top of page

Search Results

657 hasil ditemukan dengan carian kosong

  • KSN dahului senarai 238 penerima darjah, pingat kebesaran Perak

    KSN IPOH: Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mendahului senarai 238 penerima darjah kebesaran serta pingat negeri Perak bersempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan ke-69 Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, yang disambut pada 7 November. Shamsul Azri, 56, yang merupakan Ketua Setiausaha Negara ke-16 selepas dilantik pada 12 Ogos 2024, dikurniakan darjah Darjah Dato' Seri Cura Si Manja Kini (SPCM) yang membawa gelaran Datuk Seri. Yang Dipertua Dewan Negeri Perak Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid, Peguam Cara Negara II Datuk Umar Saifuddin Jaafar dan Orang Besar Empat Negeri Perak Datuk Dr Syed Jaafar Syed Aznan menerima Darjah Dato' Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri. Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar dan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dianugerahkan Darjah Dato' Seri Panglima Taming Sari (SPTS) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima. Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia Datuk Seri Ir Roslan Ismail dikurniakan Darjah Dato' Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Datuk. Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Negeri Perak A. Sivanesan; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak Khairudin Abu Hanipah; Pengarah Kesihatan Negeri Perak Dr Feisul Idzwan Mustapha dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak Sayani Saidon antara 17 individu yang menerima Darjah Dato' Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang turut membawa gelaran Datuk. Pengarah Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Roslan Ariffin juga dikurniakan DPMP. Bekas Ahli Dewan Negeri Ayer Kuning Allahyarham Ishsam Shahruddin dikurniakan Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP) secara anumerta selain 28 lagi individu turut dikurniakan pingat yang sama. Enam individu pula menerima Darjah Dato' Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang membawa gelaran Datuk Pahlawan; Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM) (13 penerima); Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM) (14 penerima); dan Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP) (39 penerima). Sementara itu, pemain badminton negara Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei yang menjuarai Kejohanan Dunia 2025 di Paris, Perancis baru-baru ini, merupakan antara 58 penerima Pingat Pekerti Terpilih (PPT). Selain itu, 46 penerima dianugerahkan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) manakala Pingat Lama Perkhidmatan (PLP) dikurniakan kepada sembilan penerima. Terdahulu dalam sidang media, Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jen (B) Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin berkata Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak akan diadakan sebanyak dua sesi. Beliau berkata kedua-dua sesi istiadat pada 9 dan 15 November itu, akan berlangsung di Balairong Seri, Istana Iskandariah, Kuala Kangsar. Mohd Zahidi berkata sambutan pada tahun ini dimulakan dengan Majlis Bacaan Surah Yassin dan Doa Selamat yang akan diadakan di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar pada esok sebelum waktu solat Jumaat. "Majlis yang sama akan diadakan di semua masjid daerah di seluruh Perak diketuai oleh Orang Besar Jajahan dan Pegawai Daerah mengikut daerah masing-masing," katanya. Selain itu, Sultan Perak turut berkenan membiayai hidangan makanan tengah hari yang akan diagihkan kepada 9,900 banduan di Penjara Tapah, Penjara Taiping, Pusat Koreksional Kamunting dan Pusat Koreksional Batu Gajah, pada esok. - BERNAMA

  • Ten Hag diintai Wolves, bakal kembali ke EPL

    Ten Hag LONDON - Bekas pengendali Manchester United, Erik ten Hag dilaporkan menjadi antara calon utama untuk menggantikan Vitor Pereira selaku pengurus baharu Wolverhampton Wanderers. Menurut laporan The Athletic, Ten Hag kini disenaraikan bersama bekas pengendali Wolves, Gary O’Neil yang turut disebut-sebut bakal kembali ke Molineux selepas meninggalkan kelab itu pada Disember 2024. Ten Hag kini tanpa pasukan selepas dipecat oleh kelab Bundesliga, Bayer Leverkusen pada 1 September lalu hanya selepas tiga perlawanan dan 62 hari mengemudi pasukan tersebut. Bagaimanapun, jurulatih dari Belanda itu berpeluang membuat kemunculan semula dalam saingan Liga Perdana Inggeris bersama pasukan tercorot liga itu. Wolves bertindak memecat Pereira pada Ahad lalu selepas permulaan musim yang hambar, apabila hanya mengutip dua mata daripada 10 perlawanan pertama liga. Ten Hag sebelum ini lebih sinonim dengan pasukan berstatus besar dan belum pernah membimbing pasukan yang bergelut di zon penyingkiran. Namun, peluang ini mungkin dilihatnya sebagai ruang untuk menebus reputasi selepas dipecat oleh Manchester United pada Oktober tahun lalu. Ketika bersama United, Ten Hag berjaya membawa dua trofi domestik ke Old Trafford, namun prestasi buruk dalam saingan liga menyebabkan beliau kehilangan jawatan. Sementara itu, Wolves yang kini lapan mata di bawah zon selamat, dilihat berdepan cabaran besar untuk mengubah nasib musim ini.-Agensi

