top of page

Search Results

681 hasil ditemukan dengan carian kosong

  • Piala FA: JDT langkah bergaya ke separuh akhir

    JDT mudah menjinakkan Penang FC sebelum melangkah bergaya ke separuh akhir Piala FA dalam aksi di Johor malam tadi. ISKANDAR PUTERI - Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya mengesahkan tiket ke separuh akhir Piala FA edisi kali ini selepas berjaya menjinakkan Penang PC 5-1 dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam tadi. Turun dengan kemenangan tipis 2-1 pada aksi suku akhir pertama pada 17 Oktober lalu, Harimau Selatan yang sedang memburu kejuaraan kali keempat ternyata memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila menjaringkan tiga gol menjadikan agregrat kemenangan 5-1. Sebaik visel dibunyikan, anak buah Xisco Munoz mula menyerang bertalu-talu kubu pertahanan Harimau Kumbang dari utara itu. Walaupun asakan demi asakan dilakukan di kubu lawan,kekebalan bek pertahanan pasukan pelawat itu menggagalkan tuan rumah membuka jaringan. Bagaimanapun, pada minit ke-38, keangkuhan kubu Penang FC akhirnya runtuh setelah penyerang sensasi, Bergson Da Silva tidak melepaskan peluang terhidang hasil bola muntah hasil rembatan Ignacio Mendez yang gagal ditampan Mohamad Ramdhan, sekaligus meletak tuan rumah di hadapan. Dua minit berselang, Jonathan Silva pada mulanya ‘kecewa’ selepas gol yang dihasilkannya dibatalkan pengadil perlawanan Izzul Fikri Kamaruzaman namun bertukar gembira selepas pegawai di bilik video bantuan pengadil (VAR) melakukan semakan dan mengesahkan jaringan itu. Pada minit akhir babak pertama perlawanan, Eddy Israfilov menanduk mudah sepakan sudut dari Arif Aiman menewaskan Mohamad Hamdhan yang gagal menafikan gol itu sekaligus menghadiahkan gol ketiga kem Harimau Selatan. Pada babak kedua perlawanan, Arif Aiman nyaris menambah luka pasukan pelawat pada minit ke-58 selepas rembatan kaki kirinya menerjah gawang gol namun pemain Harimau Kumbang menarik nafas lega apabila jaringan itu dibatalkan kerana ofsaid. Meskipun ketinggalan tiga gol berbalas kosong, para pemain pemain Penang FC tidak mudah mengalah dengan membalas asakan ke kubu pertahanan juara hatrik Piala FA itu namun tiada sepakan penyudah dihasilkan sehingga visel penamat dibunyikan. JDT akan bertemu Kuching City FC pada perlawanan separuh akhir yang dijadualkan awal bulan depan selepas wakil Sarawak itu menundukkan Terengganu FC dengan agregat 5-3 pada aksi timbal balik suku akhir kedua yang berlangsung di Stadium Negeri Petra Jaya, Sarawak semalam.

  • Tiga lelaki berparang diburu samun peniaga kedai makan RM10,000

    insiden samun lelaki bersenjata parang di Kuala Langat semalam. KUALA LANGAT – Seorang peniaga kedai makan wanita melalui detik mendebarkan apabila tiga lelaki bertopeng bersenjatakan parang meluru masuk menyamun barang kemas menyebabkan dia kerugian kira-kira RM10,000 dalam kejadian di Sungai Jarom, Jenjarom di sini, semalam. Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu kira-kira pukul 7 petang. Katanya, siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek lelaki menutup muka dan bersenjatakan sebilah parang. “Seorang lagi suspek menunggu di dalam sebuah kereta disyaki jenis Proton Saga atau Perodua Bezza Suspek kemudian melarikan tiga utas rantai leher termasuk satu milik suami mangsa. Turut diambil dua bentuk cincin emas milik wanita itu,” katanya dalam kenyataan tengah malam tadi. Tambah Mohd. Akmalrizal, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun secara berkumpulan dan bersenjata. Malah katanya, polis telah mempergiatkan usaha memburu kumpulan lelaki penyamun itu yang dipercayai terlibat dalam kes samun bersenjata itu. Terdahulu tular di media sosial memaparkan beberapa lelaki bertopeng memasuki kedai makan itu dan melarikan diri selepas menyamun mangsa. Akmalrizal turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-3187 2222 bagi membantu siasatan.

