

Search Results
657 hasil ditemukan dengan carian kosong
- Keputusan rayuan FAM 7 pemain warisan mungkin Isnin atau Selasa
KUALA LUMPUR - Keputusan rayuan hukuman oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta tujuh pemain warisan yang digantung dijangka mengambil sedikit masa lagi sebelum diumumkan. Perkembangan terbaharu itu didedahkan oleh media pasukan Velez Sarsfield, Sabado Velez iaitu kelab yang diwakili salah seorang pemain warisan negara, Imanol Machuca. Menurut kenyataan yang dikongsikan di laman Instagram Sabado Velez berkenaan, sesi pendengaran rayuan telah berlangsung pada Khamis lalu dan pihak pembelaan bagi Machuca mengemukakan hujah mereka di hadapan FIFA. “Keputusan muktamad dijangka diumumkan antara Isnin dan Selasa minggu hadapan,” menurut kenyataan itu. Pihak yang rapat dengan pemain Velez berkenaan turut dilaporkan optimis terhadap hasil rayuan tersebut. “Semuanya akan berjalan dengan baik,” katanya. Sebelum ini, keputusan rayuan itu dijadualkan diumumkan pada Khamis lalu, namun tiada sebarang kenyataan daripada FIFA mahupun FAM mengenai rayuan tersebut. FAM serta tujuh pemain warisan negara dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
- Muhyiddin Liabiliti untuk PN, dakwa Wan Saiful
SHAH ALAM- Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa menjadi liabiliti kepada Perikatan Nasional (PN) apabila timbul persoalan mengenai niat sebenar beliau selepas dikatakan berhasrat untuk kembali menjadi Perdana Menteri. Bekas pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, timbul tanda tanya sama ada langkah berkenaan dibuat demi perjuangan parti atau memenuhi kepentingan peribadi? "Persoalan ini dari segi politik, mencederakan mesej PN sebagai parti yang bersih dan stabil," katanya dalam program The Zaid Ibrahim Podcast yang disiarkan pada Jumaat. Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu turut menegaskan akuan bersumpah (SD) membabitkan 120 ketua bahagian parti itu bukan bertujuan mendesak Muhyiddin berundur sebagai Presiden Bersatu sebaliknya bagi menggesa supaya usul menamakan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri tidak dibawa dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT). "Lebih kurang dua minggu sebelum perhimpunan agung, timbul ura-ura bahawa ada satu usul hendak dibawa untuk menamakan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri. Kita tahu dari awal lagi Pas tidak bersetuju dan kita tidak mahu hubungan dengan parti itu menjadi renggang. "SD itu sebenarnya bukan mengenai tukar presiden tetapi diambil kesempatan oleh individu tertentu untuk menyatakan bahawa ia adalah usaha untuk menjatuhkan Muhyiddin. Malangnya, beliau pun percaya," dakwanya Jelas Wan Saiful, apabila timbul pelbagai persoalan dibangkitkan berhubung niat Muhyiddin untuk dinamakan sebagai calon perdana menteri, perkara yang seharusnya dilakukan oleh beliau adalah melepaskan jawatan kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin. Bagaimanapun, Wan Saiful berkata Hamzah turut dipanggil oleh lembaga disiplin kerana kegagalan Timbalan Prersiden Bersatu itu mengawal beliau.
- PRN Sabah: Perbincangan kerusi BN-PH hampir 70 peratus dimuktamadkan - Bung Moktar
PRN Sabah: Perbincangan kerusi BN-PH hampir 70 peratus dimuktamadkan - Bung Moktar SANDAKAN - Perbincangan pembahagian kerusi antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 kini di fasa akhir dengan hampir 70 peratus dimuktamadkan, kata Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin. Beliau berkata masih terdapat beberapa kerusi yang perlu diperhalusi antara kedua-dua pihak bagi mencapai persetujuan bersama sebelum pengumuman rasmi dibuat. "Ada lagi beberapa kerusi yang perlu diperhalusi antara BN dan PH. Insya-ALLAH saya akan berjumpa dengan pimpinan-pimpinan ini pada 3 atau 4 November ini untuk kita selesaikan,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Sentuhan Kasih Desa@Libaran di sini. Menjawab pertanyaan mengenai isu kelewatan dimuktamadkan pembahagian kerusi, Bung Moktar menjelaskan ia berpunca daripada keinginan kedua-dua pihak untuk bertanding di kawasan tertentu dan beliau turut mengesahkan BN akan mengurangkan kerusi ditandingi. Sebelum ini, laporan media menyatakan BN Sabah berhasrat untuk bertanding di 48 kerusi pada PRN kali ini. Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh penamaan calon PRN Sabah pada 15 November ini manakala tarikh pengundian awal dan hari pengundian masing-masing pada 25 dan 29 November.
