top of page

Search Results

548 hasil ditemukan dengan carian kosong

  • Diskaun JPJ 50 peratus: Jelaskan saman terunggak dalam tempoh 2 bulan

    Diskaun JPJ 50 peratus: Jelaskan saman terunggak dalam tempoh 2 bulan SUNGAI PETANI- Para pengguna jalan raya di negara ini diberi tempoh selama dua bulan untuk segera menjelaskan saman tertunggak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan kadar diskaun sebanyak 50 peratus bermula 1 November hingga 30 Disember ini. Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata diskaun berkenaan terpakai untuk semua jenis saman kecuali yang tidak boleh dikompaun. Katanya, orang ramai yang masih mempunyai saman tertunggak diminta mengambil peluang ditawarkan itu, dengan melakukan pembayaran di kaunter JPJ atau saluran pembayaran disediakan. "Kita menggesa semua rakyat mengambil peluang yang diberi dalam tempoh dua bulan ini bagi menjelaskan saman masing-masing kerana kita akan memulakan diskaun 50 peratus mulai 1 November hingga 30 Disember 2025. "Ia untuk semua jenis saman, bukan untuk saman AwAS (Saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik), Notis Temu Siasat (114) dan Notis Saman Tampal/JPJ(P)23 (115) yang kita gerakkan dari awal tahun lepas, tapi untuk semua jenis saman kecuali saman yang tidak boleh dikompaun iaitu yang perlu dibawa ke mahkamah. "Orang ramai diharap dapat berbuat demikian kerana mulai 1 Januari 2026 tiada lagi diskaun dikeluarkan kepada umum termasuklah saman JPJ dan saman PDRM," katanya pada Sidang Media Khas Op Gempur di sini, malam tadi.

  • RTM mohon maaf silap sebut nama Presiden Indonesia

    Prabowo KUALA LUMPUR - Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) memohon maaf secra terbuka atas kesilapan dalam siaran langsung RTM sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan sidang-sidang berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Ahad. RTM menerusi kenyataan rasmi memaklumkan bahawa, siasatan dalaman pihaknya mendapati terdapat kesilapan oleh pengulas siaran yang menyebut nama Presiden Republik Indonesia sebagai Joko Widodo, sedangkan pemimpin yang terkini ialah Prabowo Subianto. "RTM memandang serius perkara ini dan tindakan sewajarnya telah diambil terhadap individu terbabit. "Kami dengan ini, memohon maaf kepada Presiden dan Kerajaan Republik Indonesia, serta semua pihak yang terkesan akibat kesilapan ini," katanya dalam kenyataan itu. Menurut RTM, langkah penambahbaikan akan terus dilaksanakan bagi memastikan ketepatan maklumat dalam setiap siaran. "RTM akan memperkukuh kawalan editorial serta semakan fakta bagi memastikan setiap maklumat yang disampaikan adalah tepat dan berintegriti," katanya. Kenyataan rasmi itu juga telah dimuat naik di pelbagai platform media sosial RTM.

  • EPL: Liverpool tak keluar gua, kalah kali ke-4

    Liverpool rekod kekalahan keempat dalam EPL selepas dilanyak oleh Brentford pada aksi awal pagi Ahad waktu tempatan. ANFIELD - Juara Liga Perdana Inggeris musim lalu Liverpool terus dilanda musibah apabila sekali lagi kalah dalam satu lagi aksi yang berlangsung malam Ahad. Kelab the Kops dilanyak 3-2 oleh Brentford dalam aksi yang berlangsung di Stadium Gtech Komuniti. Ia sekali gus menyaksikan Liverpool merekodkan empat kekalahan berturut-turut pada kali ini. Mengulas kekalahan itu, pengendali The Reds, Arne Slot mengakui prestasi pasukan mengecewakan, khususnya dalam menghadapi bola mati dan serangan balas lawan. Gol Brentford hadir seawal minit ke-5 melalui Dango Ouattara, diikuti gol Kevin Schade(m-45) sebelum sepakan penalti Igor Thiago (m-60) memastikan kemenangan tuan rumah. Mohamed Salah hanya mampu menjaringkan gol tunggal pada minit akhir permainan yang tidak mencukupi untuk mengubah nasib pasukan. Satu lagi gol Liverpool dijaringkan Milos Kerkez pada penghujung masa tambahan babak pertama. Liverpool kini perlu segera memulihkan rentak menjelang aksi menentang Crystal Palace (Piala Liga Inggeris) Khamis ini, diikuti Aston Villa, Real Madrid (Liga Juara-Juara) dan Manchester City.

