top of page

Search Results

657 hasil ditemukan dengan carian kosong

  • SPM 2025 bermula 3 November hingga 23 Disember - KPM

    SPM akan bermula pada 3 November 2025 PUTRAJAYA - Seramai 413,372 calon akan menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2025 yang akan bermula pada Isnin 3 November sehingga 23 Disember depan di 3,350 pusat peperiksaan yang disediakan di seluruh negara. Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi kenyataan pada Jumaat memaklumkan bahawa Ujian Bertutur Bahasa Melayu akan berlangsung pada 3 hingga 6 November 2025 manakala Ujian Bertutur Bahasa Inggeris pada 10 hingga 13 November 2025. "Ujian Amali Sains pula akan berlangsung pada 17 hingga 19 November, Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris diadakan pada 20 November. "Peperiksaan bertulis pula akan berlangsung pada 25 November hingga 23 Disember ini,” kata KPM dalam kenyataan di Putrajaya. KPM juga memaklumkan bahawa seramai 127,526 petugas peperiksaan telah dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan. Jelas kenyataan itu lagi, semua calon diingatkan agar merujuk jadual waktu peperiksaan SPM 2025 bagi mengetahui maklumat lengkap tarikh, waktu, kod dan nama kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi sepanjang peperiksaan umum itu berlangsung. Para calon SPM juga boleh memuat turun jadual waktu peperiksaan terbabit melalui portal rasmi Lembaga Peperiksaan (LP) di pautan lp.moe.gov.my. KPM turut mengingatkan calon-calon SPM supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Penyata Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan serta mematuhi semua prosedur operasi standard dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan.

  • PKR Tambun lapor polis individu muat naik gambar hina PMX

    PKR Tambun membuat laporan polis individu muat naik gambar menghina PMX dalam media sosial di Ipoh IPOH – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Tambun membuat laporan polis berhubung penyebaran satu grafik menghina Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa dimuat naik oleh seorang wanita dipercayai kakitangan sebuah bank di media sosial. Timbalan Ketua PKR Cabang Tambun, Kalaimughilan Arjunan berkata, tindakan individu berkenaan yang memuat naik grafik menggambarkan Perdana Menteri berpakaian bendera Israel dan memakai pottu berunsur keagamaan Hindu dianggap sebagai satu bentuk penghinaan serius terhadap pemimpin nombor satu negara itu. Menurutnya, penghinaan seumpama itu tidak wajar dilakukan oleh mana-mana pihak walaupun tidak menyukai kerajaan mahupun Perdana Menteri. “Kami melihat perkara ini amat serius dan perlu dihentikan segera. "Dalam sejarah pentadbiran negara, tidak pernah tahap penghinaan terhadap seorang Perdana Menteri setinggi ini seperti yang berlaku semasa pimpinan Datuk Seri Anwar. "Kami berharap pihak polis menyiasat dan mengambil tindakan tegas ke atas individu yang bertanggungjawab melakukan perbuatan jenayah ini," katanya lagi.

  • Arab Saudi tolak tawaran Messi beraksi di Liga Pro Saudi

    Arab tolak tawaran Messi beraksi di Liga Pro Arab Saudi ARAB Saudi dilaporkan telah menolak tawaran daripada bintang sensasi Argentina, Lionel Messi untuk beraksi jangka pendek dalam saingan Liga Pro Saudi sebelum Piala Dunia FIFA 2026. Ketua Pegawai Eksekutif Mahd Sports Academy, Abdullah Hammad mendedahkan bahawa wakil Messi telah menghubunginya ketika Kejohanan Kelab Dunia bagi membincangkan kemungkinan pemain Argentina itu menyertai kelab di Arab Saudi sementara Major League Soccer (MLS) berehat panjang. “Ketika Kejohanan Kelab Dunia lalu, pasukan Messi menghubungi saya dan menawarkan beliau untuk bermain di Arab Saudi kerana MLS akan berhenti hampir empat bulan. "Dia mahu kekal cergas dan membuat persiapan menghadapi Piala Dunia 2026,”katanya. Cadangan itu menyerupai langkah yang pernah dilakukan David Beckham pada 2010 apabila beliau dipinjamkan ke AC Milan ketika masih bersama LA Galaxy. Messi yang kini bersama Inter Miami menyertai kelab MLS itu pada 2023 selepas meninggalkan Paris Saint-Germain serta menolak tawaran lumayan daripada beberapa kelab Arab Saudi ketika itu. Bagaimanapun, menurut Hammad, selepas cadangan itu dikemukakan, Menteri Sukan Arab Saudi menolak permohonan tersebut dengan alasan liga negara itu tidak sepatutnya dijadikan 'platform persiapan' untuk kejohanan lain. “Menteri menjelaskan bahawa Liga Pro Saudi tidak akan menjadi platform persiapan untuk mana-mana kejohanan,” tegasnya lagi.