- BUDI95: Lebih 13 juta rakyat nikmati penjimatan RM800 juta pada bulan pertama - MoF
BUDI95: Lebih 13 juta rakyat nikmati penjimatan RM800 juta pada bulan pertama - MoF KUALA LUMPUR - Sebanyak 13.1 juta rakyat telah melakukan transaksi di bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dengan nilai perbelanjaan sebanyak RM2.66 bilion dalam bulan pertama pelaksanaannya bermula 30 Sept lepas hingga semalam. Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan jumlah itu melibatkan pembelian 1.33 bilion liter petrol RON95 bersubsidi dengan jumlah subsidi kerajaan sekitar RM800 juta bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat. "Ini termasuk lebih 23,000 nelayan dan pengguna bot berdaftar yang tidak memiliki lesen memandu aktif, terutamanya di Sabah dan Sarawak,” menurut kenyataan itu. Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata pelaksanaan BUDI95 memastikan rakyat menerima manfaat subsidi secara langsung tanpa proses yang rumit di samping membolehkan kerajaan menyalur semula penjimatan kepada pembangunan dan kebajikan rakyat. "Jelas sekali program ini memberi manfaat berganda kepada rakyat dan negara,” katanya dalam kenyataan itu. MOF turut menjelaskan sejak pelaksanaan BUDI95, sebanyak 16.55 juta rakyat Malaysia layak menikmati harga subsidi RON95 pada kadar RM1.99 seliter berbanding RM2.60 seliter tanpa subsidi, melebihi unjuran asal sebanyak 15 juta orang. Di bawah program BUDI95, semua pemegang MyKad warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas yang mempunyai lesen memandu aktif layak membeli RON95 bersubsidi hingga 300 liter sebulan. Menurut kementerian itu, sejak 13 Oktober lepas Kerajaan Madani telah menaikkan had siling kelayakan bulanan bagi pemandu e-hailing sepenuh masa kepada 600 liter sebulan yang memanfaatkan hampir 58,000 pemandu e-hailing di seluruh negara. "Secara purata, penerima BUDI95 di bawah kategori persendirian mencatat penggunaan sebanyak 98.2 liter sebulan untuk Oktober 2025, jauh lebih rendah daripada had kelayakan bulanan 300 liter yang ditetapkan. "Setakat 26 Okt 2025, hanya kurang daripada 0.7 peratus jumlah penerima BUDI95 telah menggunakan sepenuhnya kelayakan bulanan mereka sebelum akhir bulan,” menurut kenyataan itu.
- lelaki maut tergelincir jatuh kolam air terjun Lata Kinjang
IPOH - Seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun maut selepas tergelincir ke dalam kolam di kawasan air terjun Lata Kinjang di Chenderiang pada Jumaat. Pemangku Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian pada 5.10 petang dan operasi melibatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah. "Mangsa Syahrulrazi Maskur dipercayai tergelincir ke dalam kolam di kawasan tempat pemeriksaan 12 di bahagian paling atas air terjun dan tidak sedarkan diri. "Pasukan penyelamat perlu mendaki kira-kira satu kilometer ke bahagian puncak air terjun untuk sampai lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan. Shazlean berkata rakan mangsa telah melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) namun mangsa tiada tindak balas sebelum menghubungi talian kecemasan. Beliau berkata mangsa dibawa turun oleh pasukan penyelamat dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah Superintenden Johari Yahya berkata rakan mangsa membuat laporan kejadian pada 6.46 petang, menyatakan mereka dari Sabak Bernam, Selangor ke situ untuk mendaki dan mandi di air terjun tersebut. "Pada jam kira-kira 2.50 petang, ketika rakan mangsa sedang memasang hammock di atas bukit, dia menyedari mangsa tiada di kawasan air terjun. Selepas mencari di sekitar lokasi, mangsa ditemukan dalam keadaan meniarap di permukaan air,” katanya dalam kenyataan di sini. Johari berkata bedah siasat di Hospital Tapah mendapati punca kematian disebabkan lemas dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Beliau menasihatkan orang ramai yang mengunjungi kawasan rekreasi air terjun sentiasa mengutamakan keselamatan diri.