  • FIFA lancarkan Kejohanan Piala ASEAN babit 11 Negara

    Infantino melancarkan Piala ASEAN FIFA membabitkan 11 anggota ASEAN di Kuala Lumpur dalam sidang kemuncak ASEAN Ke-47 KUALA LUMPUR: Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) secara rasminya memperkenal dan melancarkan kejohanan Piala ASEAN FIFA di ibu negara. Kejohanan itu bakal menghimpunkan kesemua 11 negara anggota ASEAN dalam satu pentas bola sepak serantau terbesar di bawah naungan badan induk bola sepak dunia itu. Presiden FIFA, Giovanni Vincenzo Infantino berkata, kejohanan itu diwujudkan bagi memberi suntikan semangat baharu kepada bola sepak rantau ASEAN yang mempunyai lebih 700 juta penduduk, selain menjadi simbol penyatuan negara-negara ASEAN melalui sukan paling popular di dunia. "Piala FIFA ASEAN ini diwujudkan untuk rantau ini membabitkan semua 11 negara anggota. Ia akan memberi impak besar bukan sahaja di rantau Asia Tenggara, tetapi juga di seluruh dunia," katanya. Beliau ditemui selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) baharu antara FIFA dan ASEAN yang disaksikan Perdana Menteri merangkap Pengerusi ASEAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Mengulas lanjut, Infantino berkata, MoU antara FIFA dan 11 negara anggota ASEAN itu sangat istimewa. Beliau bagaimanapun tidak bersedia menyentuh atau mengulas tentang isu penggantungan 7 pemain warisan Harimau Malaya selama setahun. "Angka 11 itu sendiri simbolik dalam dunia bola sepak kerana satu pasukan terdiri daripada 11 pemain dan kini pasukan ASEAN lengkap, bersedia untuk menang," katanya. Infantino berkata, ASEAN adalah salah satu rantau paling dinamik dalam dunia bola sepak dengan lebih 700 juta peminat aktif, menjadikannya antara pasaran terbesar dan paling berpotensi tinggi bagi pembangunan sukan itu. "Kami di FIFA mahu melakukan lebih banyak perkara bersama ASEAN dan membina lebih banyak inisiatif yang membawa manfaat kepada seluruh komuniti bola sepak serantau," katanya. Infantino berkata kerjasama itu berpaksikan tiga prinsip utama iaitu integriti dalam permainan, keselamatan persekitaran bola sepak dan pendidikan melalui sukan. "Kami mahu memastikan bola sepak terus berkembang dalam suasana yang selamat dan mendidik generasi muda lelaki, wanita, kanak-kanak lelaki dan wanita di seluruh rantau ini," katanya.

  • Ibu dan anak maut dalam nahas tiga kenderaan

    KLUANG – Seorang wanita dan anak lelakinya meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan tiga kenderaan di kilometer (KM) 65, Jalan Johor Bahru - Ayer Hitam pada petang Sabtu. Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian itu dipercayai berlaku pada jam 5.30 petang melibatkan sebuah kereta, van dan kenderaan pacuan empat roda. Katanya, siasatan awal polis mendapati semasa kejadian sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang dipandu seorang wanita warga tempatan berusia 51 tahun bersama dua anak lelakinya sedang dalam perjalanan dari Simpang Renggam menghala ke Kampung Bukit Kenangan. “Selepas tiba di lokasi nahas, kereta terbabit telah berhenti untuk masuk ke simpang kanan, sebelum sebuah van kilang jenis Mazda dipandu seorang lelaki warga tempatan dari arah sama telah hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang kereta yang dipandu wanita tersebut. “Akibat perlanggaran itu, kereta Perodua Kancil tersebut telah memasuki laluan bertentangan dan dilanggar oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang tidak sempat mengelak,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad. Tambah beliau, keadaan itu menyebabkan pemandu kereta bersama penumpang hadapan iaitu anak lelakinya berusia 15 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta badan sebelum meninggal dunia di lokasi nahas. "Manakala, seorang lagi anak lelakinya berusia sembilan tahun cedera parah di bahagian kepala dan kaki kiri. "Manakala, pemandu van pula mengalami kecederaan di bahagian muka, dada dan kaki kanan sementara pemandu kenderaan pacuan empat roda, mengalami kecederaan ringan di bahagian badan dan tangan kanan. “Kesemua mangsa yang cedera dikejarkan ke Hosptial Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang dengan ambulans bagi menerima rawatan lanjut. Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. “Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kemalangan tersebut boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang di talian 07-7784222, 07-7784256 (direct line), 07-7766822 (hotline) atau 014-365682 (tablet DCC) bagi membantu siasatan," tegasnya lagi.