  • Ratu bergu utama badminton negara Perly-Thinaah kini no 1 dunia

    Pearly-Thinaah kini mengungguli ranking nombor satu dunia dalam dunia WBF KUALA LUMPUR- Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah kali ini melakar sejarah pada musim ini dalam dunia badminton apabila berjaya merampas kedudukan nombor satu ranking kelayakan Jelajah Dunia BWF daripada gandingan China, Liu Sheng Shu-Tan Ning. Naib juara dunia itu kini mengumpul 104,860 mata, mengatasi Sheng Shu-Tan Ning yang mengumpul 103,150 mata selepas pasangan China berkenaan tidak beraksi pada Terbuka Perancis dan Terbuka Hylo. Ranking Jelajah Dunia BWF digunakan bagi menentukan lapan beregu terbaik yang layak beraksi di Final Jelajah Dunia (WTF) di Hangzhou dari 17 hingga 21 Disember ini. Bagaimanapun, Pearly-Thinaah masih berada di tangga kedua ranking dunia di belakang pasangan China itu yang menduduki tangga teratas. Namun, pencapaian muncul nombor satu dalam ranking Jelajah Dunia pastinya memberi suntikan moral buat mereka menjelang Masters Kumamoto di Jepun bermula Selasa ini. Pearly-Thinaah kini memburu gelaran Jelajah Dunia ketiga musim ini, selepas menjuarai Terbuka Thailand dan Terbuka Artik di Finland. Beregu negara itu yang diletakkan sebagai pilihan pertama di Jepun dijangka membuat perhitungan dengan gandingan nombor tiga dunia dari Korea Selatan, Kim Hye Jeong-Kong Hee Yong jika masing-masing mara ke final kejohanan bertaraf Super 500 itu.

  • Ayam goreng punya pasal keluarga pengantin gaduh

    Majlis Pernikahan bertukar kecoh selepas keluarga pengantin gaduh disebabkan merebut ayam di majlis di negeri Uttar Pradesh, India. BIJNOR - Majlis perkahwinan yang sepatutnya berlangsung meriah di daerah Bijnor, Uttar Pradesh, India bertukar huru-hara apabila pertelingkahan tercetus antara tetamu daripada pihak pengantin lelaki dan pengantin perempuan hanya kerana berebut hidangan ayam goreng. Insiden berlaku apabila sekumpulan tetamu daripada kedua belah pihak berkumpul di kaunter hidangan ayam goreng hingga menyebabkan kesesakan. Pertengkaran kecil kemudian bertukar menjadi pergaduhan besar apabila kedua-dua pihak mula menolak dan bertumbuk, diikuti jeritan serta suasana panik di dewan majlis. Menurut saksi, ramai wanita dan kanak-kanak turut terperangkap dalam kekecohan itu. “Kami datang untuk meraikan perkahwinan, tetapi keadaan menjadi kelam-kabut apabila ada tetamu berebut ayam goreng,” kata seorang tetamu kepada NDTV. Pergaduhan itu turut menyebabkan beberapa individu cedera, termasuk seorang lelaki yang merupakan pesakit jantung dan kini dirawat di hospital. Pihak polis yang menerima maklumat segera bergegas ke lokasi bagi mengawal keadaan dan menenangkan tetamu. Upacara pernikahan diteruskan di bawah kawalan pihak berkuasa, dengan beberapa anggota polis berkawal hingga majlis tamat bagi mengelak pergaduhan berulang. - Agensi