- Polis tagih bantuan awam kesan dua kanak-kanak hilang
PUCHONG – Polis meminta kerjasama orang ramai bagi mengesan seorang remaja lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hilang dalam dua kejadian berasingan pada Khamis dan Jumaat lalu. Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad, berkata kes pertama melibatkan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang tidak pulang selepas keluar dari rumah di Bandar Puchong Jaya, Khamis lalu. “Kehilangannya dilaporkan oleh ibunya berusia 41 tahun. Remaja berkenaan dikenali sebagai Mohammad Iskandar Zulkarnain Abdullah, berkulit cerah, bertubuh kurus, berambut pendek hitam dan berketinggian 162 sentimeter,” katanya dalam kenyataan pagi tadi. Muhamad Farid menambah bahawa dalam kes kedua pula, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berusia 34 tahun berkaitan kehilangan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun selepas keluar dari rumah di sebuah pangsapuri di Seksyen 3 Taman Kinrara pada Jumaat. "Kanak-kanak tersebut dikenali sebagai V Kangadevi berkulit gelap, rambut panjang berwarna hitam dan memiliki ketinggian 145 sentimeter," katanya. , orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kedua-dua individu berkenaan diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat yang bertugas. "Orang ramai boleh menghubungi Inspektor M Sivantha bagi kes kanak-kanak perempuan dan Inspektor Muhammad Yusof Hasan Ganny bagi kes remaja lelaki di talian 03-80762222," tegasnya.
- Mayat lelaki reput dalam semak
Mayat reput ditemui dalam semak GEORGE TOWN - Mayat seorang lelaki disyaki warga tempatan ditemui di kawasan semak berhampiran Taman Ghee Hiang, Lebuh Gelugor di sini pada Jumaat. Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut Superintenden Lee Swee Sake berkata, mayat berkenaan ditemui pada jam 7.20 malam oleh orang awam sebelum melaporkan penemuan itu kepada pihak polis Katanya, hasil siasatan di tempat kejadian mendapati si mati dipercayai merupakan seorang lelaki warga tempatan berumur 45 tahun berdasarkan kepada dokumen pengenalan diri yang dijumpai di dalam pakaiannya. "Pemeriksaan badan si mati dan sekitar tempat kejadian oleh pasukan Siasatan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Pulau Pinang dan Unit Pengesan K9 IPK Pulau Pinang tidak menjumpai sebarang kesan yang mencurigakan. "Hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematian si mati tidak dapat dikenal pasti disebabkan mayat sudah reput. Bagaimanapun, tiada kesan cedera daripada perbuatan jenayah dikesan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu. Berikutan itu, Swee Sake berkata, kes terbabit diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan satu laporan telah dibuka untuk siasatan lanjut.
- Warga emas hilang ditemui mti dalam parit
BAGAN DATUK - Seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang sejak tiga hari lalu ditemui tidak bernyawa di dalam parit berhampiran kebun pisang di Kampung Teluk Kerdu, Hutan Melintang di sini pada Sabtu. Mangsa, Halimah Idris, 77, ditemukan sekitar jam 10.50 pagi oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), dan Unit Anjing Pengesan (K9). Pemangku Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, operasi pencarian bermula sejak Khamis selepas bomba menerima laporan mengenai kehilangan mangsa yang dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak 28 Oktober lalu. "Mangsa dikatakan keluar dari rumahnya dan tidak pulang. Difahamkan, mangsa juga mengalami masalah ingatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu. Menurut Shazlean, operasi pencarian dimulakan dengan radius empat kilometer pada hari pertama melibatkan empat kumpulan daripada pelbagai agensi termasuk penduduk kampung. Katanya, usaha pencarian diteruskan pada hari berikutnya dengan memperluas kawasan carian sehingga lima kilometer menggunakan kaedah sweep search. "Pada pagi Sabtu, pasukan SAR dibahagikan kepada dua sektor dan sekitar jam 10.50 pagi, mangsa ditemui dalam parit di kawasan kebun pisang dalam Sektor B. "Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan di lokasi kejadian,” katanya. Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi SAR melibatkan lapan anggota JBPM, 16 anggota polis, 10 anggota APM, sembilan anggota Rela, dua anggota K9 PDRM, tiga anggota K9 JBPM, serta tiga orang penduduk kampung.
