

Search Results
657 hasil ditemukan dengan carian kosong
- Pemain Warisan: Keputusan FIFA berunsur politik, janji juang habis-habisan
TMJ sifatkan keputusan FIFA agenda politik KUALA LUMPUR- Penasihat Pasukan Bolasepak Kebangsaan Harimau Malaya Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim membidas keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menolak rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia terhadap kes pemalsuan dokumen dan penggantungan tujuh pemain warisan. Pemangku Sultan Johor merangkap pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) sambil mempertahankan pemain-pemain itu menyifatkan tindakan FIFA sebagai penterjemahan tidak betul terhadap peraturan mereka sendiri. "Badan kawalselia bola sepak dunia itu menggunapakai Article 22 dalam Kod Etika Disiplin. "FIFA terus menghukum pemain dengan menyalahgunakan undang-undang yang mana Article 22 dalam Kod Etika FIFA menyebut bahawa hukuman hanya boleh dilaksanakan terhadap seseorang yang memalsukan atau menggunakan dokumen palsu dan tiada antaranya digunapakai untuk pemain-pemain berkenaan," tulis beliau dalam Instagram beliau. "Erti kata lain, hukuman itu dilaksanakan tanpa asas undang-undang dan jelas kelihatan wujud agenda politik," titah baginda. Baginda juga menegaskan akan terus menyokong pemain Harimau Malaya memandangkan mereka bersiap untuk merujuk kes ini ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS). "Ada yang memilih untuk menuding jari, ada yang memilih untuk membuat bising (komen negatif), manakala saya memilih untuk berdiri teguh dan menyokong perjuangan para pemain warisan kita walau apa sahaja kos (yang diperlukan) hingga ke akhirnya habis-habisan. " Kini kes akan dibawa ke CAS iaitu sebuah badan bebas,” kata Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) itu," ujar baginda. Dalam kenyataan malam Isnin, FIFAmenolak rayuan FAM dan mengekalkan hukuman ke atas tujuh pemain warisan digantung FIFA selama setahun dan dikenakan denda CHF2,000 (RM11,000), melibatkan Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca.
- Polis klasifikasi kematian pempengaruh Taiwan di KL sebagai kes bunuh
Ketua Polis Kuala Lumpur Komisioner Fadil KUALA LUMPUR - Polis pada hari ini mengumumkan bahawa pihaknya telah mengklasifikasikan semula kes kematian seorang pempengaruh wanita warga Taiwan di sebuah hotel, di ibu negara pada 22 Oktober lalu sebagai kes bunuh. Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Fadil Marsus berkata sebelum ini siasatan kes terbabit diklasifikasi sebagai laporan mati mengejut (SDR). "Namun, kini ia telah diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh dan sedang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. "Siasatan lanjut kes sedang dijalankan," katanya ringkas dalam kenyataan pada Selasa. Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun atau tidak melebihi 40 tahun jika disabitkan kesalahan. Pempengaruh berusia 31 tahun itu ditemui terbaring dalam bilik air sebuah hotel di Jalan Conlay, di sini pada 22 Oktober lalu. Dia dilaporkan memasuki negara ini pada 20 Oktober melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 1). Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat Difahamkan ketika kejadian, penyanyi rap tempatan, Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee, 42, turut berada dalam bilik sama bersama simati. Namewee, kemudiannya ditahan membantu siasatan selepas polis mengesyaki dia memiliki dan menggunakan dadah. Bagaimanapun, dia mengaku tidak bersalah selepas didakwa di mahkamah.