  • Prabowo nafi beliau takut, dipengaruhi Jokowi

    Prabowo Prabowo nafi beliau takut, dipengaruhi Jokowi JAKARTA - Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menafikan beliau masih dipengaruhi bekas Presiden Joko Widodo yang lebih dikenali sebagai Jokowi dalam pemerintahannya, sambil menegaskan bahawa spekulasi itu tidak berasas. Pemimpin itu turut menolak tuduhan kononnya beliau takut atau masih dikawal oleh Jokowi, sebaliknya menjelaskan hubungan mereka kekal baik sebagai sahabat. "Pak Jokowi tidak pernah meminta apa-apa daripada saya. Mengapa saya perlu takut kepadanya? Beliau (Jokowi) kawan saya,” katanya ketika berucap di majlis perasmian kilang Lotte Chemical Indonesia di Cilegon, Banten pada Khamis. Prabowo turut memuji kepimpinan Jokowi selama satu dekad dalam mengurus pertumbuhan ekonomi serta kadar inflasi sepanjang tempoh pentadbirannya. Menurut beliau, perancangan pembinaan kemudahan pengeluaran petrokimia oleh syarikat Korea Selatan, Lotte Chemical bernilai hampir AS$4 bilion (AS$1=RM4.18) telah bermula ketika era pentadbiran Jokowi. Sementara itu, beliau turut menegur budaya politik yang disifatkannya sebagai tidak sihat apabila pemimpin sering dikritik ketika tidak berkuasa dan hanya disanjung apabila memegang tampuk pemerintahan.- Agensi

  • PRN Sabah: tiada soal pinjam-pinjam dalam politik - Hajiji

    Hajiji KUALA PENYU - Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan tidak wujud konsep calon ‘pinjam’ dalam politik ketika menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) nanti. Beliau menegaskan bahawa GRS hanya akan meletakkan calon yang berpotensi menang bagi memastikan kemenangan gabungan itu dalam pilihan raya akan datang. "Mana ada pinjam-pinjam dalam politik. Kita akan letakkan calon yang boleh menang dan kita yakin boleh menang dalam pilihan raya umum akan datang," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan pelancaran Buku Pelan Strategik Pembangunan Daerah Kuala Penyu dan Pekan Kecil Menumbok di tapak tamu Pekan Menumbok, di sini pada Khamis. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bahawa terdapat parti lain cuba ‘meminjam’ calon berpotensi di kawasan tertentu untuk kemenangan parti tersebut. Bercakap mengenai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Penyu, beliau yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) mengesahkan Datuk Limus Jury kekal sebagai calon GRS untuk mempertahankan kerusi tersebut pada PRN kali ini. "Tadi saya sudah bagi ‘hint-hint’… ‘confirm’ (calon)," katanya ringkas. Sebelum itu, dalam ucapannya, beliau yakin kerusi DUN Kuala Penyu kekal milik GRS pada PRN kali ini. "Saya harap rakyat kita bukan saja di Menumbok ini ataupun di Kuala Penyu ini, saya yakin Kuala Penyu ini akan menjadi milik calon daripada GRS. "Sokong Datuk Limus, orangnya baik, ada perancangan, ada wawasan. Kita mahu pemimpin-pemimpin yang kita pilih ini betul-betul bekerja untuk rakyat," katanya. Hajiji dalam pada itu turut menzahirkan penghargaan terhadap inisiatif pembangunan yang dilaksanakan Limus di Kuala Penyu dan Menumbok termasuk bantuan pendidikan menerusi Yayasan Limus Jury.

  • Presiden akan serahkan baten apabila tiba masanya - Hamzah

    Hamzah Zainuddin SHAH ALAM - Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menyerahkan 'baton' jawatan terbabit apabila beliau bersedia melakukannya kelak, lapor Radio BFM semalam. Timbalan Presiden Bersatu merangkap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, keputusan mengenai perkara itu bergantung sepenuhnya kepada Muhyiddin dan beliau akan terus setia selagi Presiden masih mahu memimpin parti. "Saya rasa ia cukup diketahui bahawa presiden ingin menghantar baton kepada saya, apabila beliau berundur. Saya sebagai Timbalan Presiden hanya menunggu. "Seperti larian 4 x 100 meter, mungkin saya adalah pelari kedua dan beliau adalah pelari pertama. Jadi, saya hanya menunggu. "Apabila, beliau dekat dengan saya dan menyerahkan baton itu, maka saya akan menerimanya asalkan tidak melepasi garisan," katanya dalam satu temu bual bersama BFM Breakfast Grille. Hamzah turut menolak dakwaan kononnya mahu mengambil alih kepimpinan Bersatu, sebaliknya menegaskan kesetiaannya terhadap Muhyiddin tidak pernah goyah. "Seperti ucapan saya ketika pengulungan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu, saya telah tekankan kepada semua bahawa saya penyokong nombor satu kepada Presiden," tegasnya. Ketika mengulas berhubung kemelut dalaman parti, Hamzah menjelaskan, perbalahan dalam Bersatu bukan sesuatu yang luar biasa kerana perkara sama turut berlaku dalam mana-mana parti politik lain. “Semua parti politik pasti ada sedikit perbalahan mengenai kepimpinan, bukan Bersatu sahaja. Kita harap isu ini dapat diselesaikan segera, bukan berlarutan,” ujarnya. Dalam perkembangan sama, Hamzah turut menjelaskan, dakwaan wujud tiga kem dalam Bersatu iaitu blok Muhyiddin, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan beliau sendiri. Beliau menyifatkan tanggapan bahawa wujudnya beberapa blok dalam Bersatu sebenarnya menggambarkan parti itu mempunyai ramai pemimpin berkualiti dan berpengaruh. “Apabila ada orang kata dalam Bersatu ada blok Muhyiddin, Azmin dan Hamzah, itu sebenarnya petanda kita mempunyai ramai pemimpin yang diiktiraf rakyat. Itu sesuatu yang baik untuk parti,” kongsi beliau. - malaysiatoday

