top of page

Search Results

548 hasil ditemukan dengan carian kosong

  • Agong, Raja Permaisuri zahir ucapan menyambut Deepavali

    YDPA dan Raja Permaisuri Agong zahir selamat menyambut Deepavali kepada kaum Hindu di Malaysia KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan selamat menyambut Deepavali kepada seluruh masyarakat beragama Hindu di negara ini. Ucapan Seri Paduka Baginda berdua dikongsikan menerusi Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. "Semoga perayaan Deepavali ini membawa sinar kebahagiaan, kesejahteraan dan kemakmuran kepada semua yang meraikannya,” menurut hantaran itu. Deepavali yang juga dikenali sebagai Pesta Cahaya akan disambut oleh para penganut Hindu di Malaysia pada 20 Oktober 2025.

  • Datuk pura-pura mati, mahu lihat siapa ikhlas datang ke pengkebumian

    Datuk berlakon untuk melihat orang ikhlas datang berkabung pengkebumian dalam insiden di India. NEW DELHI, 19 Oktober – Tindakan seorang warga emas di India mencuri perhatian orang ramai apabila dia tergamak berpura-pura meninggal dunia untuk melihat dan enguji individu mana yang hadir dan meratapi pemergian secara ikhlas pada majlis pengebumiannya, lapor laman berita Oddity Central. Berita kematian Mohan Lal, 74, mengejutkan penduduk kampung Konchi, negeri Bihar terutama ketika mayatnya diarak ke tempat pembakaran. Meskipun keliru, mereka menyertai perakaran tersebut serta semua upacara tradisional sebelum menyaksikan Mohan tiba-tiba bangun daripada kerandanya. “Selepas berpura-pura mati, orang ramai mengusung keranda tetapi saya mahu lihat sendiri dan mengetahui sejauh mana penghormatan serta kasih sayang mereka kepada saya,” kata Mohan. Selain meminta ahli keluarga untuk menyebarkan berita palsu, Mohan turut menyuruh orang lain untuk membawa mayatnya yang telah dihias ke krematorium. Mohan bagaimanapun gembira apabila beratus-ratus penduduk sertai upacara berkabung itu. Dia kemudian menganjurkan jamuan makan kepada warga setempat sebagai cara untuk memohon maaf.

  • Tiada parti dominan, UMNO terbuka bentuk kerajaan bersama - Ahmad Zahid

    Zahid Hamidi PUTATAN – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan kesediaan parti itu untuk bekerjasama dengan mana-mana gabungan atau parti politik bagi membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17). Beliau yang juga Pengerusi BN berkata, analisis telah menunjukkan bahawa tiada satu pun parti atau gabungan yang benar-benar dominan untuk membentuk kerajaan negeri secara bersendirian. "Realitinya dalam analisis yang dilakukan, tidak ada satu-satu parti politik atau gabungan yang dominan. Itu hakikatnya. "Insya-ALLAH, UMNO sanggup bekerjasama dengan mana-mana gabungan dan parti untuk membentuk kerajaan supaya sama-sama kita berkongsi kuasa. Dan insya-ALLAH di bawah BN, kita berjanji untuk satu perkara pertama, kita akan laksanakan semua aku janji yang tercatat dalam manifesto yang akan kita laksanakan," katanya. Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata demikian dalam ucapannya pada Program Pemerkasaan Wanita MARA dan Seminar Kenegaraan Malaysia Madani 2025 di sini pada Sabtu. Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa konsep 'Sabah for Sabahan' tidak seharusnya dijadikan retorik politik menjelang pilihan raya, sebaliknya rakyat Sabah perlu melihat diri mereka sebagai sebahagian daripada Malaysia yang bersatu di bawah satu negara. "Siapa kata 'Sabah for Sabahan'? Tidak. Ini negara Malaysia. Bukan ada orang Sabah, bukan orang Selangor, bukan orang Perak, bukan orang Semenanjung.