- Dua maut, seorang parah nahas tiga kenderaan
SARIKEI - Dua penunggang motosikal maut manakala seorang pembonceng wanita dilaporkan mengalami kecederaan parah dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah motosikal dan sebuah kereta di Jalan Rantau Panjang, Sarikei, kira-kira jam 10 pagi Isnin. Ketua Polis Daerah Sarikei Superintenden Aswandy Anis berkata, mangsa Louis Asey, 58, dan Nyaring Achang, 43, telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan Hospital Sarikei. "Sementara itu, seorang wanita berusia 58 tahun yang membonceng salah satu motosikal mengalami kecederaan parah pada kaki dan kepala. "Mangsa telah dikejarkan ke Hospital Sarikei menggunakan ambulans untuk rawatan segera,” katanya dalam kenyataan pada Isnin. Tambah beliau, siasatan awal polis di lokasi mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu kereta jenis Inokom Atos iaitu seorang lelaki berusia 40 tahun, sedang dalam perjalanan dari arah Jakar menuju ke Sare telah hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan dua motosikal dari arah berlawanan. "Akibat kemalangan tersebut, kedua-dua penunggang motosikal mengalami kecederaan teruk pada kepala dan badan manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan,” katanya. "Polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. "Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Ahmad Mustaqim di talian 084-652 222 sambungan 279," ujarnya.
- Iran kata mampu bina nuklear dalam dua minggu
IRAN Iran kata mampu bina nuklear dalam dua minggu TEHERAN – Seorang tokoh konservatif Iran, Mohammad Javad Larijani mendedahkan bahawa negara itu memiliki keupayaan teknikal untuk menghasilkan bom nuklear dalam tempoh kurang dua minggu, namun memilih untuk tidak berbuat demikian. Larijani, bekas diplomat dan penasihat kanan kepada Pemimpin Tertinggi Ayatollah Ali Khamenei berkata, keputusan itu berpaksikan fatwa Khamenei yang mengharamkan penggunaan senjata nuklear, berasaskan hukum Syiah yang kuat. Katanya, Iran telah membangunkan doktrin baharu yang menekankan 'keupayaan tanpa penggunaan', sebuah pendekatan yang membolehkan negara itu mengekalkan kekuatan penangkis tanpa menyalahi prinsip agama. Bagaimanapun, beliau mengkritik keras Perjanjian Nuklear 2015 (JCPOA), dengan menuduh doktrin diplomasi tersebut menyebabkan Iran “hilang keberanian dan terperangkap dalam tekanan Barat.” “Perjanjian itu seolah-olah menyerahkan sebahagian hak kita demi menjaga hak yang lain,” katanya ketika berucap pada sebuah persidangan mengenai pemikiran Khamenei pada Sabtu. Kenyataan Larijani dilihat mencerminkan pendirian Teheran yang sering mengimbangi antara penguasaan teknologi nuklear dan penegasan bahawa program itu kekal bersifat aman. Namun, penganalisis antarabangsa menilai sikap 'mampu tetapi tidak mahu' ini menimbulkan ruang tafsiran strategik yang boleh dijadikan tekanan diplomatik terhadap kuasa Barat.
- Pentagon akan bertindak atas Nigeria jika keganasan atas Komuniti Kristian tidak berhenti
Trump Pentagon akan bertindak atas Nigeria jika keganasan atas Komuniti Kristian tidak berhenti WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan bahawa beliau telah mengarahkan Pentagon untuk bersiap sedia bagi kemungkinan tindakan ketenteraan terhadap Nigeria, susulan dakwaan berterusan mengenai keganasan terhadap komuniti Kristian di negara itu. Dalam satu hantaran di media sosial, Trump menyifatkan insiden yang berlaku sebagai “penyembelihan besar-besaran” terhadap penganut Kristian dan memberi amaran bahawa Amerika Syarikat akan “segera menghentikan semua bantuan dan sokongan