  • Polis siasat insiden ceroboh MRT Taman Desa, pagar dipotong

    KUALA LUMPUR – Polis sedang menyiasat insiden pencerobohan di kawasan transit aliran massa (MRT) Taman Desa selepas pagar di lokasi berkenaan ditemui dalam keadaan terbuka dan dipercayai dipotong. Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, pihaknya menerima satu laporan polis berhubung kejadian itu daripada Polis Bantuan MRT Laluan Putrajaya pada jam 12.41 tengah hari tadi semalam. “Hasil pemeriksaan polis bantuan di lokasi mendapati pagar dipercayai telah dipotong sekitar jam 6.30 pagi dan terdapat kabel komunikasi milik MRT yang dilonggokkan berhampiran tiang Pier 0373,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Beliau berkata, semua kabel yang dijumpai telah dibawa ke Depoh Serdang oleh pihak Signaling and Communication (S&C) untuk rujukan syarikat serta untuk mengukur semula panjang kabel bagi menentukan jumlah yang telah dicuri. “Kes masih dalam siasatan pihak polis” katanya secara ringkas. Sebelum ini, media melaporkan bahawa gangguan operasi MRT Laluan Putrajaya yang menyebabkan perkhidmatan tren dijalankan secara manual sejak pagi Sabtu disyaki berpunca daripada kecurian kabel komunikasi dan sistem semboyan. Dalam pada itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana), Amir Hamdan berkata, pasukan teknikal bersama pakar sistem asal (OEM) sedang melaksanakan kerja pembaikan dan pemulihan menyeluruh bagi memastikan operasi kembali stabil secepat mungkin. Buat masa ini, sistem masih beroperasi secara tidak konsisten dan belum dapat diperbetulkan sepenuhnya.

  • Trump selamat tiba di Malaysia

    Trump disambut Anwar selepas Air Force One membawa pemimpin kuasa besar dunia itu mendarat di KLIA pada Ahad SEPANG- Presiden Amerika Syarikat Donald Trump akhirnya selamat mendarat di Malaysia dengan pesawat rasminya Air Force One sekitar 10 pagi Ahad. Air Force One yang membawa pemimpin kuasa besar dunia yang dinanti-nantikan Pemimpin ASEAN itu mendarat di KLIA 1 pada pagi tadi. Jalur Gemilang dan Bendera AS berkibar sambil Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan serta para ahli Jemaah Menteri lain dan Pegawai Kanan Kerajaan menyambut Trump.   Semasa ketibaan Trump disambut dengan persembahan tarian sebelum Trump menyertai mereka dengan tarian ikonik beliau sendiri selain mengambil kesempatan berbual dengan artis.   Trump turut mengibarkan bendera AS dan Malaysia secara teruja ke arah para pemimpin yang menunggu dan menjemput beliau di Bunga Raya Hall, KLIA. Beliau kemudian menaiki kenderaan rasminya yang dibawa dari White House, Cadillac One, atau lebih dikenali sebagai “The Beast”, bersama Anwar sekitar jam 10.13am. Mereka dijangka menuju ke Pusat Konvensyen KLCC di mana berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN ke- 47. Kenderaan Beast yang membawa Trump diiringi penub kawalan ketat motosikal berkuasa tinggi untuk menjamin keselamatan. Lawatan Rasmi Trump ke Malaysia kali ini menandakan detik bersejarah apabila ia adalah lawatan pertama beliau dan penyertaan sulung ke Sidang Kemuncak ASEAN.