- Bayi maut minum sirap batuk
Bayi maut selepas dilaporkan minum ubat batuk dalam kejadian di Madhya Pradesh India MADHYA PRADESH – Seorang bayi perempuan yang hanya berusia lima bulan, Ruhi Minote, meninggal dunia pada pagi Khamis selepas diberikan beberapa jenis ubat termasuk sirap batuk herba yang dibeli dari sebuah kedai perubatan swasta di pekan Bichua. Daerah itu sebelum ini menjadi tumpuan seluruh negara apabila sekurang-kurangnya 20 kanak-kanak maut akibat kegagalan buah pinggang selepas mengambil sirap batuk yang tercemar dalam insiden pada September lalu. Menurut laporan, ibu bapa Ruhi yang gagal mendapatkan doktor di pusat kesihatan kerajaan di Bichua, terpaksa mendapatkan rawatan di kedai ubat tempatan, Kurethe Medicals pada Isnin. Bapa mangsa, Sandip Minote, berkata mereka diberi beberapa paket kecil ubat dan sebotol sirap batuk herba. "Pada mulanya keadaan anak saya kelihatan bertambah baik, namun semakin teruk keesokan harinya. "Bila kami bawa ke pusat kesihatan komuniti pada Khamis, doktor mengesahkan dia sudah meninggal dunia," katanya. Berikutan laporan tersebut, polis Bichua telah membuka siasatan di bawah Seksyen 194 Akta Bharatiya Nagarik Suraksha Sanhita (BNSS). Menurut Ketua Balai Polis Bichua, Satish Uikey, dua lelaki yang mengendalikan kedai ubat itu kini sedang disoal siasat, manakala pasukan daripada Jabatan Makanan dan Ubat-Ubatan serta Jabatan Kesihatan negeri telah merampas dan menghantar semua ubat untuk diuji. "Jika terbukti ada unsur kecuaian, tindakan tegas akan diambil," ujarnya. Kedai ubat berkenaan juga kini ditutup sementara bagi tujuan siasatan sehingga selesai sepenuhnya. Selepas kematian tragis bayi lima bulan itu, penduduk tempatan menuntut kawal selia yang lebih ketat terhadap farmasi serta pemeriksaan berkala terhadap semua ubat yang dijual tanpa preskripsi doktor.
- Bebaskan segera Exco ARMADA Bersatu ditahan polis berkaitan Video Trump
BUKIT GELUGOR -Armada Bersatu Malaysia mengecam keras tindakan polis yang dipercayai menahan Exco Armada Bersatu Malaysia, Ashraf Khan Hayup Khan yang ditangkap oleh unit D9 sekitar jam 9.30 malam 31 Oktober 2025. Ketua Penerangan sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia Armada Bersatu, Harris Idaham Rashid berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa Ashraf sedang disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan. Jelasnya lagi, dia juga disiasat di bawah Seksyen 506(c) Kanun Keseksaan, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. “Biro Guaman Armada telah dilantik untuk mewakili dan membela saudara Ashraf. Kami juga mendesak pihak polis agar membebaskan beliau sebelum jam 12 malam ini dan tidak meneruskan penahanan reman,” katanya dalam satu kenyataan tengah malam tadi. Beliau juga menegaskan bahawa Akta Hasutan tidak wajar digunakan terhadap tahanan politik, dan menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu bentuk penindasan terhadap suara anak muda yang berani bersuara. “Seluruh keluarga besar Armada Bersatu berdiri teguh bersama saudara Ashraf dalam semangat solidariti dan keadilan,” tambah beliau.