kepada Nigeria” sekiranya kerajaan negara itu tidak bertindak segera. “Saya telah mengarahkan Jabatan Perang kita untuk bersiap sedia. Jika kita menyerang, ia akan berlaku dengan pantas, ganas dan tepat — sama seperti cara pengganas menyerang umat Kristian kita yang DIKASIHI!” tulis Trump. Kenyataan itu turut menyebut bahawa AS mungkin akan “masuk ke negara yang telah tercemar itu dengan senjata menyala” bagi menghapuskan sepenuhnya kumpulan pengganas Islam yang didakwa melakukan kekejaman tersebut. Pengumuman itu dibuat sehari selepas Trump menamakan Nigeria sebagai “Country of Particular Concern” (Negara yang Menjadi Perhatian Khas) di bawah Akta Kebebasan Beragama Antarabangsa, dengan alasan bahawa Kristian kini berdepan ancaman kewujudan di negara tersebut. Penamaan itu membolehkan AS mempertimbangkan sekatan terhadap Nigeria, termasuk larangan bantuan bukan kemanusiaan, walaupun ia tidak bermakna sekatan akan dilaksanakan serta-merta. Presiden Nigeria, Bola Ahmed Tinubu dalam kenyataan balasnya menegaskan bahawa dakwaan Trump tidak mencerminkan realiti sebenar di negaranya. “Kebebasan beragama dan toleransi adalah teras kepada identiti nasional kami dan akan terus kekal begitu. Nigeria menolak sebarang bentuk penganiayaan agama dan tidak menggalakkannya,” kata Tinubu. Jurucakap Presiden Nigeria turut menyifatkan kenyataan Trump sebagai “berlebihan” dan menjelaskan bahawa serangan oleh kumpulan ekstremis di Nigeria menyasarkan kedua-dua komuniti Kristian dan Muslim secara rawak. “Apa yang negara kami perlukan daripada Amerika adalah sokongan ketenteraan untuk memerangi pelampau ganas di beberapa negeri, bukannya label sebagai negara yang menjadi perhatian khas,” kata jurucakap Bayo Onanuga. Nigeria telah lama bergelut dengan pelbagai bentuk keganasan termasuk serangan oleh kumpulan ekstremis seperti Boko Haram dan ISIS Wilayah Afrika Barat. Serangan ini sering kali didorong oleh pelbagai faktor termasuk ketegangan agama, perebutan sumber antara petani dan penternak, serta konflik etnik dan komuniti. Walaupun komuniti Kristian turut menjadi sasaran, laporan tempatan menunjukkan bahawa majoriti mangsa serangan adalah Muslim yang tinggal di kawasan majoriti Islam di utara Nigeria. Setakat ini, jurucakap White House dan pejabat Presiden Nigeria belum mengeluarkan kenyataan rasmi susulan arahan Trump kepada Pentagon. - Awani/Agensi
- 11 lelaki ditahan rusuhan bersenjata di miri
11 ditahan rusuhan bersenjata di MIri MIRI - Polis berjaya membuat tangkapan ke atas 11 lelaki berumur antara 16 hingga 25 tahun bagi membantu siasatan berhubung insiden rusuhan bersenjata yang berlaku di kawasan Waterfront Miri awal pagi Isnin. Tangkapan dibuat selepas satu rakaman video berdurasi seminit yang tular menerusi media sosial memaparkan kejadian merusuh yang dikatakan berlaku selepas dua lelaki bergesel bahu. Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2.05 pagi dan menyebabkan seorang lelaki cedera. "Mangsa dirawat di Hospital Umum Miri dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam satu kenyataan pada malam Isnin. Hasil pemeriksaan lanjut, polis turut berjaya membuat rampasan pelbagai jenis senjata untuk membantu siasatan lanjut polis. "Kes sedang disiasat di bawah di bawah Seksyen 324/148 Kanun Keseksaan. "Orang ramai juga dinasihati agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan isu sensitif berkaitan kejadian itu menerusi media sosial. "Mereka yang mempunyai maklumat lanjut, katanya boleh menghubungi talian 085-433730 atau Inspektor Zulaihka Mohd Anuar 010-7975445 untuk membantu siasatan," ujarnya.
