

Search Results
654 hasil ditemukan dengan carian kosong
- Remaja perempuan cedera ditikam semasa menunggang motosikal
MELAKA – Seorang remaja perempuan tercedera selepas disyaki ditikam oleh individu tidak dikenali ketika menunggang motosikal di Solok Tangga Batu, Tanjung Kling di sini pada petang Isnin. Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa yang berpakaian hitam menunggang motosikal seorang diri sebelum didatangi suspek yang menaiki sebuah motosikal lain. Mangsa secara tiba-tiba ditikam dari arah belakang oleh suspek menyebabkan dia mengalami kecederaan parah sebelum diselamatkan oleh orang awam yang kebetulan berada di lokasi kejadian tersebut. Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Melaka dengan menaiki ambulans untuk menerima rawatan lanjut. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit memaklumkan pihak polis sedang memburu suspek kejadian yang masih bebas. Katanya, mangsa tidak mengenali suspek dan siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengenal pasti motif serangan.
- Kes bunuh dua beranak: Lelaki Bangladesh antara dua lelaki direman tujuh hari
BUKIT MERTAJAM – Dua lelaki termasuk seorang warga Bangladesh direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang wanita dan anak angkatnya di Kampung Sekolah, Juru dalam kejadian yang berlaku pada Sabtu lalu. Perintah reman terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada Isnin bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Tempoh reman bermula pada Isnin dan akan berakhir pada 26 Oktober ini. Suspek terdiri daripada seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun dan seorang warga asing berumur 46 tahun. Kedua-duanya ditahan di dua lokasi berasingan pada Ahad selepas pihak polis menjalankan risikan dan menerima maklumat daripada orang awam. Difahamkan, hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengenali mangsa wanita yang berusia 51 tahun itu. Polis turut merampas telefon bimbit milik suspek bagi membantu siasatan, selain siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti suspek utama serta motif di sebalik pembunuhan tragis yang meragut nyawa dua beranak tersebut. Pada Sabtu, seorang peniaga kuih, Sariya Che Hin, dan anak angkatnya, Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11, ditemui maut dipercayai dibunuh. Mayat mereka ditemui oleh suami mangsa kira-kira jam 7.30 malam di rumah sewa mereka.
- Kerajaan perlu laksana tiga perkara kurangkan beban pemandu P-Hailing
Tun Faisal SHAH ALAM - Kerajaan disaran melaksanakan tiga perkara bagi mengurangkan beban pemandu e-hailing termasuk menaikkan had subsidi sekurang-kurangnya 1,000 liter sebulan bagi yang bekerja sepenuh masa. Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, ia kerana golongan berkenaan berperanan penting dalam mengurangkan kesan kecacatan sistem pengangkutan awam dan memudahkan pengangkutan rakyat di negara ini. “Kedua, menetapkan kadar khas subsidi petrol untuk pemandu separuh masa agar mereka tidak terus terhimpit oleh dasar berat sebelah ini. “Ketiga, mendedahkan data dan justifikasi sebenar di sebalik angka 600 liter yang ditetapkan. Adakah ia berpaksikan realiti penggunaan atau sekadar keputusan politik untuk menampal kelemahan fiskal kerajaan?” katanya dalam hantaran di Facebook pada Isnin. Terdahulu, Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) mendakwa kerajaan gagal membezakan antara subsidi petrol untuk kegunaan peribadi dan kuota bahan api bagi tujuan pekerjaan berikutan perbezaan itu memberi kesan terus kepada pendapatan ribuan pemandu e-hailing. Ujar Tun Faisal, dasar pelaksanaan BUDI95 dengan had subsidi petrol hanya 600 liter untuk pemandu e-hailing sepenuh masa disifatkan sebagai dasar mendera rakyat kecil dan menutup mata terhadap penderitaan sebenar di jalan raya.
- 22 cedera dalam pertunjukan bunga api Deepavali
Seorang cedera serius manakala 21 orang lagi cedera ringan dalam insiden letupan mercun di Paya Besar, Kulim Kedah pada hari Deepavali pertama. KULIM - Seramai 22 orang awam cedera manakala salah seorang daripadanya mengalami kecederaan serius di dahi selepas terkena letupan mercun dalam kejadian di Paya Besar di sini pada Isnin. Ketua Polis Daerah Kulim Superintenden Zulkifli Azizan berkata, kejadian berlaku sekitar am 12.45 tengah malam ketika orang ramai berkumpul di kawasan berkenaan bagi menyaksikan bunga api. Katanya, kesemua mangsa mengalami luka biasa namun hanya seorang mangsa mengalami kecederaan serius di dahi iaitu luka sepanjang 5 sentimeter. "Mangsa yang lain dikesan hanya mengalami luka kecil akibat terkena belerang di bahagian badan dan tangan," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan. Tambah beliau, maklumat awal diterima semasa anggota bertugas sedang membuat rondaan operasi pencegahan jenayah lapangan dari jam 9 malam Ahad hingga 2 pagi Isnin. "Pasukan bantuan sampai di tempat kejadian sebelum mendapati terdapat mangsa cedera akibat terkena mercun," ujarnya. Jelas beliau, dua buah ambulan telah sampai ke tempat kejadian bagi memberi bantuan awal kepada mangsa. Malah katanya, kesesakan lalu lintas berjaya dikawal setelah orang ramai beredar sebaik sahaja ambulans membawa mangsa cedera ke Hospital Kulim. Tiada tangkapan dibuat polis setakat ini dan pegawai penyiasat difahamkan telah ke hospital untuk merakam keterangan kesemua mangsa kejadian. Mangsa yang mengalami kecederaan serius telah dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang manakala lima orang masih dirawat di zon merah Hospital Kulim.