  • Donald Trump puji peranan Malaysia dalam rundingan gencatan senjata Thailand-Kemboja

    KUALA LUMPUR - Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memuji peranan penting Malaysia dalam memudahkan rundingan gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja bagi memulihkan keamanan di sepanjang kawasan sempadan yang menjadi pertikaian. Trump berkata, beliau memutuskan untuk memasukkan Malaysia dalam lawatan serantau beliau sebagai pengiktirafan kepada diplomasi aktif Malaysia dalam membantu menguruskan gencatan senjata itu. "Saya memberitahu pemimpin Malaysia (Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim), yang merupakan seorang yang sangat baik, saya berkata, 'Saya rasa saya wajar membuat lawatan ke sini,’ dan sebab itulah kami singgah di Malaysia. Malaysia memainkan peranan yang sangat besar (dalam gencatan senjata Thailand-Kemboja),” katanya kepada pemberita di dalam pesawat rasminya, Air Force One, sejurus berlepas dari Washington sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47. Pesawat Air Force One yang membawa Trump dan delegasinya dijadual mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 10 pagi ini, dan beliau akan disambut oleh Anwar di Kompleks Bunga Raya. Sementara itu di laman Truth Social, Trump berkata, beliau dalam perjalanan ke Malaysia untuk menyaksikan pemeteraian perjanjian damai bersejarah antara Thailand dan Kemboja. "Saya kini dalam perjalanan ke Malaysia, saya akan menyaksikan pemeteraian Perjanjian Damai hebat, yang saya dengan bangganya menjadi perantara antara Kemboja dan Thailand," katanya.-BERNAMA

  • Perjanjian damai Thailand-Kemboja lambang kejayaan diplomasi ASEAN

    PETALING JAYA – Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 hari ini akan mencatat detik bersejarah apabila berlangsungnya majlis pemeteraian Perjanjian Damai Thailand–Kemboja yang disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. Perjanjian itu menandakan kejayaan penting usaha diplomasi damai ASEAN dalam menyelesaikan pertikaian serantau secara aman dan konstruktif, sekali gus memperkukuh kepercayaan terhadap peranan Malaysia sebagai pemudah cara keamanan di rantau ini. Menurut Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, majlis berkenaan menjadi antara kemuncak kepada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung hari ini. “Majlis ini melambangkan kejayaan diplomasi damai ASEAN dalam menyelesaikan pertikaian secara aman dan konstruktif. “(Ini) sekaligus memperkukuhkan kepercayaan terhadap peranan Malaysia sebagai pemudah cara keamanan serantau. katanya dalam taklimat Pejabat Perdana Menteri (PMO) di sini. Tambahnya lagi, Kuala Lumpur menjadi tumpuan dunia kali ini apabila Malaysia secara rasminya membuka tirai Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, menandakan kemuncak kepada setahun kepimpinan negara sebagai Pengerusi ASEAN 2025. “Di bawah tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, Malaysia sekali lagi membuktikan keupayaannya memimpin rantau ini dengan visi berpaksikan perpaduan, keadilan dan masa depan yang mampan. “Sidang kemuncak kali ini menghimpunkan pemimpin ASEAN bersama tetamu Pengerusi, menjadikan Kuala Lumpur pusat pertemuan diplomasi global bagi menelusuri hala tuju politik, ekonomi dan kemanusiaan rantau ini,” tegasnya lagi.