- Lembaga Disiplin Bersatu jadi alat politik dalaman - Wan Saiful
PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa Lembaga Disiplin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah disalahgunakan sebagai alat untuk menyerang kepimpinan Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Hamzah Zainudin. Menerusi rakaman audio sesi perjumpaan bersama Lembaga Disiplin pada 8 Oktober lalu yang diedarkan, beliau mendedahkan bagaimana perbincangan yang sepatutnya tertumpu kepada aduan terhadap dirinya telah bertukar menjadi medan menuduh dan mempersoalkan kedudukan Hamzah dalam parti. “Rakaman itu bukti jelas bahawa Lembaga Disiplin bukan lagi bebas. Aduan terhadap saya langsung tidak dibincangkan dengan betul, sebaliknya tumpuan diberikan untuk membina persepsi negatif terhadap Timbalan Presiden,” katanya dalam kenyataan pada Isnin. Wan Saiful turut mendedahkan Pengerusi Lembaga Disiplin, Datuk Radzi Manan bukan sahaja gagal menjaga objektiviti prosiding, malah secara terang-terangan menyebut nama Hamzah dan menuduh Ahli Parlimen Larut mahu menjadi Perdana Menteri. Rakaman tersebut, katanya, turut memaparkan Radzi berkata, “I called Hamzah, kan? He is the Timbalan Presiden and I called him,” selain mendakwa Hamzah sudah mempunyai persefahaman dengan PAS. “Ini bukti wujud agenda tertentu dalam Lembaga Disiplin. Saya telah beberapa kali menegur agar nama Hamzah tidak dikaitkan kerana sesi itu sepatutnya mengenai saya, tetapi jawapannya tetap sama, ‘memang saya nak kaitkan’,” jelasnya. Tambah beliau, proses siasatan juga dijalankan secara tidak profesional apabila ahli panel mengakui prosedur badan itu tidak mengikut model perundangan dan boleh mengambil maklumat dari kedai kopi serta telefon. Lebih mengejutkan, katanya, keputusan pemecatan terhadapnya dikeluarkan dua hari lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan untuk mengemukakan maklum balas. “Dalam sesi itu, saya diberikan tempoh sehingga 15 Oktober, namun surat pemecatan saya dihantar pada 13 Oktober. “Ini membuktikan keputusan sudah dibuat lebih awal dan kemungkinan besar atas arahan individu tertentu,” tegas beliau lagi.
- BN sudah kenalpasti calon prn sabah
Zambry Kadir BN sudah kenalpasti calon prn sabah PUTRAJAYA - Barisan Nasional (BN) sudah mengenal pasti calon-calon dari parti itu yang akan diketengahkan untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. Beliau berkata, persiapan bagi menghadapi PRN berkenaan juga telah selesai pada peringkat parti, termasuk perbincangan bersama kepimpinan BN Sabah yang mempunyai autonomi tersendiri. "Pada peringkat Barisan Nasional, saya boleh sebutkan bahawa persiapan sudah disiapkan dan kita hanya tunggu masa untuk mengumumkan nama-nama calon. "Insya-ALLAH, kita menjangkakan Yang Amat Berhormat (Pengerusi BN) bersama pimpinan Sabah akan membuat pengumuman pada masa yang sesuai,” katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan Festival Idea Putrajaya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Isnin. Sebelum ini, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, pihaknya dijangka mengumumkan nama calon dan kerusi yang akan ditandingi seminggu sebelum hari penamaan calon. Beliau turut memaklumkan bahawa BN tidak akan bertanding di semua 73 kerusi DUN, sebaliknya akan meneliti kawasan yang akan diberi fokus. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 November ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah, manakala penamaan calon pada 15 November dan pengundian awal pada 25 November. DUN Sabah mempunyai 79 kerusi, dengan 73 daripadanya dipertandingkan, manakala enam lagi ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik.
- FAM terima keputusan FIFA, akan heret ke CAS
PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan telah menerima keputusan rasmi daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) hari ini, yang menolak rayuan berhubung isu tujuh pemain warisan negara. Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, pihaknya akan menulis kepada FIFA bagi mendapatkan butiran penuh serta alasan bertulis berhubung keputusan berkenaan, sebelum menentukan langkah seterusnya bagi mengemukakan rayuan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS). "Ini merupakan kali pertama FAM berdepan dengan situasi seperti ini, dan pihak peguam serta pengurusan kami amat terkejut dengan keputusan tersebut. "Walau bagaimanapun, FAM akan terus teguh memperjuangkan hak para pemain dan kepentingan bola sepak Malaysia di peringkat antarabangsa. Kita akan menuntut FIFA megemukakan butiran penuh dan alasan bertulis keputusan yang dikekalkan itu,” katanya.