- Skuad Arsenal menakutkan, terbaik di Eropah
Skuad Arsenal bimbingan Arteta menakutkan dan terbaik di Pentas Eropah musim ini Skuad Arsenal menakutkan, terbaik di Eropah LONDON - Bekas pemain tengah Chelsea, John Obi Mikel percaya Arsenal mampu menjuarai saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Juara-Juara musim ini apabila menyifatkan Mikel Arteta kini memiliki skuad terbaik di Eropah. Ketika ini, Arsenal berada empat mata di hadapan di tangga teratas carta EPL dan sudah pun memiliki kelebihan tujuh mata berbanding juara bertahan, Liverpool. Skuad kendalian Arteta itu turut mempamerkan prestasi memberangsangkan dalam kempen Liga Juara-Juara apabila menewaskan Athletic Bilbao, Olympiacos dan Atletico Madrid tanpa bolos sebarang gol. Obi Mikel yang pernah memenangi dua gelaran liga bersama Chelsea berpendapat Arsenal merupakan calon utama untuk menjuarai Liga Perdana musim ini dan mengakui pilihan pemain yang dimiliki Arteta amat 'menakutkan'. “Musim ini saya rasa kejuaraan itu milik Arsenal. Dengan skuad dan kedalaman pasukan yang mereka miliki, ia sesuatu yang menakutkan. “Mereka memiliki skuad terbaik bukan sahaja di Liga Perdana, bukan sahaja di England, malah dalam bola sepak dunia ketika ini. Saya berani katakan tiada pasukan lain yang mempunyai kedalaman skuad sehebat Arsenal. “Bukan sekadar sebelas pemain utama, tetapi pemain simpanan yang masuk dan mampu mengubah keputusan perlawanan. Tiada pasukan yang lebih baik daripada Arsenal. “Kadang-kadang kemenangan tidak datang daripada pemain utama, tetapi daripada siapa yang anda bawa masuk dari bangku simpanan. Kita sudah lihat Arsenal — Martinelli masuk dan menjaringkan gol kemenangan, Eze, Merino, sementara Havertz pula sedang cedera. “Ia menakutkan dan Arteta sendiri sedar hal itu. Ini adalah kejuaraan Arsenal untuk kehilangan. Dalam hati kecil mereka tahu kebenarannya. Ini musim terbaik Arsenal untuk memenangi Liga Perdana. City tidak konsisten, Liverpool pula bergelut, dan kami (Chelsea) belum cukup pengalaman untuk menjuarai liga. “Bercakap tentang Liga Perdana, saya rasa mereka juga mampu menjuarai Liga Juara-Juara. Begitu hebatnya Arsenal sekarang. “Ia sesuatu yang menakutkan, saya katakan terus terang dengan skuad yang mereka miliki, pemain-pemain yang ada, serta cara mereka bermain. Saya juga nampak perubahan dari segi mentaliti. Mereka kini percaya, dan saya dapat rasakan bahawa akhirnya Arsenal sudah benar-benar bersedia," katanya.
- Muhyiddin sukar didekati, akar umbi selesa dengan Hamzah - Wan Ahmad Fayhsal
Wan Ahmad Fayhsal SHAH ALAM - Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dalam perkembangan terkini mendakwa kononnya Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai personaliti yang sukar untuk didekati. Katanya, disebabkan sikap yang dimiliki Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu membuatkan pemimpin akar umbi lebih selesa dengan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin. Beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa tiada siapa dalam parti berkenaan membenci Ahli Parlimen Parlimen Pagoh tersebut seperti dikotak-katikkan pihak tertentu dalam parti sejak akhir-akhir ini. "Beliau (Muhyiddin) tidak kenal pun semua Ketua Bahagian Bersatu dalam Malaysia berbanding Datuk Seri Hamzah. Saya boleh jamin, kalau hari itu ada pertembungan satu lawan satu (merebut jawatan presiden) antara kedua-duanya, Tan Sri Muhyiddin boleh kalah. "Ini kerana akar umbi sememangnya bersama Datuk Seri Hamzah sebab beliau yang menanggung kos menjaga bahagian, menanggung PN, memimpin kami, beliau tidak lokek duit, masa dan persahabatan. "Sebab itulah Datuk Seri Hamzah pemimpin sebenar dalam Bersatu," katanya ketika Pogram Interviu bertajuk Bersatu Berpecah?: Apa Kata Fayhsal, Faisal yang disiar secara langsung di semua platform Sinar Harian pada malam Jumaat. Pada 14 Oktober lalu, Lembaga Disiplin Bersatu menggantung keahlian Wan Fayhsal untuk satu penggal serta memecat Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti merangkap Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, bersama empat ketua bahagian. Lembaga berkenaan ketika itu menyatakan mereka didapati bersalah melanggar perlembagaan parti serta Kod Etika dan Tatakelakuan Bersatu.