  • Kantoi sumbat 759 kg daun ketum dalam Proton Exora

    Dua lelaki ditahan seludup daun lketum menggunaka Proton Exora di Jalan Kulim-Jeli hari ini. JELI – Taktik licik dua lelaki yang menyeludup 759 kilogram daun ketum menggunakan Proton Exora untuk meraih keuntungan hasil jualannya di Kelantan berjaya dihidu polis. Kedua-dua individu itu turut berjaya dicekup di tepi jalan Kampung Kulim, di sini semalam. Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Kamarulzaman Harun berkata, kedua-dua suspek lelaki itu ditahan kira-kira pukul 11 pagi semasa menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Proton Exora. Katanya, semasa kejadian unit kereta peronda polis mendapati sebuah MPV dari arah sebuah sebuah stesen minyak di sini menghala ke Ayer Lanas dipandu dalam keadaan mencurigakan. "Para anggota polis menggunakan pembesar suara dan membunyikan siren lampu beacon untuk mengarahkan MPV dinaiki kedua-dua suspek itu berhenti di tepi jalan Kampung Kulim di sini untuk tindakan pemeriksaan lanjut. “Hasil pemeriksaan polis di dalam kenderaan dipandu suspek berjaya membawa kepada penemuan sebanyak 69 bungkusan plastik berwarna hitam yang berisi 759 kg daun ketum. “Selain itu, polis turut menjumpai satu botol minuman yang mengandungi 600 mililiter air ketum,” katanya pada Ahad. Beliau turut menambah bahawa semakan lanjut polis mendapati, kedua-dua suspek masing-masing memiliki satu rekod jenayah dan satu rekod lampau kesalahan dadah. Jelasnya lagi, ujian air kencing yang dijalankan ke atas kedua-dua suspek juga mendapati mereka positif dadah jenis ketamin. "Kedua-dua lelaki itu kini direman untuk membantu siasatan lanjut polis yang dijalankan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Tarikh mengundi bertembung: KPT digesa selaras semula jadual peperiksaan, konvokesyen

    Tarikh mengundi bertembung: KPT digesa selaras semula jadual peperiksaan, konvokesyen KOTA KINABALU - Kementerian Pendidikan Tinggi diseru agar menyelaras semula jadual pemeriksaan dan istiadat konvokesyen menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 yang bakal berlangsung pada 29 November ini. Ketua Wirawati Parti Warisan (Warisan), Isnaraissah Munirah Majilis, menyuarakan kebimbangan itu yang dipercayai bertembung dengan jadual peperiksaan akhir politeknik serta Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang dijadualkan berlangsung pada hari sama, iaitu 29 November depan. Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Belud memandang serius aduan serta keluhan yang diterima daripada ibu bapa dan pelajar Sabah mengenai pertembungan tarikh berkenaan. "Pertembungan tarikh ini akan meletakkan ratusan, kalau tidak ribuan pelajar dari Sabah yang menuntut di seluruh negara dalam dilema yang menyedihkan. "Meletakkan sama ada komitmen akademik yang sangat penting atau melaksanakan tanggungjawab asas sebagai warganegara untuk mengundi adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku," katanya dalam kenyataan di sini. Beliau berkata, perkara itu bukan sekadar isu logistik semata-mata tetapi ia adalah isu dan hak demokrasi rakyat Malaysia yang harus dihormati dan diberi pertimbangan sewajarnya. "Kita sepatutnya memudahkan proses bagi anak muda untuk mengambil bahagian dalam demokrasi bukan sebaliknya. Halangan seperti ini sama ada secara sengaja atau tidak akan menghantar mesej yang salah dan berisiko menafikan hak ribuan pengundi muda Sabah. "Justeru, saya menggesa pihak-pihak yang bertanggungjawab mengambil tindakan termasuk Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan sebagai kementerian yang bertanggungjawab, KPT perlu segera menyelaras semula jadual penting Institut Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara bagi menghormati proses demokrasi di Sabah. "Saya mohon agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga menambahbaik sesi libat urus kordinasi dengan pihak berkepentingan seperti KPT sebelum menetapkan pilihan raya bagi mengelakkan pertembungan tarikh yang akan menjejaskan hak pengundi," tegasnya lagi.

  • Terlalu awal ramal Wan Ahmad Fayhsal bakal sertai Pas

    Wan Ahmad Fayhsal KOTA BHARU - Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah melihat masih terlalu awal untuk membuat spekulasi Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal akan menyertai parti itu. Beliau berkata, hal ini kerana Wan Ahmad Fayhsal bukan dipecat sebaliknya berdepan penggantungan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). "Penggantungan itu mempunyai tempoh dan Ahli Parlimen Machang boleh kembali semua ke pangkuan parti selepas ia tamat," katanya semasa ditemui pemberita selepas Ceramah Perdana Sempena 70 Tahun Pas di Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada malam Jumaat. Ujarnya, Pas tidak mahu mencampuri urusan parti lain dan berharap masalah dalaman Bersatu itu diselesaikan dengan baik. Mohd Amar memberitahu, tindakan itu bagi memastikan parti berada dalam keadaan harmoni. Sebelum ini, Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal digantung keahlian daripada Bersatu selama satu penggal. Selain itu, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan pula dipecat keahlian daripada parti itu berkuatkuasa serta merta.

bottom of page