kebangsaan (BNN) Indonesia memberi amaran sindiket dadah kini menggunakan pelbagai cara baharu untuk mengedar bahan terlarang termasuk menyasarkan golongan pelajar, lapor agensi berita ANTARA. Ketua BNN, Pesuruhjaya Tinggi Jeneral Suyudi Ario Seto, berkata edaran bahan terlarang kini tidak lagi dilakukan dalam bentuk konvensional, sebaliknya diperbuat sebagai gula-gula, minuman serta rokok elektronik atau vape. Bercakap pada Kem Nasional Antidadah di Jakarta pada Sabtu, Seto menyeru pelajar sentiasa berwaspada dan menolak godaan untuk mencuba bahan berbahaya. "Mencuba dadah, walaupun sekali, boleh menyebabkan ketagihan. Lama-kelamaan, penyalahgunaan dadah boleh merosakkan otak, kesihatan fizikal dan mental, malah dalam banyak kes boleh membawa maut," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin. Seto menegaskan bahawa golongan muda memainkan peranan penting dalam melindungi negara daripada ancaman narkotik, sambil memuji semangat peserta kem yang menunjukkan keprihatinan terhadap masa depan Indonesia. Kem anjuran Barisan Intelektual Strategi Objektif Nasional (BISON) itu dianggap sebagai usaha positif untuk meningkatkan kesedaran pelajar terhadap bahaya dadah. Program itu turut berperanan sebagai platform pembinaan sahsiah, mengukuhkan tekad serta menanam semangat saling melindungi dalam kalangan generasi muda daripada ancaman narkotik. Utusan Khas Presiden bagi Pembangunan Belia dan Pekerja Kreatif, Raffi Ahmad yang turut hadir, mengingatkan peserta menjauhi dadah dan menumpukan usaha ke arah kecemerlangan. "Jangan fikir menggunakan dadah menjadikan anda kelihatan hebat, yang benar-benar hebat ialah apabila anda berkarya dan mencapai kejayaan, bukan apabila anda mengambil dadah. Jadi, jangan sesekali mencubanya," kata Raffi.

  • 10 pelancong antara 11 terbunuh pesawat terhempas di Kenya

    11 dikhuatiri mati selepas sebuah pesawat ringan terhempas di Kenya semalam. NAIROBI - Sebelas orang termasuk 10 pelancong asing terbunuh awal Selasa apabila sebuah pesawat ringan terhempas di Kwale County, wilayah pesisir Kenya ketika dalam perjalanan ke Rizab Negara Maasai Mara yang terkenal di dunia, lapor Xinhua. Syarikat penerbangan Mombasa Air Safari mengesahkan bahawa lapan penumpang warga Hungary dan dua warga Jerman bersama seorang juruterbang warga tempatan berada dalam pesawat dengan nombor pendaftaran 5Y-CCA, yang berlepas dari Diani, sebuah bandar peranginan popular. "Malangnya, tiada yang terselamat,” menurut syarikat itu dalam satu kenyataan, sambil memaklumkan bahawa pasukan respons kecemasan telah diaktifkan dan pihaknya bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa bagi mengenal pasti punca nahas. Mombasa Air Safari, yang mengendalikan penerbangan berjadual dan sewa khas ke beberapa destinasi pelancongan di seluruh Kenya, turut menyatakan "dukacita mendalam” dan menubuhkan pasukan bantuan keluarga bagi menyediakan kaunseling serta sokongan logistik kepada waris mangsa. Pasukan penyelamat daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Kenya, Palang Merah Kenya dan pihak berkuasa tempatan digerakkan ke lokasi nahas sejurus selepas kejadian dilaporkan. Serpihan bangkai pesawat ditemukan bertaburan di kawasan berbukit di Kwale, tempat pasukan kecemasan berusaha mengeluarkan mayat mangsa dan mengawal lokasi kejadian. Pihak berkuasa penerbangan Kenya memaklumkan bahawa siasatan bersama telah dilancarkan dengan penyertaan wakil dari Hungary, Jerman dan pengeluar pesawat berkenaan bagi menentukan punca kemalangan itu. - BERNAMA/Xinhua