- Badminton Remaja Dunia 2025: Zi Yu–Noraqilah menang pingat perak
Zi Yu dan Noraqilah rangkul pingat Perak di kejohanan dunia 2025 di India KUALA LUMPUR, 20 Oktober - Bergu badminton wanita negara, Low Zi Yu–Noraqilah Maisarah Ramdan, menamatkan cabaran Kejohanan Remaja Dunia 2025 dengan merangkul pingat perak selepas tewas kepada gandingan China, Tan Ke Xuan–Wei Yue Yue dalam aksi akhir di Guwahati, India, pada Ahad. Pasangan pilihan ketiga kejohanan itu memberi tentangan sengit sebelum terpaksa tunduk dengan keputusan 13-15, 17-19 dalam pertarungan yang bertahan selama 37 minit. Kekalahan itu menyaksikan Zi Yu sekali lagi kempunan gelaran juara dunia selepas turut muncul naib juara edisi 2024 di Nanchang, China ketika bergandingan dengan Dania Sofea Zaidi yang tidak dapat beraksi kali ini akibat kecederaan. Bagi Noraqilah Maisarah, pencapaian tersebut melengkapkan prestasi cemerlangnya selepas turut meraih gangsa dalam beregu campuran bersama Loh Ziheng sebelum ini. Biarpun gagal membawa pulang emas, prestasi beregu muda itu dianggap petanda positif terhadap perkembangan skuad pelapis wanita negara yang semakin hampir menyaingi kuasa besar badminton dunia.
- Syarikat penerbangan dikecam kerana tuntut sijil cuti kepada pramugari meninggal dunia
TAIPEI, 20 Oktober – Sebuah syarikat penerbangan Taiwan kini berdepan kecaman hebat selepas dilaporkan menghantar mesej kepada seorang pramugari yang telah meninggal dunia bagi menuntut dokumen pengesahan cuti. Menurut laporan Formosa News pada 16 Oktober lalu, kejadian itu berlaku apabila pihak syarikat menghantar mesej kepada kru berkenaan pada hari upacara pengebumiannya. Syarikat tersbut meminta mangsa supaya mengemukakan bukti bagi cuti penjagaan keluarga yang diambil pada 27 September. Malah mesej berkenaan turut meminta pramugari yang sudah meninggal dunia itu menghantar gambar dokumen berkenaan secepat mungkin. Mesej itu dihantar walaupun pramugari terbabit telah meninggal dunia beberapa hari sebelumnya ketika menerima rawatan di hospital. Ahli keluarga yang sedang berkabung difahamkan terkejut dengan mesej tersebut sebelum membalas dengan menghantar sijil kematian dalam bentuk fail PDF bertajuk Death Certificate.pdf kepada pihak syarikat.
- KDN beri jaminan selesaikan isu teknikal MyKad - Saifuddin
SHAH ALAM, 20 Oktober- Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan tidak akan membiarkan mana-mana penerima bantuan subsidi kerajaan yang layak teraniaya akibat isu teknikal atau penyalahgunaan identiti oleh pihak tidak bertanggungjawab. Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, KDN mengambil maklum mengenai aduan berhubung penyalahgunaan MyKad oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk menebus bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA). “Saya memberi jaminan bahawa SARA adalah hak rakyat dan kerajaan tidak akan membiarkan mana-mana penerima yang layak teraniaya akibat isu teknikal atau penyalahgunaan identiti. “Sekiranya berlaku penyalahgunaan MyKad, baki sumbangan SARA akan dipulangkan semula kepada penerima yang terlibat setelah disahkan melalui siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini.
- Deepavali: Anwar ajak rakyat bersama menuju kemajuan
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad mengucapkan selamat menyambut Hari Deepavali kepada seluruh penganut Hindu di negara ini. Anwar berharap agar Deepavali tahun ini menjadi simbol rakyat Malaysia untuk bersama menuju kemajuan, pencerahan, keadilan dan meninggalkan kegelapan serta kezaliman. "Mudah-mudahan Deepavali dapat memberikan pencerahan dan kebahagiaan kepada keluarga masyarakat Malaysia," kata beliau menerusi video ucapannya sempena Hari Deepavali. Masyarakat beragama Hindu menyambut Deepavali pada 20 Oktober 2025.