- FIFA Tolak rayuan FAM, tujuh pemain kekal digantung
FIFA Tolak rayuan FAM FIFA Tolak rayuan FAM, tujuh pemain kekal digantung RAYUAN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya berhubung kes pemalsuan dokumen ditolak oleh Jawatankuasa Rayuan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA). Dalam satu kenyataan rasmi, FIFA memaklumkan pihaknya mengekalkan keputusan Jawatankuasa Tatatertib FIFA yang mendapati FAM dan tujuh pemain berkenaan melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC). Susulan keputusan itu, FAM diarahkan membayar denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.9 juta) kepada FIFA. Manakala tujuh pemain terbabit iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garcés, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, João Figueiredo, Jon Irazábal dan Hector Hevel masing-masing dikenakan denda CHF2,000 (lebih kurang RM10,000) serta digantung selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak. Menurut FIFA, keputusan itu dibuat selepas meneliti dokumen rayuan dan mengadakan sesi pendengaran sebelum memutuskan untuk menolak semua rayuan yang dikemukakan. “FAM dan pemain telah dimaklumkan mengenai keputusan ini dan mempunyai tempoh 10 hari untuk memohon keputusan bersebab. Selepas itu, mereka diberi 21 hari untuk mengemukakan rayuan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS),” kata kenyataan itu. Keputusan tersebut sekali gus mengekalkan hukuman asal yang telah dijatuhkan oleh FIFA sebelum ini.
- Kematian pengawal keselamatan diklasifikasi bunuh
kematian Pengawal keselamatan diklasifikasi sebagai bunuh KUALA LUMPUR – Polis mengklasifikasikan semula kes kematian seorang pengawal keselamatan berusia 54 tahun yang meninggal dunia selepas diserang di luar sebuah kondominium di Jalan Ipoh, di sini sebagai kes bunuh. Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, siasatan kes tersebut dipinda sebagai bunuh berikutan kematian mangsa. “Fail siasatan telah diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini hari ini. Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati atau penjawa minimum 30 tahun atau tidak melebihi 40 tahun jika disabitkan kesalahan. Jelasnya lagi, suspek dalam kes ini yang merupakan seorang lelaki berusia 32 tahun yang dipercayai penghuni kondominium tersebut dilepaskan dengan jaminan polis sementara menunggu arahan lanjut daripada timbalan pendakwa raya (TPR). “Ini kerana kes ini pada awalnya disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata. "Namun, setelah mangsa meninggal dunia, kes disemak semula dan diklasifikasikan sebagai membunuh. " fail siasatan awal kes telah disiapkan dan sudah dirujuk kepada TPR tiga hari selepas kejadian dan kini menunggu arahan lanjut mengenai tindakan seterusnya," tegas beliau
- Tiga lelaki ditahan belasah kanak-kanak dituduh curi powerbank
Tga lelaki dewasa ditahan selepas mencederakan seorang kanak-kanak atas tuduhan mencuri powerbank di ibu negara KUALA LUMPUR – Gara-gara dituduh mencuri sebuah 'power bank', seorang kanak-kanak lelaki telah tercedera selepas dibelasah beberapa individu dalam kejadian yang berlaku di kawasan medan selera di sebuah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di ibu kota baru-baru ini. Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kejadian itu dipercayai berpunca daripada dakwaan kononnya mangsa berumur 12 tahun mencuri 'power bank' milik rakan kepada salah seorang suspek. "Rentetan daripada serangan itu, mangsa mengalami luka kecil di bahagian dahi dan mulut sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur. "Semakan lanjut mendapati kejadian tersebut mempunyai kaitan dengan laporan polis Setapak 17850/25 dan disiasat di bawah Seksyen 323 serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan pada Isnin. Tambah beliau, susulan daripada insiden dan juga laporan itu, tiga lelaki tempatan berusia antara 49 hingga 61 tahun yang disyaki melakukan jenayah tersebut telah berjaya diberkas polis. Katanya, ketiga-tiga suspek itu telah ditangkap di lokasi berasingan di Kelantan dan Kuala Lumpur untuk membantu siasatan lanjut polis. "Siasatan lanjut sedang diteruskan oleh polis dan pihaknya akan melengkapkan kertas siasatan untuk tindakan lanjut," tegas beliau.