  • Lelaki mabuk khianat rumah ibadat ditahan

    AMPANG - Seorang lelaki tempatan ditahan polis selepas disyaki melakukan perbuatan khianat di sebuah rumah ibadat di Jalan Merdeka, Kampung Baru Ampang, di sini semalam. Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada pukul 9 pagi ketika seorang lelaki berusia 49 tahun yang bertugas sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia mendengar kekecohan di sebuah restoran dalam kawasan kuil berkenaan. “Pengadu kemudian pergi ke lokasi dan mendapati seorang lelaki dalam keadaan mabuk sedang bercakap sendiri serta merapu-rapu. “Apabila diminta beredar, suspek bertindak menolak tempat pembakaran colok hingga menyebabkan abu colok terjatuh. Pengadu menahan lelaki tersebut sebelum menghubungi pihak polis,” katanya dalam kenyataan hari ini. Tambah Mohd Azam, suspek berusia 35 tahun berjaya ditahan oleh sepasukan anggota Balai Polis Ampang pada pukul 9.20 pagi hari sama selepas diserahkan oleh pengadu. Katanya lagi, hasil semakan mendapati suspek memiliki lapan rekod lampau berkaitan kesalahan dadah, manakala ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine. "Siasatan awal polis mendapati suspek melakukan perbuatan khianat di rumah ibadat ketika berada di bawah pengaruh dadah dan alkohol. “Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Ampang hari ini(Rabu) untuk tindakan lanjut. "Kita sedang menyiasat kes ini di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan," ujar beliau.

  • Amanah personal keputusan PN kekalkan Dominic Lau pengerusi P.Pinang

    DOMINIC LAU GEORGE TOWN – Keputusan Pimpinan Tertinggi Perikatan Nasional (PN) mengekalkan Presiden Gerakan Datuk Dominic Lau Hoe Chai sebagai pengerusi PN negeri Pulau Pinang kali ini dipertikaikan oleh Parti Amanah Negara. Tindakan itu disifatkan sebagai kepimpinan PN gagal membaca realiti politik negeri ini apabila terus mengekalkan Dominic Lau di jawatan tersebut tanpa menghormati suara akar umbi parti gabungan PN. Pengarah Komunikasi Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Pulau Pinang, Abrar Sadiq berkata, meskipun keputusan pelantikan semula itu dibuat oleh kepimpinan tertinggi parti, namun ia seolah-olah mengetepikan suara ahli akar umbi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas. Kedudukan terkini Gerakan yang tidak memenangi sebarang kerusi di Pulau Pinang pada pilihan raya sebelum ini menjadi perdebatan kali ini. “Kami, sebagai komponen Kerajaan Perpaduan dan Pakatan Harapan (PH), melihat keputusan ini sebagai tanda bahawa PN semakin lemah dan tidak mempunyai saingan baharu yang mampu mencabar kestabilan kerajaan negeri hari ini. “Rakyat Pulau Pinang sendiri telah menolak PN dengan jelas dalam dua pilihan raya lalu, dan trend itu menunjukkan penolakan terhadap politik sempit serta retorik kosong yang tidak membawa manfaat kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini. Tambah Abrar lagi, pihaknya yakin bahawa rakyat negeri ini akan terus menyokong Kerajaan Perpaduan yang matang, harmoni dan konsisten dalam membela semua lapisan rakyat tanpa mengira latar belakang.