  • PRN Sabah: Tidak berlaku pertembungan kerusi BN-PH

    PUTRAJAYA - Rundingan pembahagian kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 telah dimuktamadkan dan tidak ada pertembungan antara kedua-dua parti, kata Setiausaha Agung PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Beliau berkata rundingan PH dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga hampir selesai sepenuhnya kecuali membabitkan satu kerusi yang masih dalam pertimbangan kedua-dua pihak. "Kami masih ada masa sebelum tarikh penamaan calon pada 15 Nov ini dan saya yakin ia boleh diselesaikan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Jelajah Wira Madani di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya di sini hari ini. Program Jelajah Wira Madani itu adalah inisiatif dicetuskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menzahirkan penghargaan kerajaan kepada pasukan keselamatan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia). Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus. Program itu turut melibatkan pameran serta penyampaian bantuan awal persekolahan kepada 500 anak anggota polis. "Kami lihat program ini memberi impak yang baik, jadi insya-Allah ia akan diteruskan dengan lebih menyeluruh pada tahun depan,” katanya. - Bernama

  • Kematian pempengaruh Taiwan disiasat ikut prosedur ketat - KDN

    Saifudin Nasution Ismail PUTRAJAYA - Siasatan polis terhadap kes kematian pempengaruh wanita warga Taiwan, Hsieh Yun Hsi, 31, yang ditemui mati dalam tub mandi di bilik sebuah hotel di ibu negara pada 22 Oktober lalu, dijalankan mengikut prosedur ketat. Susulan siasatan itu, polis kemudiannya menahan penyanyi rap tempatan Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee, 42, yang didapati turut berada bersama mangsa semasa mayatnya ditemui di hotel tersebut. Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, adalah penting bagi polis mengklasifikasikan sesuatu kes terlebih dahulu sebelum menentukan arah siasatan. “Langkah ini dibuat berdasarkan bukti dan maklumat yang dikumpul. Ia merupakan kaedah siasatan serta pembukaan kertas siasatan yang betul. “Matlamat utama ialah mencari kebenaran dan memastikan keadilan ditegakkan berdasarkan undang-undang sedia ada,” katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Program Jelajah Wira Madani di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, di sini pada Khamis. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kelewatan polis mengklasifikasikan semula kes itu daripada Kematian Mengejut (SDR) kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Namewee telah direman selama enam hari bagi membantu siasatan kes berkenaan. Pada Rabu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam dilaporkan berkata, suspek direman sehingga 10 November selepas proses reman dijalankan di IPD Dang Wangi. - malaysiatoday

  • Lebih 1.21 hektar hutan di Bukit Taman Seri Timah terbakar

    Hutan atas Bukit Taman Seri Timah, Balakong terbakar semalam. Gambar kredit: JBPM BALAKONG – Kebakaran hutan melibatkan kawasan seluas kira-kira 1.214 hektar dilaporkan berlaku di atas Bukit Taman Seri Timah di sini pada Khamis mencemaskan penduduk perumahan sekitar kawasan tersebut. Peniolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kes itu pada jam 7.02 malam Katanya, bertindak atas maklumat itu, seramai 14 anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn serta bantuan BBP Seri Kembangan, BBP Serdang serta dua Pasukan Bomba Sukarela bergegas ke lokasi kejadian yang jaraknya sejauh 13 kilometer. "Jentera pertama tiba di lokasi pada jam 7.25 malam sebelum mendapati kebakaran melibatkan hutan di atas bukit berkenaan," katanya dalam kenyataan pada malam Khamis. "Anggota bomba telah melakukan kerja-kerja pemadaman di lokasi kejadian dan dikawalk sepenuhnya," ujarnya.