  • Patah hati putus cinta, pelajar perempuan cedera terjatuh dari sekolah

    jatuh bangunan sekolah sebab putus cinta SHAH ALAM - Gara-gara patah hati kerana cintanya terputus dengan teman lelakinya, seorang pelajar perempuan tercedera selepas terjatuh dari tingkat satu sebuah sekolah dalam insiden di sini Khamis lalu. Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata mangsa merupakan seorang pelajar Tingkatan 1 di sekolah tersebut. "Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Shah Alam untuk mendapatkan rawatan. "Siasatan lanjut mendapati mangsa telah mengalami luka di dahi serta kaki dan kini dilaporkan berada dalam keadaan sedar serta stabil," katanya dalam kenyataan tengah malam tadi. Malah katanya, polis membuka kertas siasatan dan menyiasat kes di bawah Seksyen 507C Kanun Keseksaan.

  • wartawan ada hak bebas tanya soalan- Fahmy Fadzil

    Fahmy Fadzil KUALA LUMPUR - Setiap wartawan mempunyai hak dan kebebasan untuk mengemukakan apa jua soalan dalam menjalankan tugas mereka selaras dengan prinsip keterbukaan dan saling menghormati antara media dan kerajaan. Menteri Komunikasi mengesahkan bahawa insiden seorang menteri kerajaan Madani yang didakwa mengugut dan menghina seorang selepas wartawan itu bertanya tentang penggunaan bahasa Inggeris bagi tema pelancongan dalam satu acara rasmi telah dibincangkan dalam mesyuarat jemaah menteri pada Rabu yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusoff. "Saya telah berhubung dengan menteri berkaitan mengenai isu ini dan beliau telah memberikan penjelasan dari perspektif beliau. "Dalam mesyuarat Jemaah Menteri, saya telah menyatakan bahawa pendirian kerajaan adalah sangat jelas iaitu wartawan berhak dan bebas bertanya apa jua soalan dalam menjalankan tugas mereka sebagai wartawan. "Setiap jawapan ataupun respons yang diberikan oleh menteri perlulah disampaikan dengan penuh berhemah berlandaskan prinsip keterbukaan, disamping saling menghormati antara media dan pihak kerajaan," katanya di sini. Ahli Parlimen Lembah Pantai itu diminta mengulas sama ada terdapat arahan khusus kepada menteri bahawa mereka boleh menghubungi organisasi media jika tidak berpuas hati dengan soalan wartawan. Menjawab kepada pertanyaan itu, Ahmad Fahmy menjelaskan bahawa kerajaan tidak mengeluarkan sebarang arahan yang khusus mengenai perkara itu. "Saya menyampaikan pandangan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, saya menegaskan bahawa Perdana Menteri sendiri terbuka menerima sebarang soalan dan pendirian kerajaan ialah wartawan berhak untuk bertanya apa jua soalan, jadi itu pendirian kerajaan," ujarnya lagi. Mengulas lanjut berhubung perkara itu beliau juga menegaskan bahawa menteri berkenaan juga menyatakan komitmennya untuk bertemu dengan pengurusan Utusan Malaysia bagi menjernihkan keadaan.

  • PDRM buru 7 warga Malaysia dikehendaki Singapura kes jenayah siber berjumlah RM130 juta

    Datuk M. Kumar KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia telah memperhebatkan usaha bagi membantu kerajaan Singapura untuk memburu dan menjejaki seramai tujuh warga Malaysia yang disyaki terlibat dalam kegiatan jenayah siber berjumlah kira-kira RM130 juta berpangkalan di Kemboja. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Komisioner Datuk M.Kumar telah mengesahkan bahawa pihaknya telah menerima maklumat daripada Pasukan Polis Singapura (SPF) berhubung pendedahan penglibatan seramai 27 warga Singapura dan tujuh warga Malaysia dalam kegiatan jenayah siber tersebut. Katanya, PDRM akan membantu negara republik jiran itu untuk mendapatkan kesemua suspek yang dikehendaki dalam kes penipuan jenayah siber tersebut. "Sehubungan itu, PDRM telah dan sedang melaksanakan tindakan untuk mengesan serta menahan semua individu yang disyaki terlibat. "Kesemua tujuh suspek warga Malaysia telah disenaraikan ke dalam senarai orang yang dikehendaki bagi tujuan tangkapan dan siasatan lanjut," katanya menerusi kenyataan media tengah malam tadi. Menurut beliau, PDRM kekal komited memperhebat usaha pengesanan kesemua suspek terbabit dengan menjalin kerjasama erat bersama agensi penguat kuasa dalam dan luar negara. "PDRM menegaskan komitmen berterusan dalam memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa bagi membanteras jenayah rentas sempadan yang boleh mengancam keselamatan serta ketenteraman awam," tegas Kumar lagi.