  • Aerotrain rosak lagi: APAD diarah siasat MAHB

    Insiden Aerotrain KLIA di Terminal rosak awal pagi tadi mengakibatkan penumpang terpaksa berjalan atas landasan .kredit foto pengguna X Fahmi Yumi. Aerotrain rosak: APAD diarah siasat MAHB Kementerian Pengangkutan telah mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk membuka kertas siasatan terhadap Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) ekoran gangguan terbaharu dalam perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), awal pagi tadi. Menterinya Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah itu diambil berikutan perkhidmatan Aerotrain telah beroperasi selama beberapa bulan dan kementerian memandang serius setiap insiden gangguan yang berlaku sehingga kini. Katanya, pada peringkat awal operasi, kementerian mengambil maklum bahawa MAHB memerlukan masa untuk menyesuaikan diri memandangkan perkhidmatan ini masih dalam fasa penyesuaian awal. "Namun, selepas beberapa bulan beroperasi tindakan tegas akan diambil bagi setiap gangguan yang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Tambah Anthony Loke, lesen pengendali yang dikeluarkan kepada MAHB menetapkan bahawa syarikat itu wajib memastikan tahap perkhidmatan Aerotrain yang memuaskan kepada pengguna. Jelasnya lagi, di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, pelanggaran syarat lesen pengendali boleh dikenakan kompaun hingga RM250,000 bagi setiap kesalahan. Terdahulu, perkhidmatan Aerotrain di KLIA dilaporkan sekali lagi mengalami kerosakan awal pagi tadi, memaksa penumpang membawa sendiri bagasi dan berjalan dalam gelap di atas platform. Sejak kembali beroperasi pada Julai 2025, perkhidmatan tersebut telah mengalami beberapa gangguan, termasuk kejadian melibatkan gangguan kuasa pada 15 Okt lepas. Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah memaklumkan di Dewan Rakyat awal bulan ini sebanyak 19 insiden direkodkan antara 2 Julai hingga 30 Sept.

  • Rakan KKM akan dimulakan di Hospital Cyberjaya - KKM

    DZULKEFLY AHMAD KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) akan melaksanakan Rakan KKM bermula di Hospital Cyberjaya.   Menterinya, Datuk Seri Dr.Dzulkefly Ahmad berkata, inisiatif baharu itu akan melibatkan perkhidmatan Ortopedik dan Perubatan Dalaman (Internal Medicine).   "Pihak Rakan KKM optimis bahawa pelaksanaan dan arah tuju pengoperasian program ini akan menjadi lebih jelas sebaik sahaja semua keperluan perundangan, teknikal dan operasi dimuktamadkan," katanya menerusi jawapan bertulis di Laman Rasmi Parlimen hari ini.   Tambah Ahli Parlimen Kuala Selangor itu lagi, Inisiatif Rakan KKM merupakan salah satu inisiatif transformasi sistem kesihatan yang menyediakan pilihan perkhidmatan kesihatan dan prosedur elektif (bukan kecemasan) yang terpilih berbayar yang berpatutan kepada pesakit.   Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin yang meminta Menteri Kesihatan menyatakan setakat ini, apakah kekangan yang dihadapi oleh Kementerian untuk melaksanakan Rakan KKM serta prosedur-prosedur yang bakal dilaksanakan dalam program Rakan KKM dan bilakah ia akan dilaksanakan.   Mengulas lanjut berhubung inisiatif itu beliau memberitahu bahawa inisiatif berkenaan bertujuan mengekalkan kakitangan KKM termasuk pakar perubatan yang terlibat dengan imbuhan tambahan, dan bakal menjana pendapatan tambahan kepada KKM bagi tujuan membaik pulih fasiliti kesihatan KKM.   "Cabaran yang wujud dalam pelaksanaan Rakan KKM termasuk keperluan untuk menyelaras proses pelesenan dan dokumen perjanjian kontrak antara “Rakan KKM Sdn. Bhd. (RKSB)” dengan pihak KKM," tegasny lagi.