  • PRN Sabah: PN Sudah muktamadkan pembahagian kerusi - Sanusi

    Sanusi ALOR SETAR - Perikatan Nasional sudah memuktamadkan sepenuhnya pembahagian kerusi antara parti-parti komponen dalam gabungan itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 29 November depan. Ketua Pengarah Pilihan Raya PN dan Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, rundingan kerusi telah selesai dan kini hanya menunggu pengumuman rasmi oleh pimpinan tertinggi parti tersebut. "Kita sedang ‘finalize’ kerusi yang akan ditandingi. Rundingan sudah dimuktamadkan, cuma saya tidak boleh maklum lagi sehingga diumumkan oleh parti. "Sudah ‘settle’ semua pembahagian kerusi antara parti-parti komponen PN, nanti saya umum berapa kerusi masing-masing,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Deepavali kepada 1,000 penerima di Wisma Darul Aman di sini. Menteri Besar Kedah itu juga menambah bahawa pengumuman rasmi mengenai calon dan kerusi bertanding dijangka dibuat sebelum tarikh penamaan calon yang ditetapkan pada 15 November ini. Bagaimanapun katanya, jentera pilihan raya PN sudah mula digerakkan lebih awal di Sabah. “Sabar... sabar... biar suspense sikit. Kalau saya bagi tahu semua hari ini, nanti tak ada berita dah. Apa pun kerja-kerja pilihan raya sudah bermula daripada sekarang. Sebelum penamaan calon nanti akan ada majlis pengumuman calon dan kerusi yang kita akan tandingi nanti," katanya. Pada 16 Oktober lalu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun dalam sidang akhbar mengumumkan, tarikh penamaan calon pada 15 November manakala tarikh undi awal pada 25 November manakala tarikh mengundi ditetapkan pada 29 November depan. Sanusi juga diminta mengulas tentang pelantikan Tan Sri Annuar Musa sebagai Pengarah Pilihan Raya Pas negeri Sabah. Sebagai menjawab soalan itu, Sanusi memaklumkan bahawa ia adalah jawatan khusus bagi PRN negeri berkenaan dan tidak bertindih dengan peranannya sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat dan PN. Jelas beliau, untuk PRN Sabah Annuar menjadi timbalannya dan bekas wakil rakyat Ketereh itu dilantik sebagai ketua di Sabah. "Dia (Annuar Musa) ada pengalaman luas dalam UMNO dan kerja-kerja pilihan raya, jadi dia lebih sesuai untuk uruskan Sabah. Untuk senario politik Sabah, beliau lebih sesuai berbanding saya. "Selain itu, faktor geografi dan kekangan masa antara sebab saya menyerahkan tanggungjawab itu kepada Annuar. "Saya pun tak ada banyak masa nak pergi Sabah lama-lama, Annuar ada lebih banyak masa untuk fokus di Sabah. "Sabah tak sama macam Kedah atau Kelantan. Nak pergi satu-satu DUN pun jauh, ambil masa lama. Saya harap Annuar boleh stesen di Sabah sampai pilihan raya hujung bulan November nanti," katanya.

  • Chong Wei ketuai Jawatankuasa Prestasi BAM

    PETALING JAYA – Legenda badminton tanah air, Datuk Seri Lee Chong Wei dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerusi pelan pembangunan jangka panjang, Tangkis 2030. Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Abd. Aziz mengumumkan pelantikan itu selepas mendapat persetujuan sebulat suara pada Mesyuarat Ahli Majlis yang berlangsung di sebuah hotel di sini, hari ini. Beliau berkata, selain Chong Wei, beberapa lagi individu turut dilantik bagi mengetuai beberapa jawatankuasa yang lain bagi memantapkan lagi pengurusan badan induk sukan badminton negara tersebut. “Kita sudah muktamadkan tadi, ada empat Ahli Majlis BAM yang baharu. Selain daripada Datuk Seri Lee Chong Wei, ada tiga lagi individu lain turut dilantik berdasarkan kepakaran masing-masing. “Pada mesyuarat hari ini, kami juga bersetuju untuk menjemput individu luar bagi berkongsi kepakaran dan pengalaman mereka. Datuk Seri (Chong Wei) akan mengetuai Jawatankuasa Prestasi,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Ahli Majlis BAM. Selain itu, BAM juga merombak struktur pengurusan apabila mengurangkan jumlah 14 jawatankuasa kepada 10 sahaja dengan melantik sembilan pengerusi bagi memastikan pengurusan lebih efisien.