  • Ibu bapa budak 6 tahun kena kelar ditahan polis

    ibu bapa kepada kanak-kanak lelaki cedera dikelar di leher ditahan polis bantu siasatan lanjut. BATU PAHAT – Polis telah membuat tangkapan ke atas suami isteri yang merupakan Ibu bapa kepada kanak-kanak lelaki yang tercedera di leher selepas dipercayai dikelar dengan senjata tajam pagi Isnin. Pasangan itu ditahan polis pada jam pukul 4 petang semalam di pekarangan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Batu Pahat bagi membantu siasatan lanjut dalam kes tersebut. Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani sambil mengesahkan penahanan itu berkata, kedua-duanya yang berusia 41 tahun ditahan bagi membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah. “Kita turut siasat kes ini mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu kesalahan membabitkan penganiayaan, pengabaian dan pembuangan atau pendedahan kanak-kanak. Ibu bapa kanak-kanak terbabit akan dibawa ke Mahkamah Batu Pahat esok untuk permohonan reman,” katanya dalam satu kenyataan di sini. Terdahulu, Shahrulanuar berkata, keadaan mangsa yang sedang menerima rawatan rapi di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini dilaporkan stabil. "Kanak-kanak itu sudah boleh bercakap dan pihak polis akan melengkapkan siasatan untuk diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi mengambil tindakan selanjutnya," tegas beliau.

  • 1.2 juta ahli KWSP carum secara sukarela RM14.13 bilion setakat Ogos 2025

    KUALA LUMPUR: Sejumlah 1.12 juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilaporkan telah mencarum secara sukarela bernilai RM14.13 bilion setakat Ogos tahun ini. Kementerian Kewangan berkata, dalam usaha membantu ahli membina simpanan persaraan, KWSP telah menyediakan pelbagai saluran untuk memudahkan ahli mencarum. "Setakat Ogos 2025, seramai 227,000 ahli KWSP telah mendaftar untuk membuat caruman melebihi kadar berkanun bagi caruman pekerja," katanya dalam jawapan bertulis di portal rasmi Parlimen hari ini. Kementerian Kewangan menjawab demikian kepada soalan pertanyaan lisan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) mengenai perancangan menggalakkan warga negara membuka akaun KWSP. Dalam pada itu, kementerian terbabit menambah bahawa bagi tempoh separuh pertama 2025, i-Saraan telah merekodkan jumlah caruman sebanyak RM2.8 bilion daripada 487,375 ahli. "Ini adalah peningkatan sebanyak 74 peratus daripada RM1.6 bilion, serta peningkatan 48 peratus bilangan ahli daripada 330,196 ahli pada separuh pertama 2024. "Seramai 158,000 suami telah menyertai program i-Sayang yang membabitkan jumlah pindahan caruman sebanyak RM309.4 juta setakat Ogos 2025," tegasnya.

  • Tiga lelaki berparang diburu samun peniaga kedai makan RM10,000

    insiden samun lelaki bersenjata parang di Kuala Langat semalam. KUALA LANGAT – Seorang peniaga kedai makan wanita melalui detik mendebarkan apabila tiga lelaki bertopeng bersenjatakan parang meluru masuk menyamun barang kemas menyebabkan dia kerugian kira-kira RM10,000 dalam kejadian di Sungai Jarom, Jenjarom di sini, semalam. Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu kira-kira pukul 7 petang. Katanya, siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek lelaki menutup muka dan bersenjatakan sebilah parang. “Seorang lagi suspek menunggu di dalam sebuah kereta disyaki jenis Proton Saga atau Perodua Bezza Suspek kemudian melarikan tiga utas rantai leher termasuk satu milik suami mangsa. Turut diambil dua bentuk cincin emas milik wanita itu,” katanya dalam kenyataan tengah malam tadi. Tambah Mohd. Akmalrizal, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun secara berkumpulan dan bersenjata. Malah katanya, polis telah mempergiatkan usaha memburu kumpulan lelaki penyamun itu yang dipercayai terlibat dalam kes samun bersenjata itu. Terdahulu tular di media sosial memaparkan beberapa lelaki bertopeng memasuki kedai makan itu dan melarikan diri selepas menyamun mangsa. Akmalrizal turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-3187 2222 bagi membantu siasatan.

bottom of page