  • Ibu Zayn Rayyan disabit bersalah abai anak, dipenjara 5 tahun bermula hari ini

    Ibu Zyn Rayyan dipenjara lima tahun serta merta selepas didapati bersalah mengabaikan allahyarham Zyn pada 2023 Ibu Zayn Rayyan disabit bersalah abai anak, dipenjara 5 tahun bermula hari ini PETALING JAYA - Mahkamah Sesyen Petaling Jaya di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara selama lima tahun bermula hari ini terhadap ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf. Hakim Syahliza Warnoh menjatuhkan hukuman itu memerintahkan keputusan itu selepas tertuduh berusia 30 tahun itu disabitkan bersalah atas pertuduhan mengabaikan anaknya berusia lima tahun. Hukuman itu dijatuhkan setelah hakim mendengar hujah pendakwaan dan juga pembelaan, dan mengarahkan Ismanira menjalani hukuman bermula hari ini. Dia turut memerintahkan Ismanira menandatangani bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan seorang penjamin, berserta cagaran sebanyak RM3,000, serta menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam. Syahliza berkata pembelaan wanita berkenaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. Mahkamah juga mendapati Ismanira telah melakukan pengabaian apabila membiarkan Zayn berjalan di belakangnya tanpa pengawasan, yang akhirnya membawa kepada kehilangannya. Laungan perlahan “Allahuakbar” kedengaran dari galeri selepas mahkamah menyampaikan keputusan tersebut. Hakim kemudian meminta prosiding ditangguhkan seketika, sebelum mendengar hujahan daripada timbalan pendakwa raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan peguam Ismanira, Haresh Mahadevan berhubung hukuman. Ismanira, yang duduk di kandang tertuduh serta suaminya, Zaim Ikhwan Zahari yang berada di galeri, dilihat menangis teresak-esak setelah keputusan menjatuhkan hukuman dibacakan oleh hakim. Dalam pada itu, suami kepada tertuduh, Zaim secara tiba-tiba mengamuk di mahkamah selepas tidak dapat menerima keputusan mahkamah terhadap isterinya pagi tadi. “laknat, semua ni akan laknat!” jerit Zaim ketika polis membawa keluar Ismanira keluar dari mahkamah. “Saya kecewa dengan keputusan hari ini. Semoga semua yang terlibat dalam ketidakadilan dan fitnah terhadap keluarga saya akan menerima balasan Tuhan," dakwanya lagi.

  • Tiga lelaki ditahan bantu siasatan kes bunuh wanita tidak berpakaian

    Tiga lelaki tempatan ditahan bantu siasatan kes bunuh wanita dalam keadaan terikat di Serdang pada 29 Oktober lalu di Serdang Tiga lelaki ditahan bantu siasatan kes bunuh wanita tidak berpakaian SERDANG - Tiga lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes seorang wanita ditemui mati dalam keadaan tidak berpakaian dan tangan terikat disyaki dibunuh berhampiran bulatan Blue Water Estate, Seri Kembangan, Rabu lalu. Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, ketiga-tiga suspek merupakan warga tempatan dan berusia lingkungan antara antara 25 hingga 30 tahun. "Mereka direman pada hari ini di mahkamah bagi membantu siasatan lanjut dalam kes ini. “Setakat ini, siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti motif kejadian,” katanya dalam kenyataan tengahari tadi. Tambah beliau, mayat mangsa yang ditempatkan Hospital Serdang telahpun dikenal pasti oleh waris terdekat mangsa iaitu adik kandungnya sebelum proses bedah siasat dijalankan. Pada Rabu, media melaporkan polis menerima maklumat mengenai penemuan mayat seorang wanita dalam keadaan tangan terikat dan tanpa pakaian pada pukul 3.45 petang di kawasan berhampiran bulatan Blue Water Estate. Rentetan itu, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.

  • Wanita hilang ditemui mati dalam kereta diparkir Mall

    KUCHING – Misteri kehilangan seorang perempuan di Tabuan Jaya pada Sabtu lalu akhirnya terungkai apabila ditemui meninggal dunia di dalam keretanya yang diparkir di sebuah pusat beli-belah terkemuka di sini semalam. Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat mangsa berusia 24 tahun itu daripada orang awam kira-kira pukul 1.55 petang. “Pasukan kami bertindak atas maklumat itu bergegas ke lokasi sebelum menjumpai si mati dalam keadaan terbaring di tempat duduk pemandu. "Wanita itu telah disahkan meninggal dunia oleh paramedik dari Hospital Umum Sarawak (HUS) yang turut bergegas ke lokasi. “Si mati merupakan orang yang dilaporkan hilang di kawasan Tabuan Jaya,” katanya dalam kenyataan tengah malam tadi. Tambah beliau, mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik HUS untuk bedah siasat bagi menentukan punca kematian. Justeru katanya, buat masa ini siasatan awal yang dijalankan oleh polis di tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah berlaku. "Kes telah diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) serta meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk menghubungi Ketua Balai Polis Sekama, ASP Simon Renang di talian 016-8547803 dan Balai Polis Sekama di talian 082 332522 atau tampil di balai polis berhampiran," tegasnya lagi.