  • BAM sasar dua emas di Sukan SEA Thailand

    PETALING JAYA – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mensasarkan dua pingat emas yang menjadi sandaran skuad badminton negara menjelang temasya Sukan SEA Thailand 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 9 hingga 20 Disember depan. Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky percaya sasaran itu realistik berdasarkan senarai pemain yang akan dibawa nanti. Katanya, sektor beregu campuran dan beregu wanita menunjukkan prestasi yang cukup stabil ketika ini, sekali gus mencerahkan peluang meraih dua emas. “Kita perlu melihat kekuatan lawan seperti Indonesia dan Thailand yang turun dengan pasukan utama. Oleh itu, kalau mahu dua atau tiga emas, kita perlu bekerja keras,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Ahli Majlis Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di sini, hari ini. Menurut Rexy, peluang Malaysia lebih cerah untuk meraih emas menerusi juara dunia beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei serta beregu wanita utama, Pearly Tan-M. Thinaah. Bagaimanapun, secara keseluruhan, beliau menyifatkan Malaysia berpeluang untuk merangkul tiga pingat emas tetapi ia bergantung kepada prestasi semasa pemain ketika itu.

  • KPWKM Rangka Pelan Hala Tuju Kesuburan Negara

    KUALA LUMPUR, 19 Oktober- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) sedang giat merangka Pelan Hala Tuju Kesuburan Negara yang bakal menjadi panduan dasar utama bagi memperkukuh ekosistem mesra keluarga dan menyokong kelestarian kesuburan penduduk. Ia merupakan langkah dalam menangani isu penurunan kadar kesuburan nasional yang kini berada di bawah paras penggantian, kata Menterinya Yang Berhormat Dato Sri Hajah Nancy binti Shukri. Katanya, proses merangka pelan ini bermula di Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2023 (PERKKS 23), yang menghasilkan 15 resolusi strategik yang menekankan keperluan sokongan menyeluruh bagi menggalakkan peningkatan kadar kesuburan negara. "Antara cadangan utama ialah penambahbaikan cuti bersalin dan cuti bapa, penyediaan insentif kewangan bagi kelahiran baharu, perluasan akses rawatan kesuburan, serta penggubalan dasar tempat kerja dan komuniti yang lebih mesra keluarga. "Susulan itu, satu Expert Group Meeting (EGM) Pelan Hala Tuju Kesuburan Negara 2026 – 2030 telah diadakan dengan membincangkan dua fokus utama iaitu pembentukan polisi tempat kerja mesra keluarga dan peluasan akses rawatan kesuburan," kata beliau dalam Jawapan Bertulis Portal Rasmi Parlimen di sini. Nancy berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kuala Nerus Dato' Dr. Haji Alias Bin Razak yang meminta Menteri KPWKM menyatakan pelan tindakan strategik Kerajaan dalam menangani isu penurunan kadar kesuburan nasional yang kini berada di bawah paras penggantian bagi mengelakkan risiko krisis demografi yang boleh menjejaskan kestabilan sosial dan pembangunan negara. Dalam perkembangan sama, Nancy turut menambah bahawa antara cadangan intervensi utama yang dirumuskan termasuklah Pelaksanaan Indeks Tempat Kerja Mesra Keluarga Malaysia dan pengiktirafan “Family-Friendly Employer Certification”. Katanya, pihaknya juga melaksanakan perluasan perkhidmatan kesuburan melalui integrasi rawatan di penjagaan primer dan perkongsian makmal awam-swasta; dan Akses kepada pembiayaan perlindungan kesihatan kesuburan dalam skim insurans nasional serta insentif cukai. Tegasnya lagi, sebagai inisiatif khas jangka panjang, kerajaan sedang membangunkan Pusat Subfertiliti Negara yang pertama di Malaysia dan disasar beroperasi di Shah Alam, Selangor pada tahun 2030. "Ia bakal berfungsi sebagai pusat rujukan kesuburan utama negara yang akan menyediakan pelbagai kemudahan rawatan kesuburan yang moden dan menyeluruh pada kos berpatutan, khususnya untuk golongan berpendapatan rendah dan kurang berkemampuan. "Semua langkah strategik ini menunjukkan komitmen Kerajaan yang utuh untuk menangani isu penurunan kadar kesuburan secara terancang demi menjamin kelestarian sosial dan pembangunan negara yang mampan," ujar beliau.