- Dua beranak maut akibat parah ditetak pisau pemotong daging
BUKIT MERTAJAM - Dua beranak yang dibunuh dalam kejadian tragis di Kampung Sekolah, Juru di sini pada Sabtu disahkan meninggal dunia akibat luka parah pada bahagian leher dipercayai akibat senjata tajam. Pakar Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr Zahari Noor berkata, hasil bedah siasat mendapati kedua-dua mangsa mengalami kecederaan serius pada bahagian belakang leher yang dipercayai menjadi punca utama kematian mereka. "Saya percaya kedua-dua mangsa meninggal dunia dalam tempoh yang hampir sama. "Luka yang dialami sangat teruk dan berpunca daripada senjata tajam seperti pisau pemotong daging," katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Seberang Jaya di sini pada Ahad. Dr Zahari berkata, hasil bedah siasat turut mendapati terdapat kesan kecederaan lain pada tubuh mangsa yang menunjukkan kemungkinan berlaku pergelutan sebelum kejadian. Jelasnya, kesan luka menunjukkan menunjukkan mereka seperti cuba menangkis serangan. Beliau berkata, berdasarkan pemerhatian mangsa pertama telah diserang terlebih dahulu sebelum suspek naik ke tingkat atas dan menyerang anaknya. Terdahulu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, polis masih meneruskan siasatan lanjut bagi mengenalpasti motif pembunuhan dua beranak di Kampung Sekolah Juru di sini. Menurutnya, setakat ini seorang lelaki iaitu suami mangsa berusia 57 tahun ditahan reman selama seminggu hingga 25 Oktober ini bagi membantu siasatan kes berkenaan. "Walaupun lelaki itu ditahan namun siasatan tetap diteruskan untuk mengenal pasti motif kejadian dan pelaku sebenar yang terlibat. "Kita tahan reman suami mangsa sehingga 25 Oktober ini untuk membantu siasatan lanjut polis dan siasatan diteruskan untk mengenal pasti motif kejadian serta pelaku yang terlibat," katanya. Kes sedang disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.
- Ahmad Zahid seru rakyat terus perkukuh perpaduan sempena Deepavali
Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan Selamat Menyambut Deepavali kepada Penganut Hindu hari ini. Ahmad Zahid seru rakyat terus perkukuh perpaduan sempena Deepavali KUALA LUMPUR, 20 Oktober - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya terus mengukuhkan perpaduan, memelihara semangat toleransi, hormat-menghormati dan kasih sayang yang menjadi asas kekuatan negara berbilang kaum dan budaya sempena sambutan Deepavali tahun ini. Menerusi hantaran di akaun rasmi Facebook, beliau turut menzahirkan harapan agar perayaan kali ini membawa kebahagiaan dan kesejahteraan kepada semua yang meraikannya. "Saya percaya, seperti cahaya pelita yang menyinari kegelapan, perpaduan rakyat Malaysia akan terus menjadi sinar yang membawa negara ini menuju masa depan yang makmur dan sejahtera. Happy Deepavali. Deepavali Nal Valthukkal," katanya. Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk turut mengucapkan Selamat Menyambut Hari Deepavali 2025 khususnya buat pengundi di kawasan Parlimennya.
- Agong, Raja Permaisuri zahir ucapan menyambut Deepavali
YDPA dan Raja Permaisuri Agong zahir selamat menyambut Deepavali kepada kaum Hindu di Malaysia KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan selamat menyambut Deepavali kepada seluruh masyarakat beragama Hindu di negara ini. Ucapan Seri Paduka Baginda berdua dikongsikan menerusi Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. "Semoga perayaan Deepavali ini membawa sinar kebahagiaan, kesejahteraan dan kemakmuran kepada semua yang meraikannya,” menurut hantaran itu. Deepavali yang juga dikenali sebagai Pesta Cahaya akan disambut oleh para penganut Hindu di Malaysia pada 20 Oktober 2025.
- Datuk pura-pura mati, mahu lihat siapa ikhlas datang ke pengkebumian
Datuk berlakon untuk melihat orang ikhlas datang berkabung pengkebumian dalam insiden di India. NEW DELHI, 19 Oktober – Tindakan seorang warga emas di India mencuri perhatian orang ramai apabila dia tergamak berpura-pura meninggal dunia untuk melihat dan enguji individu mana yang hadir dan meratapi pemergian secara ikhlas pada majlis pengebumiannya, lapor laman berita Oddity Central. Berita kematian Mohan Lal, 74, mengejutkan penduduk kampung Konchi, negeri Bihar terutama ketika mayatnya diarak ke tempat pembakaran. Meskipun keliru, mereka menyertai perakaran tersebut serta semua upacara tradisional sebelum menyaksikan Mohan tiba-tiba bangun daripada kerandanya. “Selepas berpura-pura mati, orang ramai mengusung keranda tetapi saya mahu lihat sendiri dan mengetahui sejauh mana penghormatan serta kasih sayang mereka kepada saya,” kata Mohan. Selain meminta ahli keluarga untuk menyebarkan berita palsu, Mohan turut menyuruh orang lain untuk membawa mayatnya yang telah dihias ke krematorium. Mohan bagaimanapun gembira apabila beratus-ratus penduduk sertai upacara berkabung itu. Dia kemudian menganjurkan jamuan makan kepada warga setempat sebagai cara untuk memohon maaf.