  • BAM kecam pemain negara diugut

    BAM KUALA LUMPUR - Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah meluahkan rasa kekesalan dan mengecam keras tindakan segelintir individu yang sanggup menghina serta mengugut pemain badminton negara menerusi media sosial sejak akhir-akhir ini. Badan induk itu menegaskan bahawa sukan tidak boleh dijadikan medan menabur kebencian atau melepaskan amarah, sebaliknya perlu menjadi wahana penyatuan dan semangat positif dalam kalangan anggota masyarakat. “BAM mengambil maklum tentang insiden penyalahgunaan media sosial yang menjurus kepada penghinaan dan ugutan terhadap atlet negara. “Tidak wajar sebarang bentuk kebencian, diskriminasi atau intimidasi berlaku dalam arena sukan mahupun dalam kehidupan seharian,” kata badan induk itu menerusi kenyataan baru-baru ini. BAM dalam masa sama menegaskan bahawa keselamatan dan kesejahteraan pemain sentiasa menjadi keutamaan, sambil memberi jaminan setiap atlet akan terus mendapat perlindungan serta sokongan moral sewajarnya. “Kami menggesa semua pihak agar menzahirkan pandangan dengan berhemah dan memberi dorongan positif kepada pemain yang berjuang mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa,” jelasnya lagi. BAM juga turut memberi jaminan akan terus memantau perkembangan isu tersebut dengan teliti dan akan berdiri teguh di belakang pemain yang menjadi sasaran kecaman tidak berasas.

  • Muniandy angkat sumpah sebagai Hakim Mahkamah Rayuan

    Muniandy PUTRAJAYA - Hakim Mahkamah Tinggi K. Muniandy pada Ahad mengangkat sumpah jawatan dan taat setia sebagai Hakim Mahkamah Rayuan. Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia dalam satu kenyataan baru-baru ini memaklumkan bahawa Muniandy, 64, mengangkat sumpah dalam satu majlis yang berlangsung di Istana Kehakiman di sini. Beliau mengangkat sumpah dihadapan Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais. Muniandy yang berasal dari Negeri Sembilan mempunyai kelulusan Sarjana Muda Undang-Undang dengan kepujian Universiti Malaya dan Sarjana Undang-Undang Universiti Malaya. Beliau memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam sebagai Peguam Persekutuan di Bahagian Guaman, Jabatan Peguam Negara dari 1980 hingga 1984. Sepanjang kerjaya, Muniandy pernah memegang pelbagai jawatan termasuk sebagai Majistret, Timbalan Pendakwa Raya, Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan (Polisi) di Jabatan Peguam Negara serta Pengarah Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia.

  • Bayi perempuan dalam beg kitar semula luar rumah

    Bayi masih bertali pusat ditemui dalam beg kitar semula depan rumah Bayi perempuan dalam beg kitar semula luar rumah SUBANG JAYA – Seorang bayi perempuan dipercayai baru lahir ditemui di dalam sebuah beg kitar semula di luar sebuah rumah di Jalan USJ 9/5K di sini pada Isnin. Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kejadian tersebut dimaklumkan oleh orang awam. "Polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan bayi yang masih hidup dan masih bertali pusat itu pada jam 10.27 pagi. "Siasatan mendapati bayi perempuan cukup sifat itu dijumpai dalam keadaan tidak berpakaian dengan uri masih berdarah di dalam beg kitar semula berwarna biru," katanya dalam kenyataan pada Isnin. Katanya, bayi itu segera dibawa ke Hospital Shah Alam untuk rawatan lanjut. "Hasil pemeriksaan mendapati bayi berkenaan mempunyai berat 2.6 kilogram dan panjang 43 sentimeter. "Kita sedang menjalankan siasatan terperinci untuk mengesan individu yang bertanggungjawab melakukan perbuatan itu," tegasnya lagi.