  • Mineral galian bernilai RM2.5 juta dirampas

    Mineral galian dirampas di Ipoh. foto PGA Ulu Kinta Ipoh MANJUNG- Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas bahan mineral galian jenis Silico Manganese seberat 700,000 kilogram (kg) dianggarkan bernilai kira-kira RM2.5 juta menerusi satu operasi penguatkuasaan bersepadu Intra Agensi OP Bersepadu Khazanah di sebuah jeti persendirian di Segari, Lumut dekat Manjung hari ini. Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta SAC Shahrum Hashim berkata, operasi pada 11 pagi hingga 6 petang itu mengesan sejumlah besar bahan mineral galian berkenaan yang disimpan di kawasan jeti persendirian Sungai Dindings Enterprise Sdn Bhd, PT 613 Batu 8, Jalan Cempaka Segari, Lumut. Katanya, mineral itu dipercayai telah disimpan selama lebih seminggu dan tidak mendapat kelulusan daripada pihak Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Negeri Perak. "Hasil pemeriksaan awal di kawasan sekitar jeti telah menjumpai 250 guni jumbo, dengan setiap satunya dipercayai mengandungi 1,000 kg bahan mineral Silico Manganese dengan anggaran berat keseluruhan 250,000 kg yang diletakkan berhampiran jeti. "Seterusnya, pemeriksaan lanjut dijalankan oleh pasukan serbuan di dalam kawasan gudang di kawasan jeti tersebut dan menjumpai sebanyak 450 guni jumbo lagi yang setiap satunya seberat 1,000 kg dengan jumlah keseluruhan 450,000 kg,” katanya dalam kenyataan malam tadi. Tambah beliau lagi, hasil siasatan awal pihaknya juga mendapati kesemua bahan mineral Silico Manganese itu telah dibawa masuk dari negara India dan akan dieksport ke Myanmar bagi kegunaan industri pembuatan besi dengan Malaysia dijadikan hab transit sementara sebelum galian itu diangkat keluar ke Myanmar melalui jalan air. Jelasnya, seorang lelaki tempatan berumur 45 tahun turut ditahan dalam operasi melibatkan PGA dengan bantuan sepasukan pegawai Pejabat Tanah dan Galian Negeri Perak, JMG Negeri Perak serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Manjung. "Kes sedang disiasat di bawah Peraturan 6(1)(a) Peraturan-Peraturan Pembangunan Mineral (Efluen) 2016 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama lima tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. "Tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada JMG Negeri Perak untuk tindakan selanjutnya,” tegas beliau. Malah katanya, rondaan dan pengawasan akan terus dilakukan di sekitar Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis bagi mengekang aktiviti jenayah membabitkan kesalahan di bawah OP Bersepadu Khazanah.-malaysiatoday

  • Mayat warganegara India di tangga rumah kedai disyaki dibunuh

    mayat warga India ditemui ditangga rumah kedai disyaki dibunuh di Puchong semalam. SERDANG - Penemuan seorang lelaki pemastautin tetap dalam keadaan tidak sedar diri di tangga sebuah rumah kedai di Puchong pada Khamis disyaki dibunuh, mencetuskan kejutan dalam kalangan penduduk sekitar. Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, bilik gerakan Ibu pejabat polis daerah Serdang telah menerima panggilan awam sekitar jam lebih kurang 7.03 malam memaklumkan penemuan mayat lelaki tersebut. Katanya bertindak atas maklumat itu sepasukan anggota telah bergegas ke lokasi kejadian untuk tindakan selanjutnya. "Pemeriksaan di lokasi mendapati, seorang lelaki dianggarkan berumur 49 tahun ditemui dalam keadaan tidak sedar diri di tangga rumah kedai di kawasan Pusat Bandar Puchong. "Siasatan sedang dijalankan polis di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh orang yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara maksimum 40 tahun jika disabitkan kesalahan," kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan tengah malam tadi. Tambah beliau, kes masih dalam peringkat siasatan. "Identiti mangsa dikenalpasti sebagai warga India dan siasatan lanjut diteruskan untuk mengenal pasti motif kejadian. "Pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes ini untuk menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa dengan menghubungi balai polis berhampiran atau IPD Serdang di talian 03-8074 2222," tegasnya lagi.- malaysiatoday

bottom of page