  • Seramai 4,518 Pegawai Perubatan Kontrak Ditawarkan Lantikan Tetap

    KUALA LUMPUR,19 Oktober- Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan bahawa sehingga 30 September 2025, seramai 4,518 pegawai perubatan kontrak telah ditawarkan lantikan tetap oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA). Menteri Kesihatan Yang Berhormat Dato Seri Haji Dr. Dzulkefly Bin Ahmad berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 1,316 orang atau 29 peratus pegawai perubatan kontrak telah bersetuju menerima tawaran lantikan tetap bagi mengisi kekosongan di Sabah dan Sarawak. "Jumlah ini meliputi penempatan seramai 548 di Sabah dan seramai 768 di Sarawak. "Pegawai perubatan lantikan tetap ini akan melapor diri bertugas secara berfasa di Sabah dan Sarawak mulai 2 hingga 22 Oktober 2025," katanya menerusi jawapan bertulis dalam portal rasmi Parlimen baru-baru ini. Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Bandar Kuching Yang Berhormat Dr. Kelvin Yii Lee Wuen yang meminta Menteri Kesihatan menyatakan secara terperinci jumlah pekerja kesihatan yang telah mendapat penempatan tetap pada tahun ini (doktor dan jururawat) dan berapa yang telah ditempatkan di Sabah dan Sarawak dan telah menerima penempatan tersebut. Dalam perkembangan sama Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor menambah bahawa, bagi jururawat, KKM telah diberikan pengecualian lantikan kontrak interim di bawah SSPA dan boleh melantik tetap jururawat mulai tahun 2025. Jelas beliau, sehingga 30 September 2025, seramai 328 jururawat lantikan baharu telah dilantik tetap. Justeru katanya, buat masa ini, pengisian jururawat di Sabah dan Sarawak dilaksanakan menerusi penempatan semula seramai 85 jururawat berpengalaman dari Sabah dan Sarawak yang sedang berkhidmat di Semenanjung ke fasiliti KKM di Sabah dan Sarawak. "Usaha ini dibuat bagi memberi peluang kepada jururawat berpengalaman berasal dari Sabah dan Sarawak ini untuk kembali berkhidmat di wilayah asal. "Secara keseluruhannya, seramai 47 jururawat telah ditempatkan di Sabah dan seramai 43 jururawat telah ditempatkan di Sarawak. "Selain lantikan baharu dan penempatan semula jururawat, KKM juga sedang melaksanakan pelantikan seramai 636 jururawat masyarakat lulusan peningkatan secara lantikan (PSL) ke jawatan Jururawat Gred U5 bagi mengisi kekosongan jururawat di fasiliti KKM di Sabah dan Sarawak. "Jururawat masyarakat lulusan PSL ini dijangka akan melaporkan diri di penempatan ditetapkan pada November 2025," tegasnya lagi.

  • Little India Brickfields meriah digempur 'shopping' Deepavali

    Suasana Deepavali di Little India Brickields KUALA LUMPUR, 19 Oktober - Dengan berbaki kurang 48 jam untuk masyarakat Hindu di negara ini bakal menyambut perayaan Deepavali 20 Oktober ini di serata dunia, pusat bandar raya iaitu Brickfields Little India bertambah meriah kali ini. Masyarakat India memanfaatkan peluang hujung minggu sejak Jumaat untuk turun berbelanja raya sebagai persiapan akhir menyambut pesta cahaya yang menjadi simbol menghapuskan kegelapan membawa cahaya harapan. Rata-rata Little India Brickfields terang menyinar pada waktu malam Sabtu diterangi lampu dan perhiasan sambutan Deepavali. Kain banting dengan tulisan 'Selamat menyambut Hari Deepavali 2025' tergantung di merata tempat sepanjang Jalan Tun Sambanthan sekitar Little India menambah lagi suasana kemeriahan. Masyarakat India baik anak muda hingga dewasa dan kanak-kanak menggunakan peluang untuk turun membeli pakaian raya tradisional antaranya sari sutera, cotton, baju sut Punjabi, kurta untuk lelaki dan ada juga yang diimport dari India. Kali ini, lebih banyak pilihan disediakan menerusi jualan reruai putih yang mana setiap pakaian dijual unik dan eksklusif diimport dari beberapa negeri utara India antaranya Jaipur, Hyderabad, dan sebagainya dengan harga yang munasabah serta berpatutan. Selain itu beraneka juadah manis tradisional India turut dijual dalam reruai yang disediakan di kiri dan kanan bahu jalan. Justeru, kunjungan mengejut beberapa pemimpin dalam negara juga menambah kemeriahan di Little India. Kebanyakan orang yang turun berbelanja untuk persiapan Deepavali memilih untuk menyambut Deepavali dalam suasana meriah tetapi penuh kesederhanaan akibat faktor ekonomi semasa. Lebih menarik, terdapat rakan rakan kita dari kaum lain iaitu Melayu, Cina dan 'Mat Salleh' turut turun berbelanja membeli baju tradisional wanita India seperti sari dan baju Jippa dipercayai untuk berkunjung ke rumah kenalan pada hari sambutan Deepavali Isnin nanti. Lagu-lagu Deepavali juga menambah lagi kemeriahan dan suasana bazaar di Little India di sini kali ini.