  • Pekerja pembalakan maut diserang gajah mengamuk

    Lelaki mati dipijak gajah mengamuk di Gua Musang GUA MUSANG - Seorang pekerja pembalakan menemui ajal dalam keadaan ngeri apabila diserang gajah yang mengamuk di kawasan penempatan pekerja di Aring 8 di sini pada Rabu. Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 10 malam itu, mangsa lelaki berusia 43 tahun dikatakan berada di kawasan rumah kongsi sebelum sekumpulan gajah liar muncul secara tiba-tiba di situ. Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, beberapa rakan sekerja mangsa bertindak melarikan diri selepas menyedari kehadiran haiwan tersebut. “Sekawan gajah dilihat berada di kawasan penempatan pekerja terbabit sebelum menyerang mangsa. “Mangsa dipercayai tidak sempat menyelamatkan diri sebelum maut diserang binatang liar itu,” katanya pagi tadi. Tambah beliau, mangsa ditemui maut pada jam 7 pagi keesokan harinya dalam keadaan tragis dengan kecederaan parah di kepala dan seluruh badan. “Pekerja-pekerja lain yang masuk semula ke kawasan itu menemukan mangsa yang sudah meninggal dunia. "Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Gua Musang untuk menjalankan proses bedah siasat bagi menentukan punca kematian," tegasnya lagi.

  • Syed Saddiq kembali sertai Ironman Langkawi

    Syed Saddiq.Fo to kredit Ironman KUALA LUMPUR - Acara triatlon jarak jauh Ironman bukan sekadar menguji kekuatan fizikal dan mental, tetapi turut membentuk karakter diri menukar yang mustahil menjadi realiti. Sejak kembali dianjurkan di Langkawi pada 2014, acara ikonik itu telah mencetuskan revolusi senyap dalam landskap sukan negara. Ia bukan sahaja menginspirasikan ribuan atlet menguji had kemampuan diri, malah menjadikan pulau legenda itu pusat perlumbaan ketahanan terulung di Asia. Antara yang terpanggil menyahut cabaran tersebut ialah bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang bakal kembali beraksi buat kali kedua berturut-turut pada Sabtu ini. Pada penampilan sulungnya tahun lalu, beliau berdepan insiden kemalangan basikal di pertengahan perlumbaan namun tetap menamatkan saingan dalam masa 13 jam 13 minit — satu pencapaian yang mencerminkan tekad dan ketabahannya. “Ironman Malaysia amat sentimental bagi saya. Ia kejohanan penuh pertama yang saya sertai, dan lebih daripada itu, Ironman Langkawi bagaikan ‘Hari Raya’ buat triatlet," katanya.

  • Diskaun saman trafik 70 peratus tidak terpakai untuk saman tak boleh dikompaun

    KUALA LUMPUR - Kempen pengurangan bayaran saman trafik sebanyak 70 peratus yang ditawarkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman tidak terpakai bagi kesalahan yang tidak boleh dikompaun (NC). Pengarah JSPT Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, selain itu, tawaran pengurangan terbabit adalah tertakluk kepada nilai kompaun semasa, dengan kadar minimum iaitu RM30 sahaja. "Urusan penyelesaian saman boleh dilaksanakan melalui platform MyBayar PDRM bagi pengguna berdaftar dengan MyDigital ID, serta di semua kaunter trafik daerah dan pejabat pos di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan pada Khamis. Mohd Yusri berkata, kempen terbabit akan dilaksanakan bermula 1 November ini hingga 30 Disember depan. Beliau berkata, kempen itu selaras dengan keputusan kerajaan menyelaras semula kadar serta kaedah kompaun saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang akan berkuat kuasa 1 Jan 2026 berasaskan prinsip "The Less You Delay, The Less You Pay.” "Orang ramai boleh menikmati kadar kompaun yang lebih rendah sekiranya bayaran dibuat lebih awal,” katanya. Mohd Yusri turut menggalakkan orang ramai menyelesaikan saman sebelum 30 Dis ini sebagai sokongan kepada usaha kerajaan membentuk budaya pemanduan yang lebih bertanggungjawab, berdisiplin dan selamat.

bottom of page