  • Kanak kanak lelaki cedera dikelar di leher

    Kanak kanak berusia 6 tahun parah dikelar di leher di Johor BATU PAHAT – Kejadian seorang kanak-kanak lelaki yang tercedera akibat dikelar di leher telah menggemparkan penduduk di sini pada Isnin. Polis menjalankan siasatan berhubung kejadian seorang kanak-kanak lelaki dipercayai dikelar menggunakan senjata tajam di bahagian leher dalam kejadian di Parit Raja awal pagi itu. Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulnuar Mushaddat Abdullah Sani sambil mengesahkan maklumat itu berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada seorang wanita tempatan berusia 40 tahun pada jam lebih kurang 9 pagi. “Wanita terbabit memaklumkan pada jam 5.30 pagi, ketika berada di rumahnya di Parit Raja, dia tersedar daripada tidur dan mendapati anak lelakinya berusia enam tahun mengalami kecederaan parah di bahagian leher,” katanya dalam kenyataan hari ini. Tambah beliau, polis sedang menjalankan siasatan lanjut tentang insiden terbabit di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah dengan menggunakan senjata atau benda berbahaya. “Kes masih di peringkat awal dan siasatan lanjut dijalankan bagi menentukan motif kejadian. "Sehubungan itu orang ramai supaya tidak menularkan sebarang gambar mangsa atau membuat hantaran di media sosial tanpa pengesahan pihak berkuasa kerana ia boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan. “Orang ramai juga diingatkan bahawa tindakan menularkan gambar mangsa boleh disiasat di bawah Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001,” tegasnya lagi.

  • Feri terbakar di Langkawi, penumpang diselamatkan

    Insiden Feri terbakar di Langkawi. Foto Ihsan Bomba Langkawi LANGKAWI – Tiga buah feri yang berlabuh di sebuah dermaga di sini telah musnah dalam insiden kebakaran awal pagi tadi. Ketua Zon 4 Langkawi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Mohd. Zamri Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 2.29 pagi tadi. Katanya, bertindak atas maklumat itu anggota pemadam dengan jentera pemadam telah digerakkan ke tempat kejadian. “Setibanya di lokasi, kebakaran melibatkan tiga buah feri yang didapati sedang marak. “Ketiga-tiga feri itu masing-masing musnah 90 peratus, 70 peratus dan 10 peratus di bahagian kiri,” katanya di sini hari ini. Beliau berkata, tiada mangsa yang terlibat dalam kejadian kebakaran tersebut. Tambah beliau, operasi pemadaman melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Persiaran Putra, Langkawi dan Padang Matsirat. “Anggota menjalankan kerja-kerja pemadaman menggunakan air dari pili bomba dengan bantuan tangki air serta satu aliran buih,” jelasnya lagi.

  • Rodgers tinggalkan kelab Celtic

    Rodgers meninggalkan kelab Celtic yang dikendalikan sejak 2023 GLASGOW - Perjalanan Brendan Rodgers bersama kelab Cletic akhirnya tiba ke penghujung jalan semalam. Kelab gergasi Scotland, Celtic, mengumumkan peletakan jawatan pengurus mereka Brendan Rodgers selepas permulaan musim yang mengecewakan. Martin O'Neill kembali ke kelab sebagai pengurus sementara menggantikan Rodgers sehingga pengurus tetap dimuktamadkan kelak. Celtic dalam kenyataan rasmi memaklumkan bahawa Rodgers telah menyerahkan surat peletakan jawatan dan kelab menerima keputusan itu serta-merta. "Brendan Rodgers hari ini mengemukakan peletakan jawatannya. Ia diterima oleh kelab dan beliau akan meninggalkan tugasnya serta-merta," jelas kenyataan Celtic. Keputusan itu dibuat selepas tekanan meningkat terhadap Rodgers susulan beberapa keputusan buruk, termasuk kekalahan mengejut dalam kelayakan Liga Juara-Juara kepada Kairat Almaty dari Kazakhstan pada Ogos, serta tewas 1-3 kepada Hearts dalam aksi liga Ahad lalu, kekalahan kedua berturut-turut yang menyaksikan Celtic kini ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu liga. Rodgers, 52, kembali ke Celtic Park pada 2023 untuk kali kedua dan berjaya membawa kelab itu merangkul dua kejuaraan liga berturut-turut.

bottom of page