  • 17 wanita warga India dipaksa jadi pekerja seks diselamatkan

    Datuk Kumar KUALA LUMPUR, 19 Oktober - Jamin kerja pembantu rumah sebelum paksa melacur! Taktik jijik satu sindiket pemerdagangan manusia yang memujuk tujuh wanita warga India dengan menjanjikan kerja pembantu rumah sebelum mengurung dan memaksa mereka menjadi pekerja pemuas nafsu seks akhirnya dilumpuhkan pihak berkuasa. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Komisioner Datuk M.Kumar berkata pada 30 September lalu jam lebih kurang 1 pagi, B Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) JSJ Bukit Aman telah melaksanakan Op Pintas (Eksploitasi Seks) di sebuah hotel penginapan yang terletak di Jalan Ampang, ibu negara. "Hasil daripada operasi berkenaan pasukan telah berjaya menyelamatkan tujuh orang wanita warga India yang berumur lingkungan antara 25 hingga 40 tahun yang disyaki menjadi mangsa pemerdagangan orang. "Siasatan polis mendapati kesemua mangsa berkenaan yang datang ke Malaysia telah dijanjikan pekerjaan sebagai pembantu rumah tetapi dipaksa sindiket untuk bekerja sebagai pekerja seks dan dikawal ketat oleh sindiket tersebut. "Malah, siasatan lanjut mendedahkan bahawa ada mangsa yang turut dipukul dan diugut sekiranya enggan mematuhi arahan yang diberikan oleh sindiket tersebut," katanya menerusi kenyataan tengah malam tadi. Dalam perkembangan sama tambah beliau, polis menerusi operasi sama berjaya melakukan tangkapan terhadap 12 orang suspek yang terdiri dua warga tempatan berumur 34 dan 63 tahun serta 10 warga India termasuk empat wanita berusia lingkungan 21 hingga 58 tahun. Malah katanya, kesemua suspek yang ditangkap itu disyaki merupakan ahli sindiket yang berperanan memperdagangkan wanita-wanita yang diselamatkan itu. "Ekoran daripada tangkapan itu, pada 16 Oktober lalu kertas siasatan dalam kes berkenaan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan lanjut. "Hasilnya Peguam Negara bersetuju menuduh lima orang tangkapan termasuk seorang anggota polis yang terlibat sebagai ahli sindiket itu di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan juga denda jika disabitkan kesalahan. "Selain itu lima lagi tangkapan warga asing turut dituduh di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya dan boleh juga dikenakan 6 sebatan jika disabitkan kesalahan," ujarnya lagi. Menurut Kumar, kesemua dituduh di Mahkamah Mahkamah Sesyen Jenayah 9, Kompleks Mahkamah Jalan Duta di Kuala Lumpur pada Jumaat 17 Oktober lalu. Beliau juga memberi amaran bahawa PDRM tidak akan berkompromi dengan mana mana pihak yang terlibat dengan jenayah pemerdagangan orang dan tindakan tegas akan diambil terhadap pelaku di bawah ATIPSOM 2007.

  • Prabakaran, Punithan harap Malaysiatoday jadi wadah berita tepat, neutral

    Prabakaran, Punithan harap Malaysia Today jadi wadah berita tepat, neutral KUALA LUMPUR, 18 Oktober - Ahli Parlimen Batu Prabakaran meluahkan harapannya agar portal berita baharu malaysiatoday.com.my yang dilancarkan secara rasmi kepada rakyat pada hari ini menjadi wadah baharu yang menyampaikan berita berfakta dan tepat kepada rakyat jelata negara ini. Berucap di majlis pelancaran portal tersebut di pekarangan tempat letak kereta Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu, wakil rakyat muda itu berkata, walaupun terdapat pelbagai portal dan laman berita di negara ini, malaysiatoday perlu menjadi platform perjuangan yang jitu dan berprinsip dalam membawa suara rakyat kepada kerajaan. "Walaupun terdapat macam-macam portal berita di negara ini, media baharu dalam era digital ini perlu menjadi platform yang neutral menyampaikan perjuangan pemimpin secara integriti dan benar kepada rakyat tanpa memesongkan fakta sebenar. "Sekiranya ia tidak dibuat maka, akan wujud persepsi atau tanggapan negatif rakyat terhadap sesuatu mesej murni yang dibawa oleh seorang pemimpin di lapangan. "Saya yakin malaysiatoday yang dilancarkan hari ini mampu menjadi platform berita neutral membawa suara rakyat ke arah masa depan cerah dan saya sebagai wakil rakyat bersedia memberikan sokongan kepada portal segar ini untuk membina rakyat yang bermaklumat," katanya di Majlis Pelancaran tersebut. Turut berpendapat sama, Naib Presiden Perikatan Nasional Punithan Paramasivam yang meletakkan harapan agar portal baharu malaysiatoday akan mendokong berita dan permasalahan semua lapisan masyarakat tanpa berat sebelah dalam menyatakan kebenaran. "Saya faham portal berita ini baru dilancarkan dalam tiga versi iaitu Bahasa Malaysia, Inggeris dan Tamil dan perjalanannya masih jauh. "Apa pun saya harap akan ia (malaysiatoday) mencakupi berita semua lapisan masyarakat. "Paling penting sekali, diharap ia memainkan berita secara neutral tanpa berat sebelah dan mesej yang disampaikan juga tepat dan berfakta kepada rakyat. "Saya juga yakin malaysiatoday akan melangkah lebih jauh dan jadi wadah perjuangan baharu serta menyinar untuk rakyat kita nanti," tegasnya di majlis yang sama.

  • Pemandu lori ditembak di Kuala Selangor:10 diberkas, dua suspek lagi diburu - Bukit Aman

    Pengarah JSJ Bukit Aman, Komisioner Datuk M.Kumar MT NEWS 18 OKT jenayah Pemandu lori ditembak:10 diberkas, dua suspek lagi diburu - Bukit Aman KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya membuat tangkapan ke atas 10 suspek yang disyaki bertanggungjawab terhadap insiden seorang pemandu lori ditembak di perut dalam kejadian yang berlaku di Kuala Selangor pada 7 Oktober lalu. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Komisioner Datuk M. Kumar berkata pihaknya telah menerima laporan polis melibatkan seorang lelaki berusia 29 tahun yang merupakan pemandu lori diembak pada jarak dekat dan tercedera di bahagian perut. Katanya lagi, bertindak atas aduan dan maklumat yang diperolehi, Bukit Aman dengan kerjasama Polis Selangor berjaya menjalankan beberapa tangkapana sekitar Selangor. "Hasilnya, kita berjaya menahan 10 lelaki tempatan berusia 21 hingga 40 tahun disyaki terlibat dalam kumpulan jenayah terancang. "Tangkapan itu berjaya membawa polis ke sebuah rumah di Kuala Selangor pada 10 Oktober lalu sebelum serbuan dan pemeriksaan berjaya menemukan sepucuk pistol automatik jenis Beretta yang disyaki digunakan suspek dalam kes tembakan itu," kata beliau dalam sidang media semalam. Tambah Kumar, hasil siasatan awal polis mendapati kejadian berpunca akibat perebutan kawasan pengedaran dadah. "Semakan lanjut polis mendapati kesemua 10 suspek itu mempunyai pelbgai rekod jenayah kekerasan dan kesalahan dadah. "Kini polis memperhebatkan usaha dan sedang memburu dua lagi suspek disyaki terlibat dalam insiden ini bagi membantu siasatan. "Salah seorang daripada suspek yang sedang diburu itu merupakan individu dalam senarai dikehendaki kerana terlibat dalam kegiatan jenayah terancang. "10 suspek yang ditahan itu sedang direman sehingga 20 Oktober ini dan disiasat di bawah SEksyen 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 3 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971. "PDRM tidak akan berkompromi dan akan terus membanteras kegiatan jenayah terancang di negara ini," tegas beliau.

bottom of page